Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Friday, January 14, 2011

IKHTILAT: Sistem v Syariat

Gambar Hiasan


Mutaakhir ini, masalah keruntuhan akhlaq kian menjadi-jadi. Kemuculan pelbagai aliran aqidah modent menyaksikan pemikiran umat Islam diterjah dari pelbagai sudut. Bermula dengan sistem demokrasi yang mementingkan hak rakyat melebihi hak Tuhan ke atas rakyat, umat Islam secara tidak sedar telah mulai berani menentang hukum-hukum Tuhan berdasarkan logik akal yang dangkal.


Misalanya, hukum ikhtilat yang pada asalnya haram, tetapi diharuskan oleh ulama dalam beberapa aspek kehidupan seperti pendidikan, kehakiman dan pengadilan, serta urusan jual beli; telah diluaskan pengaplikasiannya oleh masyarakat awam yang tidak mengenali batas-batas pergaulan di sisi Islam.


Mungkin bagi sebahagian umat Islam, mereka beranggapan yang ini hanyalah sebuah isu enteng yang boleh dipandang sebelah mata. Namun, kita harus faham bahawa sesuatu yang kecil di sisi manusia, boleh jadi besar di sisi Allah kerana ianya bersangkutan dengan kepatuhan seorang hamba kepada Tuhannya yang mungkin boleh kita namakan sebagai hak Tuhan terhadap rakyat atau hak rakyat ke atas Tuhannya.


TAFSIRAN MUDAH


Akibat terbiasa atau telah larut dengan sistem kehidupan yang salah, telah ada suara-suara sumbang yang membela diri dengan mengatakan yang mereka tidak mempunyai nafsu antara satu sama lain (iaitu ketika saling berikhtilat). Manakala sebahagian yang lain mengatakan yang setiap amalan itu bergantung pada niat (hatta dalam kemaksiatan)


Sesungguhnya, fatwa-fatwa daripada ahlul hawa’ ini telah membawa fitnah yang amat besar kepada Islam. Mungkin tanpa mereka sedari, mereka telah memecahkan element iman di sisi Islam yang merangkumi ketulusan hati, kebenaran  lisan dan ketepatan dari sudut amalan zahir.


Ertinya, jika hati sahaja yang dirasakan ikhlas, sedang perbuatannya telah dihukum haram di sisi Islam, maka haramlah juga di sisi Islam. Begitu juga jika seseorang melakukan sesuatu amalan yang dibenarkan oleh Islam, tapi hatinya tidak ikhlas, maka amalannya tidak mempunyai sebarang nilai ibadah di sisi Islam.


Hakikatnya, jika para golongan ini berfikir dengan logik sekalipun, mereka pasti akan menyedari bahawa perbuatan dan I’tiqad mereka selama ini adalah salah kerana jika setiap amalan jahat itu diukur pada hati semata-mata, maka:

·         Harus meminum arak selagi mana tidak memabukkan (ertinya, arak boleh diminum dalam kadar yang sedikit asalkan tidak memabukkan; manakala bagi mereka yang telah berpengalaman dalam perbuatan haram ini, tentu sahaja meminum arak sebanyak mana pun tidak akan rasa mabuk).
·         Harus berbogel sebagai menyatakan sokongan terhadap kempen kelesatarian alam sekitar dan cinta terhadap hidupan liar (seperti yang banyak berlaku di negara-negara barat).
·         Harus menonoton video-video pornografi dengan niat mahu mempelajari teknik-teknik hubungan kelamin antara suami dan isteri.
·         Harus memakan riba dan mencuri dengan niat mahu bersedekah pada jalan Allah.
·         Harus berzina dengan niat mahu mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak.


WalLahi, ini semua adalah sebahagian kecil daripada fatwa-fatwa sesat yang bakal muncul atau telah pun muncul apabila manusia semata-mata menjadikan akal yang dangkal sebagai sumber hukum, sambil membelakangi Al-Quran, sunnah, ijma’ dan qiyas.

Hukum ikhtilat hanya gugur selepas berumah tangga (gambar hiasan)

HUKUM IKHTILAT (PERCAMPURAN/PERGAULAN)

Oleh: Abdul Karim Zaidan


Ikhtilat bererti percampuran antara wanita dan lelaki ajnabi di satu tempat yang pada kebiasaannya membawa mereka berpandangan, bercakap dan berinteraksi. Hukum asal pergaulan wanita dan lelaki ajnabi adalah ditegah. Walaupun tiada nas yang spesifik melarang percampuran antara wanita dan lelaki ajnabi, namun tegahan ini disimpulkan dari beberapa tegahan lain yang terdapat di dalam Al-Quran dan sunnah seperti:

·         Tegahan wanita bermusafir sendirian tanpa mahram
·         Tegahan berkhalwat (berdua-duaan) antara wanita dengan lelaki ajnabi
·         Tidak wajib solat jamaah ke atas wanita
·         Tidak wajib solat jumaat ke atas wanita
·         Hukum-hukum khusus mengenai wanita dalam ibadat haji
·         Tegahan wanita berjalan berseiringan dengan lelaki


Dari larangan-larangan inilah ulamak menyimpulkan pergaulan wanita dengan lelaki ajnabi ditegah. Sungguhpun begitu, terdapat juga ikhtilat yang dibenarkan atas dasar pengecualian kerana keperluan:

·        Ikhtilat atas sebab darurat (seperti mahu menyelamatakan perempuan yang ingin dirogol)
·        Ikhtilat untuk tujuan melakukan aktiviti transaksi seprti berjual beli
·        Ikhtilat untuk tujuan melaksanakan tugas-tugas kehakiman, kesaksian dan penguatkuasa undang-undang
·        Ikhtilat untuk tujuan melayan tetamu di rumah (dengan sayarat disertai oleh mahram, memelihara adab sopan keislaman dan hukum-hukum Islam)
·        Ikhtilat untuk tujuan menghormati tetamu dengan makan bersama (dengan sayarat disertai oleh mahram, memelihara adab sopan keislaman dan hukum-hukum Islam)
·        Ikhtilat dalam kenderaan awam bagi wanita yang melakukan kerja syar’ie dengan syarat hukum-hukum Islam yang lain dipenuhi
·        Ikhtilat untuk melakukan kerja-kerja jihad
·        Ikhtilat untuk tujuan mendengar ceramah dan ilmu
·      Ikhtilat atas sebab kebiasaan dan teradat yang tidak bercanggah dengan syara’ (seperti yang dinyatakn dalam kitab Muwatta’ oleh Imam Malik yang menyebut bahawa “Wanita (boleh) makan bersama lelaki apabila pada kebiasaan teradat wanita makan bersama-sama lelaki.”)
·        Ikhtilat semasa menziarahi keluarga terdekat dan teman handai pada majlis-majlis tertentu, makan dalam “majlis” yang sama (dengan syarat memelihara adab sopan keislaman dan hukum-hukum Islam).


Dalam hal ikhtilat wanita dengan lelaki dalam satu majlis ilmu, ada dua pendapat:
·        Pendapat pertama tidak boleh kerana hadis mengenai ikhtilat kaum wanita di zaman Rasulullah tentang kelebihan kaum lelaki mendapatkan ilmu, lantas Rasulullah s.a.w memperuntukkan satu masa belajar khusus bagi wanita.
·      Pendapat kedua boleh kerana pergaulan untuk tujuan muamalah (transaksi) dibolehkan, maka pergaulan untuk menuntut ilmu tentulah lebih boleh lagi, kerana suasana menuntut ilmu lebih jauh dari fitnah berbanding suasana muamalah.


Tentang hadis yang dikemukakan di atas, pengkhususan satu majlis untuk kaum wanita bukan kerana larangan pergaulan lelaki dan wanita semasa menuntut ilmu, tetapi kerana tabiat kaum wanita sentiasa banyak terhalang untuk keluar bersama Rasulullah s.a.w. Tidak seperti kaum lelaki yang sentiasa berpeluang untuk berbuat demikian. Oleh itu wanita perlu dikhususkan satu masa bersama Rasulullah s.a.w.


Namun demikian, keharusan-kaharusan ini hendaklah disertai dengan iltizam yang bersungguh-sungguh, hukum, adab dan tata susila Islam seperi:

·         Menjaga aurat
·         Tidak bertabarruj (berlebih-lebihan dalam berhias diri)
·         Tidak mengangkat suara dengan tinggi
·         Serius, tidak bermanja-manja dan melembut-lembutkan suara sewaktu bercakap
·         Menundukkan pandangan, bukan mata galak, bukan curi pandang
·         Warak, tapi bukan warak-warak kucing

Sungguhpun ikhtilat dibenarkan dalam situasi-situasi tertentu, namun hukum-hukum agama yang lain seperti  menutup aurat mestilah dijaga

KONKLUSI


Jika kita meneliti pendapat para ulama, mereka begitu berhati-hati dalam mengeluarkan hukum sehinggakan sebahagian daripada mereka melarang lelaki dan perempuan menuntut ilmu dalam satu majlis yang sama.


Jika dalam aktiviti menuntut ilmu pun syarat-syarat yang ketat telah dikenakan, inikan pula dalam urusan harian yang lain seperti berikhtilat dalam bersukan yang mana perbuatan ini adalah jelas tegahannya kerana tiada sebarang keperluan di sudut syara’ dan sangat terdedah kepada pendedahan aurat.


Maka, seharusnya pihak yang mempunyai kuasa melakukan sesuatu bagi mencegah perbuatan yang bercanggah dengan Islam ini.


walLahu a’lam.


"Kamu semua adalah penjaga (pemimpin). Dan kamu semua bertanggungjawab terhadap penjagaannya (orang yang berada di bawah pimpinannya)" [HR al-Bukhari & Muslim]


p/s: Dalam menjelaskan perihal hadis yang bermaksud “Setiap amalan bergantung kepada niat", al-Imam al-Nwawi menjelaskan, “Mengenai perkara yang HARAM, maka yang HARAM tetaplah HARAM. Orang yang berusaha mengumpulkn wang haram dengan niat yang baik iaitu untuk pmbinaan sesuatu masjid umpamanya, tidaklah dianggap baik walaupun niatnya baik. Dan orang yg MELIHAT PERKARA YG HARAM DENGAN NIAT YANG BAIK, iaitu untuk merenungi dan menikmati kesenian atau keindahan ciptaan Allah misalnya, TIDAK lah pula dikatakan BAIK sekalipun TUJUANnya BAIK kerana KEBAIKAN NIAT TIDAK ADA PADA PERBUATAN YANG HARAM DAN YG MAKRUH”

No comments:

Post a Comment

Share your Blog with Others... =]