Termanggu. Dia merenung dari jauh. Dari satu sudut di belakang, ke hujung sudut di hadapan. Di sana, si gadis bertudung labuh, berbaju kurung khusyuk mengamati syarahan tuan professor. Sesekali, si gadis mengukir senyuman manis saat diusik teman di sisinya sedang si dia masih terus mencuri-curi pandang dari jauh. Jauh dari sudut belakang dewan kuliah.
Seketika, dia mengalihkan pandangan ke nota di muka meja. Terhias dengan warna-warni highlighter; cuma fahamnya yang belum pasti.
Anak matanya berpaling lagi dan si gadis tiba-tiba mengalihkan pandangannya. Lalu, mata bertemu mata. Dan si gadis cepat-cepat tertunduk malu sambil dicubit temannya yang sudah lama menyedari jelingan si jejaka.
Begitu juga denganya, si jejaka. Merah pipinya. Dalam malu-malu, dia melerekkan pandangannya ke syiling, lampu dan merayap ke dinding sebelum mendarat di bingkai papan putih. Malu. Malu benar rasanya, tapi bercampur pasti; mungkin si gadis juga memendam rasa!
Bila aku jatuh cinta
Aku mendengar nyanyian
1000 dewa dewi cinta
Menggema dunia
Bila aku jatuh cinta
Aku melihat matahari
Kan datang padaku
Dan memelukku dengan sayang
Bila aku jatuh cinta
Aku melihat sang bulan
Kan datang padaku
Dan menemani aku
Bagitu jiwanya bergelojak hingga senyumnya menguntum sepanjang laluan pulang. Angin yang bertiup sepoi-sepoi menghangatkan lamunannya dan dia tahu, itulah yang dinamakan cinta.
Ya, dia pasti kerana ini bukanlah kali pertama pintu hatinya diketuk. Sepenggal lalu, hatinya pernah terusik. Cuma apabila sekali terusik, bukan hanya mata yang meliar, tapi hati juga tersasar, minda mengalamun separuh sedar.
“Lebih baik membujang seumur hidup daripada mendekati yang haram!”
Begitulah nasihat seorang akh, kenalan sebayanya, sahabat sejalan dakwah. Tajam, memang tajam; sehingga menghiris hatinya, menyiat-nyiat cintanya yang terlarang hingga terputus cintanya yang pertama.
Dan kini, hatinya berbunga lagi. Jika dulu, cintanya pada muslimah. Kini, cintanya pada mukminah solehah bertudung labuh, berkurung polos, bersarung lengan dan kaki, jauh dari perhiasan “perempuan-perempuan” moden, sederhana, manis, ayu, senyumannya lembut bersahaja. Ah, semuanya tampak sempurna, suci dari cacat dan cela; kerana memang begitulah sifatnya cinta.
Bukan kerana fitrah, tapi kerana telah dihias indah oleh iblis la’natulLah. Bukankah Nabi pernah bersabda,
"Tidaklah aku tinggalkan sesudahku suatu fitnah yang lebih membahayakan bagi lelaki daripada (fitnah) wanita."
Begitulah sabda Nabi s.a.w. Tapi, ini tidaklah bererti semua wanita itu keji dan hina kerana dikatakan menjadi punca fitnah yang “berbahaya” bagi lelaki. Mana mungkin mukminah solehah ini dipersalahkan jika ada si jantan liar yang terpana dek ke"solehah"annya.
Ya, dia mengerti. Salahnya pada mata yang kufur.
“Dan katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka; yang sedemikian itu lebih suci bagi mereka (kerana) sesungguhnya Allah mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.” [An-Nuur:30]
Andai matanya patuh, pastinya dia tidak akan tersadung lagi.
“Wahai Ali, janganlah diikutkan pandangan (yang pertama) dengan pandagan (yang kedua). Untuk kamu pandangan yang pertama, dan bukan yang kedua!”
Begitulah tarbiah Rasulullah s.a.w kepada salah seorang sahabatnya yang tercinta, Saidina Ali r.a. Dan dia memahami hadis ini, juga seruan dari langit, dia mengerti semuanya kerana dia insan beragama. Tapi, bukan mudah menjaga mata.
Dan esok datang lagi. Mata yang liat mencelik dipaksa terbuka. Usai bersiap-siap, dia bergegas ke masjid, menyambut seruan Ilahi.
“Assalamualaikum wa rahmatulLah… Assalamualaikum wa rahmatulLah…”
Dia belum berganjak dari tempat solat. Diisinya ruang yang tersisa dengan bacaan ma’thurat dengan bacaan bersahaja. Mulut terkumat-kamit sedang akal merawang; masih teringatkan si dia. Kenangan semalam. Saat mata bertemu mata!
“Allahumma ‘aafini fi badani…Allahumma ‘aafini fi sam’i…Allahumma ‘aafini fi bash…”
Tiba-tiba, lidahnya terpaku kelu. Tak mampu untuk diteruskan lagi himpunan zikir ma’thurat yang berbaki. Dia termenung sebentar.
“Untuk apa aku memohon kesihatan badan, telinga dan mata…jika kemudiannya aku gunakan untuk perkara-perkara yang terlarang? Mencari cinta yang terlarang? Memandang pada perhiasan yang terlarang?”
Dan dia masih terpaku di situ, mencari jawapan.
“Bukan sekarang masanya.”
Bisik hatinya.
“Final year?”
“Awal lagi tu”
“Time Grad?”
“Awal lagi tu”
“Mana ada awal, kalau terlambat lagi, terlepas lah”
Bentak jiwanya. Dan hatinya masih tenang bersahaja,
“Engkau sedang melepaskan cinta Allah dan tiba-tiba engkau bimbang akan terlepas cinta yang belum engkau pegang sama sekali?”
Dia mengangguk-angguk.
“Jangan sesekali engkau mendekati taman yang terlarang. Sekali engkau membuka pintu dosa, engkau akan membuka pintu yang kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Dan dalam masa yang sama, engkau akan menutup satu per satu pintu-pintu kebajikan dan pahala. Engkau akan mula berasa malas untuk beribadah…dan tanda-tandanya sedang engkau rasai sekarang…”
Tarbiah si hati.
“Apa tanda-tandanya?”
Soal jiwanya.
“Ibadatmu tertegak tanpa roh, tanpa khusyuk…mujur Allah masih sayangkan kamu…dalam engkau lalai dalam mengingati-Nya, Dia masih setia mengingatkanmu…”
Allahu Akbar, dahinya mencecah bumi…tapi, masih terpacul satu persoalan,
“Bila masanya yang sesuai?”
Jawab hatinya,
“Bila imanmu telah bersedia dengan persediaan zahir dan batin. Pada saat itu, engkau tidak perlu lagi bersusah payah mencari. Jika engkau benar-benar cintakan Allah, Dia akan pasti akan menemukan engkau dengan kekasih-Nya yang turut mencintai Allah sepertimana engkau mencintai Allah.”
p/s: Tak mungkin berdirinya istana yang suci di atas tapak yang haram. Insan yang tampak soleh atau solehah pada zahirnya belum pasti mampu menjanjikan sebarang kebahagian jika salah wasilahnya, tidak syar'i pendekatannya. Mari kita berusaha menundukkan mata kerana mata memang pandai menipu.
A.I.N = mata = buta = hati = ingin = nafsu = 1 / akal = 9.
ReplyDeleteFitrah itu lumrah, takdir tertulis bukan satu...dugaan pada kemampuan, "BERJAYA"...alhamdulillah...
Berdoa memohon, pada yg Maha Pemurah...berdoa pada yg Maha Pengampun...insyaAllah...
moHoN kEr@hMaTaN d dunia & akhirat... aminn...
amboih..tersiratnya..
ReplyDeleteinsya Allah..moga kita termasuk dlm klgn org2 yg bersabar..muda lg..
insyaAllah..amin...
ReplyDeleteYa muqallibal qulub,tsabbit qulubana 'ala diinik wa 'ala thoaatik...amin ya rabbal 3alamin..