Simpang ke Jalan Mardi, Kampung Bukit Raya Dalam (gambar hiasan) |
Sesungguhnya, usia umat Islam adalah sejak diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. sehingga datangnya angin lembut dari arah Yaman (selatan) sehingga dicabut nyawa setiap orang Mukmin, dan perkara itu akan berlaku setelah wafatnya Isa Ibn Maryam; sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya Allah akan mengutus dari arah negara Yaman ‘angin’ yang lebih lembut daripada sutera, maka ia tidak akan meninggalkan (dalam mencabut nyawa) seorang pun yang ada di hatinya iman walau seberat biji zarrah kecuali ia akan mencabut nyawanya.”
[Hadis sahih riwayat Muslim dari Abi Hurairah]
Kemudian, tidak ada yang tinggal di bumi ini seorang Mukmin pun. Yang mana dengan demikian, berkahirlah usia umat Islam. Dan pada ketika itu, tidak ada yang tinggal di atas muka bumi ini kecuali makhluq yang paling derhaka, engkar dan jahat. Dan atas merekalah berlakunya khiamat, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
“Siang dan malam tidak akan hilang (berlakunya khiamat) sehingga disembah (lagi) Allatta dan Al’uzza (berhala Musyrikin Makkah). Kemudian, Allah akan mengutuskan ‘angin’ yang harum, maka ia akan mengambil nyawa semua orang yang ada di dadanya iman walau sebesar biji sawi. Maka, yang tinggal setelah itu adalah orang yang tidak mempunyai kebaikan. Maka, mereka akan kembali kepada agama nenek moyang mereka.”
[Hadis riwayat Muslim dari Anas]
HADIS RASULULLAH S.A.W MENGENAI USIA UMAT YAHUDI, NASRANI (KRISTIAN) DAN ISLAM
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari (dalam kitab Sahihnya) dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya usia masa menetapmu dibandingkan dengan umat sebelum kamu adalah seperti waktu solat Asar sehingga terbenamnya matahari.
Ahli Taurat (Yahudi) telah diberikan kepada mereka kitab Taurat, kemudia mereka mengamalkan kitab tersebut sehingga waktu tengahari, maka mereka pun ‘lemah’ untuk mengamalkannya. Lalu mereka diberi pahala oleh Allah s.w.t. masing-masing satu qirath (satu bahagian harta di syurga sebagai balasan).
Kemudian diberikan pula kepada ahli Injil (Nasrani), lalu mereka mengamalkan kitab tersebut sehingga waktu solat Asar. Dan setelah itu, mereka ‘lemah’ untuk mengamalkannya. Mereka pun diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. masing-masing satu qirath.
Kemudian diberikan pula kepada kita (Islam) kitab Al-Quran dan kita mengamalkannya sehingga matahari terbenam. Maka Allah s.w.t. memberi ganjaran kepada kita masing-masing dua qirath.
Berkatalah ahli kitab, “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau memberi ganjaran kepada mereka (orang Islam) dua qirath dan Engkau memberi ganjaran kepada kami satu qirath, sedangkan amalan kami lebih banyak daripada mereka?”
Berkata Rasulullah s.a.w.: Allah s.w.t. menjawab (sambil bertanya): “Adakah aku berlaku zalim (tidak adil) dalam memberi ganjaran dari amal kamu semua?
Mereka menjawab: “Tidak.
Allah s.w.t. berkata: “Itu adalah kurniaan yang Aku berikan kepada sesiapa sahaja yang Aku kehendaki.”
[Sumber: Diriwayatkan oleh Bukhari pada beberapa tempat dalam kitab Sahihnya. Pada kitab Mawaqitu Ash Shalah, Juz. 2, Fathgul Baari, ms.38, cetakan Daar Al-Fikri. Juga pada kitab Al-Ijarah, Juz. 4, ms. 445. Juga kitab Ahaadts Al-Abiya’, Juz. 6, ms. 465. Juga kitab Fadhaail Al-Quran, Juz. 9, ms. 66. Dan juga kitab At-Tauhid, Juz. 13, ms. 46, dengan sanad yang berbeza-beza.]
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahih miliknya sebuah hadis dari Abu Musa r.a., dari Nabi s.a.w., di mana Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Perumpamaan antara orang Muslimin dan kaum Yahudi serta kaum Nasrani adalah seperti seorang lelaki kaya yang mengupah suatu kaum (Yahudi) untuk melakukan satu kerja untuknya sehingga malam. Akan tetapi, kaum tersebut hanya bekerja sehingga tengahari. Dan mereka berkata kepada lelaki tersebut: ‘Kami tidak memerlukan gaji yang kamu berikan’.
Kemudian, lelaki itu mengupah suatu kaum yang lain (Nasrani) sambil berkata: ‘Sempurnakanlah kerja ini sehingga selesai hari ini juga dan kamu akan memperolehi gaji seperti yang aku janjikan’. Kemudian, kaum tersebut hanya bekerja sehingga waktu solat Asar dan berkata: ‘Amabillah olehmu apa yang kami kerjakan’.
Kemudian, lelaki tersebut mengupah suatu kaum yang lain (Muslimin) dan mereka pun bekerja sehingga penuh hari tersebut, sehingga terbenam matahari. Dan mereka memperolehi gaji mengatasi dua kaum sebelum mereka.”
[Sumber: Diriwayatkan oleh Bukhari dalam beberapa tempat. Kitab Mawaitu Ash Shalah, Juz. 2, ms. 38. Juga kitab Al-Ijarah, Juz. 4, ms. 447.]
KIRAAN USIA UMAT ISLAM
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya yang amat berharga, Fathul Baari telah menerangkan kepada kita mengenai hadis usia setiap umat manusia. Di mana hadis tersebut menunjukkan, bahawa masa umat ini (umat Islam) adalah lebih daripada seribu tahun. Hal ini kerana hadis tersebut menerangkan bahawa masa umat Yahudi adalah sama dengan masa umat Nasrani ditambah dengan masa umat Islam.
Sedangkan para ahli sejarah bersepakata, bahawa masa kaum Yahudi sehingga diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah lebih dari 2000 tahun. Adapun masa usia umat Nasrani (Kristian) sehingga diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah 600 tahun. (lihat Fathul Baari, Juz. 4, kitab Al-Ijarah, ms. 449)
Kemudian, Al-Hafiz Ibn Hajar juga berkata: “Hadis tersebut juga mengisyaratkan mengenai pendeknya masa yang tinggal dari (usia) dunia.” (lihat Fathul Baari, Juz. 4, kitab Al-Ijarah, ms. 448.)
Dalam keterangan yang lebih terperinci dari perkataan Ibn Hajar, di sini kami akan menerangkan, bahawa penjelasan beliau tersebut menunjukkan dua perkara, iaitu:
(1) Masa umat Yahudi adalah usia umat Nasrani digabungkan dengan usia umat Islam, atau usia umat Yahudi sama dengan usia umat Islam ditambah dengan usia umat Nasrani.
(2) Sesungguhnya usia umat Nasrani adalah selama 600 tahun. Perkara ini diterangkan oleh sebuh hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya dari Salman Al-Farisi r.a.: “Masa antara Isa a.s. dan Muhammad s.a.w. adalah selama 600 tahun.” (lihat Sahihul Bukhari, kitab Manaqib Al-Ansar.)
Maka, kita dapat mengatakan bahawa usia umat Yahudi dan usia umat Nasrani adalah lebih dari 2000 tahun, sedangkan usia umat Nasrani adalah 600 tahun. Maka, usia umat Yahudi sama dengan 2000 lebih ditolak 600, yakni 1400 tahun lebih.
Dan para ahli sejarah menerangkan bahawa “lebihan” (usia umat Yahudi) yang dimaksudkan adalah lebih dari 100 tahun. Oleh itu, tepatnya usia umat Yahudi adalah 1500 tahun lebih sedikit.
Dan dengan mengetahui bahawa usia umat Islam sama dengan usia umat Yahudi yang ditolak dengan usia umat Nasrani, maka usia umat Islam adalah 1500 tahun ditolak dengan 600 tahun, yakni sama dengan 900 tahun lebih sedikit ditambah dengan tambahan 500 tahun.
Tambahan 500 tahun yang diberikan kepada umat Islam ini disebut dalam sebuah hadis marfu’ dari Sa’ad bin Abi Waqash, yang mana telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Sesungguhnya aku berharap semoga umatku tidak akan lemah di depan Rabb mereka dengan menambahkan (memanjangkan) umur mereka selama setengah hari.”
Kemudian, Sa’ad ditanya: “Berapa lamakah setengah hari itu?”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Lima ratus tahun.”
[Sumber: Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Al-Hakim dan Abu Nu’aim dalam kitabnya Al-Hilyah. Hadis ini disahihkan oleh Al-Albaani dalam kitab Ash Shalihah miliknya, nombor 1643 dan dalam kitab Sahih Al-Jami’ dalam beberapa tempat.]
Oleh itu, usia umat Islam adalah selama 1400 tahun lebih sedikit.
BERAPA TAHUNKAH TAMBAHAN USIA UMAT ISLAM ITU?
Imam As-Sayuthi dalam kitab beliau yang berjudul Al-Kasyaf (ketika menerangkan mengenai keluarnya Imam Mahdi) berkata: “Hadis hanya menunjukkan, bahawa masa (usia) umat ini (umat Islam) adalah lebih dari 1000 tahun dan tambahannya sama sekali tidak lebih dari 500 tahun”. (lihat kitab beliau yang berjudul Risalat Al-Kasyfi’an Mujawazati Hadzihil Ummah Al-Alfa, ms. 206.)
Pada ketika ini, kita berada pada tahun 1432 Hijrah. Kemudian, kita tambahkan dengan 13 tahun sebelum penulisan kalendar Hijrah (iaitu antara tahun diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. sehingga pada tahun Rasulullah s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah).
Oleh yang demikian, walaupun pada ketika ini kita berada pada tahun 1432 Hijrah, namun hakikatnya usia umat Islam telah berlalu selama 1445 tahun yang dikira bermula dari saat diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. kepada segenap umat manusia.
Sesuai dengan kiraan yang berdasarkan pada keterangan ulama besar kita yang bersandarkan kepada hadis yang sahih, maka dapat disimpulkan bahawa pada ketika ini, kita sedang berada pada zaman terakhir sebelum masa penghabisan dan masa persiapan untuk menghadapi huru-hara dan peperangan besar atau penghabisan yang terlebih dahulu berlaku sebelum munculnya tanda-tanda besar khiamat (seperti terbitnya matahari dari Barat).
Bagi menyempurnakan perbahasan ini, maka pada perbahasan kali ini, kami akan ketengahkan perkataan ahli kitab yang sesuai dengan apa yang telah kita paparkan bagi menguatkan bahawasanya masa terakhir dunia sudah hampir:
“Seperti para pekerja di kebun kurma, sesungguhnya kerajaan Tuhan adalah seperti seorang manusia yang memiliki sebuah yang mana dia keluar pada waktu pagi-pagi lagi untuk mencari para pekerja upahan di kebun kurmanya. Dan lelaki tersebut bersepakat dengan para pekerja yang ada mengenai upah satu dinar sehari.
Kemudian, dia keluar lagi pada pukul sembilan pagi dan di dalam kota, dia menemui buruh lain yang sedang tidak mempunyai kerja, sambil (dia) berkata kepada mereka: ‘Pergilah kamu semua untuk bekerja di kebun kurma saya, maka saya akan memberi upah yang sesuai.” Lalu, mereka pun pergi.
Kemudian, lelaki tersebut pergi lagi ke kota pada pukul dua belas dan pada pukul satu setelah Zuhur; di mana dia terus menghantar pekerja tambahan ke kebun kurmanya.
Pada jam lima petang, lelaki itu keluar lagi. Maka dia menemui beberapa orang buruh yang sedang tidak bekerja, sambil bertanya kepada mereka: ‘Mengapa kamu semua berdiri di sini sepanjang hari tanpa berkerja?’ Mereka manjawab: ‘Ini kerana tidak ada seorang pun yang mengupah kami’. Lelaki itu berkata: ‘Pergilah kamu semua bekerja di kebun saya’.
Ketika hari sudah senja, pemilik pohon kurma tersebut berkata kepada wakilnya: ‘Panggillah semua pekerja tersebut dan bayarlah upah mereka, bermula dari (buruh) yang datang terakhir sehingga pada (buruh) yang datang sejak awal.
Lalu datanglah para pekerja (buruh terakhir) yang mula bekerja sejak jam lima petang, di mana setiap seorang dari mereka menerima satu dinar.
Ketika datang para pekerja yang datang dari awal, mereka fikir bahawa mereka akan menerima gaji yang lebih banyak. Akan tetapi, ternyata mereka hanya menerima satu dinar. Oleh kerana hanya menerima satu dinar sahaja, maka mereka merungut dan kesal dengan pemilik kebun sambil berkata: ‘Mereka yang datang terakhir tersebut hanya bekerja satu jam sahaja. Akan tetapi, tuan memberikan gaji yang sama dengan kami yang bekerja sepanjang hari di bawah terik matahari!’
Maka, pemilik kebun tersebut menjawab: ‘Wahai kawan, adakah saya sudah berlaku zalim kepadamu? Bukankah saya dan kamu semua sudah sepakat dengan gaji satu dinar? Ambillah apa yang menjadi hak kamu dan pergilah! Adapun saya, maka saya ingin memerbi gaji untuk orang yang terakhir ini (sama banyak) seperti (upah yang diberikan kepada) kamu. Bukankah saya bebas melakukan apa sahaja dengan harta saya, sebagaiman yang saya sukai? Atau matamu yang jahat (iri hati) disebabkan kebaikanku? Demikian jugalah halnya dengan orang yang terakhir menjadi orang yang pertama dan orang yang pertama menjadi orang yang terakhir’.”
[Sumber: Injil Martin, bab 20, ayat 1-16, ms. 31]
Teks Injil Matthew ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.:
“Kita adalah orang terakhir yang menjadi orang pertama pada Hari Khiamat.”
[Sumber: Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah dan Huzaifah r.a.]
Credit to MPHonline |
RUJUKAN UTAMA: “Singkatnya Usia Umat Islam, Kedatangan Imam Mahdi & Munculnya Dajjal”, Amin Muhammad Jamaluddin, ms. 75, 79-80, 85-87, 90-91, 412
p/s: Andai benar perhitungan para ulama yang mengatakan bahawa usia umat Islam adalah kurang daripada 1500 tahun, sekurang-kurangnya, dalam tempoh 54 tahun dari sekarang lah akan berlakunya Perang Armageddon, Perang al-Mulhamah al-Kubra, munculnya Dajjal (Anti-Christ), penyembelihan saki baki Kaum Yahudi, dan keluarnya Ya’juj dan Makjuj (Gog and Magog). Apakah persiapan yang telah kita lakukan?
No comments:
Post a Comment