Cantik tak? Ketahuilah bahawa rumah lama saya lebih teruk daripada ini! |
Saya masih ingat peristiwa kira-kira dua puluh tahun lalu. Ketika itu, kehidupan saya sangat susah, dha’if dan sengsara. Kawasan perumahan saya sangat teruk sehinggakan saya masih ragu-ragu sama ada ianya layak untuk dinamakan sebagai rumah ataupun tidak.
Bayangkan, rumah saya pada ketika itu dikelilingi najis dan baunya…masya Allah…tak mampu untuk diterjemahkan dengan kata-kata; Allah saja yang Maha Mengetahui.
Tiba-tiba, DIA hadir dan memberikan sinar harapan baru. DIA bawa saya ke sebuah dunia baru. Dunia yang sangat indah. DIA perelokkan rupa paras dan sempurnakan tubuh badan saya agar saya dapat melihat, mendengar dan berkata-kata sehinggalah saya menjadi seorang manusia yang sempurna zahirnya.
Tapi, pada saat itu, akal saya kosong. Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang dunia baru ini. Lalu, DIA berikan saya ilmu; dan DIA masih berterusan memberikan saya ilmu sehingga ke hari ini supaya saya mampu hidup dengan bahagia di alam ini.
Di dunia baru ini juga, saya tidak pernah kesunyian. Mungkin kerana DIA tahu yang saya ini seorang yang sangat lemah, lalu DIA berikan saya sebuah keluarga yang harmoni dan kawan-kawan yang baik hati dan budi.
Bukan itu saja, kerana saya ini dha’if dan tidak berharta, DIA cukupkan segala keperluan hidup saya di sini. Ketika saya lapar, DIA berikan saya makanan; ketika saya dahaga, DIA berikan saya minuman; ketika saya perlukan tempat tinggal, DIA siapkan saya dengan rumah dan kediaman; dan ketika saya “bertelanjang”, DIA berikan saya pakaian.
Baiknya DIA…
Tapi, saya masih tertanya-tanya, “Untuk apa saya dibawa ke dunia ini?” Lalu DIA berikan saya panduan hidup melalui insan-insan terpilih yang menjadi utusanNYA di sini bagi menyampaikan tujuan dan matlamat hidup saya di sini.
Malangnya, proses “perkembangan” saya tidak berjalan seperti yang sepatutnya. Menurut logik akal, semakin bertambah ilmunya dan pengalaman, semakin matang penilaian antara yang kebaikan dan kejahatan…sepatutnya saya menjadi manusia yang lebih baik dan pandai berterima kasih kepada DIA yang telah mengurniakan segala keperluan hidup saya di sini.
Tapi, hal ini tidak berlaku kepada saya. Sebaliknya, semakin bertambahnya ilmu (sejajar dengan meningkatnya usia), saya menjadi manusia liar yang tidak tahu mengenang budi. Dengan ilmu yang diberikanNYA kepada saya, saya tahu ada beberapa perkara yang tidak baik di dunia ini; tapi perkara itulah yang saya lakukan. Sedang perkara-perkara yang telah saya maklumi akan kebaikannya (yang akhirnya mendatangkan kebaikan kepada diri saya sendiri), tidak pula saya kerjakan.
Tapi yang anehanya, DIA masih berterusan memberikan segala keperluan hidup saya di dunia ini. Mungkin kerana itu, saya menjadi tidak kisah dan berterusan melakukan perkara-perkara yang telah diketahui kemudharatannya kepada diri saya sendiri.
Sehinggalah akhirnya DIA melorongkan saya kembali ke jalan kebenaran. DIA timpakan kepada saya ujian demi ujian agar saya kembali berfikir dan tahu betapa saya hanyalah seorang insan yang sangat kerdil, dha’if dan miskin. DIA temukan saya dengan “insan-insan istimewa” yang menyedarkan kembali tentang apa yang sepatutnya saya lakukan di dunia ini.
Alhamdulillah, saya kembali sedar. Tahulah saya bahawa segala harta dan kesenagan yang saya miliki pada hari ini pada hakikatnya bukanlah milik saya. Tidak, saya tidak pernah memiliki apa-apa pun di dunia ini; hatta diri saya sendiri. Semuanya milikNYA yang DIA pinjamkan kepada saya.
Jika bukan kerana DIA yang membawa saya ke dunia ini, tentu saya masih berada di “rumah lama” saya yang sangat jijik dan hina. Jika bukan kerana DIA yang menyempurnakan kejadian saya, memberikan saya kekuatan dan mencukupkan keperluan saya, sudah pasti saya tidak akan pernah mampu untuk meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran ini.
Alhamdulillah…itulah ucapan yang saya ucapkan kepada DIA…YANG MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG.
Terima kasih ya ALLAH kerana membawa saya ke dunia ini.
“Tidakkah manusia itu melihat (mengetahui) bahawa KAMI telah menciptakannya dari (setitis) air benih (air mani)? Dalam pada itu (setelah KAMI sempurnakan kejadian dan tenaga kekuatannya), dia menjadi seorang pembantah yang terang jelas bantahannya.” [36:77]
p/s: Saya masih berasa hairan dan kagum dengan kebaikanNYA yang berterusan mencukupkan saya dengan segala nikmat dan rezeki; walhal saya hanyalah salah satu makhluq ciptaanNYA yang sangat kerdil jika dibandingkan dengan keluasan alam ciptaanNYA yang lain. Boleh jadi, di sisiNYA, saya hanyalah sebesar sebutir debu atau lebih kecil daripada itu, tapi DIA masih mencukupkan keperluan hidup saya; walhal saya tidak pernah mendatangkan sebarang faedah dan manfaat kepadaNYA. Benarlah, DIA MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG.
cantiknya msjid nilai
ReplyDelete