Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Friday, January 7, 2011

ALLAH CEMBURU???


“Allah cemburu kerana aku lebih cintakan anak aku daripada mencintai Allah. Lalu, Allah mengambil nyawa anakku supaya aku hanya cintakan Allah.”

Kata murabbi (tok guru, pendidik dan pertarbiyah) kepada Hassan Al-Banna saat beliau mendapat perkhabaran berita akan kematian anaknya. Begitulah jawapan yang diberikan oleh seorang hamba Allah yang telah dikurniakan dengan sifat tenang.


Di dalam al-Quran, Allah menjanjikan manusia yang bersifat tenang dengan ganjaran syurga,

"Wahai manusia yang berjiwa tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha lagi diredhai. Maka masuklah kamu dalam kalangan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam SyurgaKu!" [Al-Fajr: 27-30]


BAGAIMANA PULA DENGAN KITA???


Mari kita bandingkan pula dengan diri kita. Bagaimana tindakan kita saat diuji dengan sesuatu musibah? Apa yang termuntah dari bibir kita saat menerima saman gara-gara terlupa memakai topi kaledar? Apa kata kita saat ditimpa kemalangan kerana kecuaian pengguna jalan raya yang lain? Bagaimana reaksi kita saat berhadapan dengan pengguna jalan raya yang memandu kereta seolah-olah hanya dia seorang yang sedang memandu di jalan raya?


Itu perihal pengguna jalan raya.


Apa pula reaksi kita saat kehilangan barang-barang yang berharga dalam hidup kita? Begitu juga dengan kehilangan beg, pakaian yang baru dibeli atau wang; bagaiman reaksi kita?


ARRAHMAN ARRAHIM


Jazak Allah saya ucapkan kepada akh Masri atas jemputan beliau ke kuliah tafsir pada awal semester baru-baru ini. Penyampaian tafsir Surah Al-Fatihah begitu menyentuh hati saya. Menurut ustaz yang menyampaikan kuliah tersebut (saya tak tahu nama beliau), di dalam Surah Al-Fatihah, disebut kalimah “ArRahman ArRahim” sebanyak dua kali (iaitu pada ayat pertama dan ketiga) kerana:

·         Pada ayat pertama, Allah ingin memberitahu bahawa Allah adalah Tuhan yang bersifat dengan sifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

·         Manakala pada ayat ketiga, diulang sekali lagi kalimah “ArRahman ArRahim” kerana Allah ingin menegaskan bahawa Dia bukan sahaja mempunyai sifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, malah Allah sentiasa menetapkan sesuatu perkara dengan sifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Ertinya, jika Allah menetapkan sesuatu perkara atau taqdir atau sebarang suruhan dan larangan, yakinlah bahawa semua itu adalah demi kebaikan dan kemaslahatan umat manusia; kerana Allah sentiasa bersifat dengan sifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


MUHASABAH


Cuba kita luangkan sejenak memikirkan apa yang menimpa diri kita pada setiap hari. Kita ditimpa kemalangan sehingga habis calar balar motosikal yang baru kita beli. Kenapa Allah taqdirkan perkara ini kepada kita? Boleh jadi kerana selama ini kita terlalu sayangkan motosikal kita sehinggakan cinta kita kepadanya lebih daripada cinta kita kepada Allah.


Begitu juga dengan hal-hal lain. Pernah kena saman? Mungkin kerana selama ini kita terlalu sayang untuk menginfaqkan duit kita pada jalan Allah, lalu Allah salurkan duit kita pada jalan yang lain…supaya kita berfikir dan sentiasa ingat bahawa,

“Semua yang ada di bumi itu akan binasa, (tetapi) wajah Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal” [Ar-Rahman: 26-27]


Masya Allah, baiknya Allah…tak pernah Dia tetapkan sesuatu melainkan kerana Dia mahu kita kembali mengingati Allah. Allah hanya mahu kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur.


ADAKAH ALLAH CEMBURU???

Namun, adakah ini bererti Allah cemburu kepada kita? Atau adakah ini bererti Allah berharap kepada manusia? Sudah semestinya tidak; sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran,

“…dan barangsiapa bersyukur, sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri…” [Al-Naml: 40]


Subhan Allah…ternyata segala kesyukuran, kerdhaan dan kepasrahan kita akan segala nikmat mahupun musibah yang menimpa diri kita; semuanya mendatangkan manfaat kepada diri kita sendiri, sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Fajr yang disebut pada awal tadi,

“…dan masuklah ke dalam SyurgaKu!" [Al-Fajr:30]


Ya, Allah mahu masukkan kita ke dalam syurga-Nya yang seluas langit dan bumi!



DITOLAK LAMARAN


Kadang-kala, terbit juga rasa simpati kala terdengar kisah insan-insan yang ditolak lamaran mereka. Dalam kalangan mereka, ada yang menerima dengan hati yang redha. Namun ada juga yang tidak dapat menerima kenyataan, lalu berterusan mengejar “bayang-bayang”. Segala nasihat telah diberi, namun masih “si dia” juga yang ber“taman” di hati.


Buat sesiapa yang termasuk dalam golongan ini, saya berdoa supaya Allah membuka hati anda agar sentiasa bermuhasabah diri. Boleh jadi Allah menetapakn semua ini kepada anda kerana anda terlalu cintakan manusia daripada cinta anda kepada Allah.


Maka, kembalilah kepada Allah. Ya, saya tahu niat anda ikhlas. Tapi dikhuatiri keikhlasan anda telah dinodai dengan penyakit hati dek kecintaan yang melampau terhadap manusia yang belum pernah menjadi milik anda sama sekali.


Renungilah sabda Nabi s.a.w,

“Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaan dalam jiwanya, Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia).  Dan sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua-dua matanya, Allah cerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditaqdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)!” [Hadis riwayat at-Tirmizi; dinilai Hasan oleh al-Albani]


Yakinlah bahawa Allah tidak akan pernah menetapkan sesuatu pekara melainkan bersamanya, disertakan dengan hikmah dan kebaikan yang akhirnya kembali kepada kita. Yakinlah bahawa Allah sentiasa bersifat dengan sifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


WalLahu a’lam.




“Sesungguhnya Allah berasa cemburu dan seorang mukmin pun berasa cemburu. Adapun kecemburuan Allah itu akan bangkit tatkala seorang mukmin melakukan sesuatu yang Allah haramkan ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]


p/s: Moga yang menyeru mampu menjadi lebih baik daripada yang diseru...amiin ya Rabbal ‘alamin…

No comments:

Post a Comment

Share your Blog with Others... =]