Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Monday, January 31, 2011

KARAMAH PARA WALI: Satu Penilaian



Telah bersabda Nabi s.a.w yang bermaksud,

“Ada tiga perkara (yang dengannya) kenikmatan iman akan diperolehi; (antaranya) seseorang yang mencintai orang lain kerana Allah.” [Muttafaqun ‘alaih]

“Iman yang paling kuat adalah ketaatan kerana Allah, memusuhi kerana Allah, mencintai kerana Allah, dan membenci kerana Allah.” [HR Ath-Thayalisi, Al-Hakim, & Ath-Thabrani; disahihkan oleh Al-Albani]

Dan di dalam sebuah hadis qudsi, Nabi s.a.w bersabda bahawa Allah berfirman yang bermaksud,

“Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, Aku telah mengizinkannya untuk diperangi.” [HR Al-Bukhari]


Berdasarkan hadis-hadis di atas, kita mengasihi para wali Allah kerana siapalah lagi yang lebih berhak untuk kita cintai selain daripada para wali Allah kerana merekalah orang mukmin yang paling beriman dan bertaqwa kepada Allah.


Namun begitu, timbul pula satu persoalan; siapakah dia wali-wali Allah? Adakah mereka sekelompok manusia yang memakai tangkal atau azimat, yang dapat mengetahui perkara yang bakal berlaku pada esok hari, yang tidak terikat dengan hukum alam dan pelbagai lagi keajaiban seperti yang difahami oleh sebahagian masyarakat awam pada hari ini?


Di dalam Al-Quran, Allah ta’ala berfirman yang bermaksud,

“Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Mereka adalah) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan dunia dan di akhirat; tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” [Yunus:62-64]


Al-Qaradawi dalam membahaskan ayat di atas berkata,

“Setiap mukmin yang bertaqwa dan istiqamah  terhadap aturan Allah adalah wali Allah. Tidak penting dia mengetahui hal-hal tersembunyi atau mendapat karamah sebagaimana gambaran wali menurut orang-orang (awam).”


Al-Allamah Al-Alusi pula berkata,

“Secara keseluruhannya, apabila kita melihat seorang mukmin yang bertaqwa, kita anggap dia sebagai wali. Hal itu kerana zahirnya seperti itu, (maka) kita pun menghormatinya; namun dengan tanpa berlebihan untuk mengagungkannya melebihi seorang Rasul, Nabi, atau yang lainnya seperti yang dilakukan oleh orang-orang awam pada zaman sekarang terhadap orang-orang yang mereka anggap sebagai wali.”


Menurut ahli ilmu, karamah bukanlah syarat wali. Kerana itulah kelompok tasawwuf atau orang-orang sufi menumpukan perhatian terhadap istiqamah dalam beramal; bukan beramal untuk mendapatkan karamah.


Hal ini kerana mereka tahu bahawa karamah atau perkara-perkara ajaib bukanlah pra-syarat yang dapat menunjukkan tinggi rendahnya darjat seseorang sebagaimana sesiapa saja yang melakukan latihan spiritual akan mampu melahirkan perkara-perkara ajaib seperti yang dapat kita saksikan di televisyen.


Menydari hakikat ini, Abu Ali Al-Jauzani berkata,

“Jadilah kalian sebagai orang yang mencari istiqamah; bukan orang yang mencari karamah. Sesungguhnya jiwa kalian memiliki sifat untuk mencari karamah; sedangkan Allah mengharapkan kalian mencari istiqamah.”


KARAMAH BUKAN MUKJIZAT


Malangnya, terdapat kelompok masyarakat kita yang bersikap berlebih-lebihan dalam menggambarkan ciri-ciri seseorang wali. Karamah dijadikan syarat untuk melayakkan seseorang itu dianggap sebagai wali sehinggakan pelbagai kisah aneh yang bersangkutan dengan alim ulama yang mereka anggap sebagai wali dijaja pada masyarakat awam.


Dalam kalangan mereka, ada yang berkata bahawa si wali mampu berjalan di atas air, terbang di udara, mampu bergerak ke seluruh pelusuk bumi dalam masa yang singkat; bahkan ada yang berkata bahawa si wali pernah melihat malaikat.


Di dalam kitab Syarh al-Hikam, diceritakan bahawa Abu Yazid pernah diberitahu, “Si fulan berjalan di atas air.”

Beliau menjawab, “Ikan hiu lebih hebat daripadanya kerana itu adalah sifatnya.”


Beliau diberitahu lagi, “Si fulan terbang di atas udara.”

Beliau menjawab, “Burung lebih hebat daripadanya kerana itu adalah sifatnya.”


Dan beliau diberitahu lagi, “Si fulan pergi ke Makkah dan kembali dalam hari itu juga.”

Lalu beliau menjawab, “Iblis mengelilingi bumi dalam waktu yang singkat dan dia dilakat Allah.”


Ustaz Abu Ishaq Al-Isfirayini, seorang pembesar Ahlul Sunnah pula ada menyebut di dalam salah satu karyanya bahawa setiap hal yang dianggap mukjizat Nabi tidak boleh dijadikan karamah wali.


Pendapat ini disandarkan kepada hadis Nabi s.a.w yang mana baginda s.a.w bersabda yang bermaksud,

“Bumi telah dilipat bagiku.” [HR Ibnu Hibban; disahihkan oleh Al-Albani]



Berdasarkan hadis ini, para ulama mentafsirkan bahawa pemendekan jarak yang berlaku pada Nabi hanya dikhusukan kepada baginda s.a.w sebagaimana lafaz yang disebut di dalam hadis di atas iaitu “bagiku”.


Manakala sebahagian ulama ada yang berpendapat bahawa orang yang membolehkan terjadianya hal ini (pemendekan jarak) dihukum sebagai kafir sebagaimana yang disebut dalam syair di dalam Hasyiah Ibnu ‘Abidin,

“Orang yang berkata, kepada wali jarak didekatkan
Boleh dianggap bodoh, menurut yang lain dikafirkan.”



Adapun berkenaan dakwaan bahawa para wali melihat malaikat, sudah pastinya kisah-kisah rakyat seperti ini terlalu besar dakwaannya dan lebih jauh tersasar daripada kisah para wali yang mampu “melipat bumi” seperti yang dibahaskan oleh para ulama di atas.



Bahkan, Ibnu Taimiyyah di dalam Majmu Al-Fatawa berpendapat bahawa hal ini adalah sebahagian daripada tipu daya syaitan.


MEMBENARKAN KARAMAH


Pun begitu, kita tidaklah mengingkari karamah para wali kerana di dalam Al-Quran dan hadis sendiri ada menceritakan peristiwa-peristiwa di luar kebiasaan yang berlaku kepada hamba-hamba pilihan-Nya (walhal mereka bukanlah dari kalangan Nabi atau Rasul’) seperti:

·         Kisah ashabul kahfi yang tertidur ratusan tahun di dalam gua di dalam Surah Al-Kahfi.
·         Kisah tiga penghuni gua yang berlindung di dalam sebuah gua. Sebuah batu menghalang mereka daripada keluar sehinggalah setiap orang daripada mereka berdoa hingga batu itu pecah yang disebut di dalam hadis Bukhari dan Muslim.
·         Kisah Juraih tentang bayi yang mampu berkata-kata yang disebut di dalam hadis Bukhari dan Muslim.



Namun, karamah yang berlaku kepada insan-insan terpilih ini tidaklah pula menjadikan mereka manusia yang maksum sehinggakan kata-kata mereka tidak boleh disanggah; sedangkan para khulafa’ al-rasyidin yang telah dijamin ke syurga itu pun masih disanggah kata-kata mereka oleh para sahabat lain yang hidup sezaman dengan mereka.


Sebagaiman syaikh tarekat, Abu Qasim Al-Junaid yang pernah ditanya, “Adakah seorang wali akan berzina?”
Lalu, beliau menjawab dengan ayat Al-Quran yang bermaksud,


“Dan adalah ketetapan Allah itu sesuatu ketetapan yang pasti berlaku.” [Al-Ahzab:38]



Maka, jelaslah kepada kita bahawa para wali ini bukanlah insan yang maksum yang tidak dapat ditolak kata-kata mereka seperti yang difahami oleh sebahgian umat Islam pada hari ini.



Kita juga menyeru supaya umat Islam kembali menilai status kisah-kisah ajaib yang mereka perolehi kerana boleh jadi dakwaan bahawa ulama si polan memiliki karamah itu dan ini adalah satu dakwaan tidak berasas yang direka oleh para pengikut yang taksub terhadap ulama tersebut (walhal boleh jadi ulama itu sendiri tidak pernah mengetahuinya).




Ingatlah, sifat ghuluw (melampau) dalam memuliakan mana-mana insan yang kita kasihi telah membinasakan umat-umat terdahulu, sehinggakan Allah mencela ahli kitab sebelum kita,


“Katakanlah, ‘Hai ahli kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan (mereka) telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang benar.’” [Al-Ma’idah: 77]


WalLahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Share your Blog with Others... =]