Masih cuba untuk pejamkan mata, tapi ternyata tak terdaya. Dibolak-balikan badannya ke kiri dan kanan. Berasa rimas. Seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“Ya Allah, teruknya aku.”
Lafaz lidahnya jujur; setelah sekian lama diam membisu.
“Kenapa aku sanggup lakukan perbuatan ini. Maafkan aku ya Allah, maafkan aku.”
Dia terus bermonolog. Sesekali terpacul di hujung bibir lafaz istighfar. Sesekali sekadar berlegar di benak sanubari.
“Ya Allah, betapa bodohnya aku. Telah aku ketahui hukumnya. Telah Kau jelaskan kedudukannya. Tetapi, kenapa aku terus mencari? Bukankah dia seorang ajnabi?”
Ternyata dia tidak dapat lagi melelapkan mata. Dibangunkan jasadnya, bersandar di bahu katil sambil jemari tangannya memicit-micit dahi yang mulai berkerut; berkerut menghitung dosa yang dilakukannya sekian lama.
“Alah…kau bukannya buat apa pun. Just bermessage. Bergurau-gurau sikit-sikit tu biasalah”
Si iblis mulai tampil.
“Tapi dia ajnabi.”
Bentak hatinya.
“Ya, dia ajnabi. Tapi, kau tak punyai sebarang niat yang tidak baik. Kau tak punyai nafsu pun kepadanya.”
Pujuk lagi si iblis. Akal dangkalnya berfikir.
“Betul juga. Lagi pun, aku memang begini sifatnya; gila-gila.”
Nyaris dia termakan pujuk rayu sang iblis.
“Tapi engkau telah mengajaknya kepada zina hati.”
Terpacul satu suara; dari lubuk hati yang dalam.
“Sungguh kau tak punyai sebarang perasaan kepadanya. Tapi engkau telah melayani kerenahnya sehinggakan dia mula melunakkan suaranya. Lupakah engkau kepada firman Tuhan?”
Dicarinya “ayat-ayat cinta” yang sepadan dengan kata hatinya.
“Hai isteri-isteri Nabi (s.a.w), kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertaqwa. Kerana itu janganlah kamu terlalu lunak dalam bicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada perasaan serong di dalam hatinya, tetapi ucaplah perkataan yang baik.” (al-Ahzab: 32)
“Ya, itulah ayatnya. Sungguh pun engkau tidak punyai sebarang keinginan kepadanya, tetapi bukankah engkau telah mendorongnya kepada maksiat dan dosa?”
Si iblis kelu. Lalu, hatinya terus bersuara,
“...Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikit pun? Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim” (al-Qasas: 50)
Si iblis mencari ruang,
“Alah…apa yang nak kau risaukan? Kau dah bersolat, dah banyak bersedekah. Pastinya telah terhapus kesemua dosa-dosa yang ‘tak seberapa’ ini”
Hatinya bersuara lagi,
“…Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan engkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksaan yang sangat berat. Dan Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang kamu lakukan” (al-Baqarah: 85)
Dan berkata lagi,
“Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan RasulNya dan janganlah kamu merosakkan pahala amalan kamu” (Muhammad: 33)
Si iblis belum berputus asa.
“Tapi, bukankah engkau memberikannya nasihat agama? Bukankah memberi nasihat itu suruhan Allah dan Rasul-Nya?”
Hatinya lantas berkata,
“Apakah orang yang dijadikan syaitan menganggap baik perkerjaaan yang buruk, lalu dia menyakini perkerjaan itu baik, sama dengan orang yang ditipu oleh syaitan? Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendakiNya…” (al-Fatir: 8)
Tiba-tiba, air matanya menitis. Pipinya mulai basah dengan linangan air mata taubat. Sesak suaranya tersedu-sedan. Bertalu-talu hatinya mendesak supaya dia kembali kepada Allah usai terpatahnya hujah-hujah taghut.
“Ya, engkau benar wahai hati. Aku telah berdosa. Aku telah berdosa kepada Allah. Syaitan ternyata telah berjaya menyesatkan aku. Aku mesti bertaubat kepadaNya. Mesti segera bertaubat kepadaNya; sebelum Dia mengambil nyawaku”
Dia lantas bangkit dari lamunan menuju ke kamar mandi, menyucikan diri dengan siraman wudhu’ dan solat sunat taubat. Tekadnya kali ini, mahu berubah. Mahu benar-benar berubah; biarpun ini bukanlah kali pertama lidahnya melafazkan kata taubat.
Telah bersabda RasululLah s.a.w di dalam sebuah hadis qudsi (yang bermaksud),
“Seseorang telah melakukan dosa, lalu dia berkata, “Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku”. Lalu Allah Azzawajalla berfirman, “Hamba-Ku melakukn dosa dan dia mengetahui bahawa baginya (ada) Tuhan yang boleh mengmpun dan menghukumnya (dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya)”.
Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa…ampunilah dosaku”. Lalu, Allah berfirman, “Hamba-Ku melakukn dosa dan dia mengetahui bahawa baginya (ada) Tuhan yang boleh mengmpun dan menghukumnya (dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya)”.
Lalu, dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa…ampunilah dosaku”. Lalu, Allah berfirman, “Hamba-Ku melakukn dosa dan dia mengetahui bahawa baginya (ada) Tuhan yang boleh mengmpun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kamu mahu, Aku ampunkan engkau ” [HR Al-Bukhari dan Muslim, lafaz adalah lafaz Muslim]
Begitulah luasnya rahmat keampunan Allah sehinggakan di dalam hadis qudsi yang lain, Allah berfirman (yang maksudnya),
“Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan kepada Ku, Aku ampunkan engkau walau apa pun dosamu, Aku tidak peduli.
Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli.
Wahai anak-anak adam, engkau jika datang kepadaKu dengan dosa yang hampir memenuhi Bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keazaman”. [HR Al-Tirmizi, dinilai hasan oleh Al-Albani]
Usah ditanya siapakah si dia? Boleh jadi dia adalah saya ataupun diri anda sendiri. Usah menipu diri sendiri. Boleh jadi kita telah melakukan dosa yang lebih besar daripada “si dia”. Dia hanya bermessage dengan ajnabi, boleh jadi kita telah melakukan kesalahan yang lebih besar daripada itu.
Berdua-duaan dengan pasangan yang bukan muhram, berpegang tangan, bergurau senda, bercanda mesra; dan yang lebih malang, ada yang dengan bangganya menyiarkan babak-babak romantik dengan si dia di laman sesawang. Di manakah malu kita? Ke manakah hilangnya perasaan malu kita?
Tidakkah pernah hati kita bersuara supaya kita kembali kepada-Nya? Jika pernah, apa yang kita tunggu lagi? Ayuhlah kita segera bertaubat, kembali kepada-Nya.
Jika hati kita tidak pernah bersuara, menyeru kembali kepada Tuhan, alangkah malangnya diri kerana dikurniakan jasad yang sihat sempurna pada zahir, tetapi hati tak ubah seperti bangkai. Maka, jadilah kita seperti mayat hidup.
Jasad bernyawa, sedang hati mati terpejam lena.
Walna’uzubilLahi min zalik.
p/s: “Seorang mukmin terasa amat-amat berat dosanya laksana seberat bukit yang akan terhempas di atas kepalanya. Sebaliknya seorang munafik merasai dosa itu ringan, seringan seekor lalat yang hinggap di muka, sebelum ditampar sudah terbang”. [maksud hadis]
jzkk
ReplyDeletesalamalaik~mabruk 'alaik utk post ini~
ReplyDeleteadakah ini pengalaman sendiri/pengalaman kenalan tdekat anda?
SHAMAD: ehm..pengalaman sape x pnting..moga sgla yg baik dpt dijadikan iktibar insya Allah..
ReplyDeleteyup..sama2 kita mengambil ibrah dari kisah ini
ReplyDelete