“Allahu Akbar!”
Katanya sambil menggenggam kedua belah tangan. Biasanya, inilah yang dia lakukan setiap kali nafsu memujuk ke arah kemaksiatan dan dosa. Sesekali, memaksa diri membelek buku-buku yang belum habis ditelaah, tapi akal masih juga terus merawang. Entah siapa yang bermain di hatinya...
“Agaknya, dah semakin dekat dengan masanya…”
Mungkin diri ini telah semakin berusia, semakin menghampiri angka selayaknya untuk berumah tangga. Begitu sangkaannya.
Sebagai manusia, dia mengakui kadang-kala mata terusik ketika terlihat ukht bertudung labuh yang sepi dari bertegur sapa dengan mana-mana ikhwah. Dan hati makin terusik jika jelingan mata berbalas.
Pada saat itulah iblis hadir memainkan peranannya.
“Ya Allah…lemahnya diri ini…”
Memikirkan persoalan ini kadang-kadang membantutkan segala pekerjaan yang seharusnya dilakukan. Sehinggakan ada saatnya terpaksa memejamkan mata demi menjaga iman.
“Ah…susah pulak nak lena…”
Satu lagi cabaran. Lalu dia meletakkan kedua belah tangan di atas dada sambil beristighfar.
“Astaghfirullah al-‘Aziim…Astaghfirullah al-‘Aziim…Astaghfirullah al-‘Aziim…”
Begitulah dia terus memujuk “jiwa remaja”nya agar terus bersabar. Teringat juga kata-kata Ustaz Rahmat dalam filem Sang Murabbi,
“Sabran ‘ala sabrin…antum berikan sabar di atas sabar kepada Allah s.w.t…Allah akan segera datang dengan jalan keluarnya…insya Allah…”
Kesabaran di atas kesabaran. Besar maknanya dan tentu sahaja besar usaha yang perlu dikerah untuk mengerjakannya. Tapi, hatinya terus memujuk. Kata hati,
“Pasti besar juga ganjarannya…”
p/s: Yakinlah dengan janji-Nya, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26), Selagi belum mampu, teruskanlah tekad untuk bersabar dan jauhi hubungan yang terlarang; juga pintu-pintu yang membawa kepadanya.
No comments:
Post a Comment