Telah bersabda Nabi s.a.w yang bermaksud,
“Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam.” [Hadis Sohih riwayat Muslim]
Di dalam hadis lain pula diceritakan bahawa Seorang sahabat, Muawiyah bin al-Hakam pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w,
“Wahai Rasulullah! Ada perkara yang kami lakukan semasa zaman Jahiliyyah (seperti) mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” Rasulullah menjawab: “Jangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” [Hadis Sohih riwayat Muslim]
Dalam mentafsirkan hadis ini, para ulama telah mentafsirkannya dengan maskud yang umum iaitu sebarang perbuatan untuk mengetahui perkara yang ghaib adalah HARAM. Hal ini termasuklah membaca horoskop, meramal pekerjaan pada masa depan melalui hari kelahiran dan sebagainya kerana kesemua ilmu ini adalah ciptaan manusia; iaitu samalah seperti kita mengunjungi tukang ramal bagi bertanyakan perkara-perkara ghaib.
Kalau diperhatikan hadis di atas, Nabi s.a.w secara umumnya bersabda “Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu” dan “Jangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib” tanpa dikhususkan sama ada orang yang mengunjungi peramal nasib itu membenarkan ramalannya ataupun tidak. Maka dengan ini, ulama menyimpulkan bahawa sebarang perbuatan untuk mengetahui perkara ghaib adalah dilarang (HARAM) walaupun kita tidak bersetuju dengan ramalan tersebut atau dengan kata lain, sekadar suka-suka.
Berkaitan dengan hukum bermain horoskop, terdapat beberapa dalil khusus berkaitan pengharamannya seperti yang diceritakan oleh salah seorang sahabat Nabi s.a.w. iaitu Zaid bin Khalid al-Juhani. Kata beliau,
“Kami bersolat subuh bersama Rasulullah s.a.w di Hudaibiyah setelah semalamnya turun hujan. Tatkala selesai, Nabi s.a.w menghadap orang ramai dan bersabda: “Tahukah kalian apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Mereka menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah menjawab (Allah berfirman): “Pada pagi ini ada di antara hamba-Ku yang beriman kepada-Ku dan ada yang kafir. Adapun orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya, maka dia beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang. Sedangkan orang yang berkata hujan turun kepada kami kerana bintang itu dan ini, maka dia kafir kepada-Ku dan beriman kepada bintang.” [Hadis Sohih riwayat Al-Bukhari]
Islam melarang penggunaan bintang, planet dan matahari sebagai sumber ramalan kerana ilmu-ilmu ghaib tidak tersimpan dalam objek-objek tersebut. Apabila seorang muslim menggunakan bintang, planet dan matahari untuk membuat ramalan tertentu, seolah-olah dia mempercayai objek-objek tersebut mampu mengkhabarkan kepada dia ilmu ghaib tentang sesuatu yang akan berlaku. Ini semua adalah kepercayaan yang salah kerana tiada siapa atau apa jua yang mengetahui ilmu ghaib kecuali Allah sebagaiman firmanNya yang bermaksud,
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja. [al-An’aam 6:59]
Katakanlah: “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” [al-Naml 27:65]
Bahkan para Rasul dan Nabi sendiri tidak mengetahui perkara ghaib sebagaimana firmanNya yang bermaksud,
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.” [al-A’raaf 7:188]
Apa-apa ilmu ghaib yang diketahui dan dikhabarkan oleh Rasulullah di dalam hadis-hadis baginda yang sahih seperti kejadian pada akhir zaman, kehidupan di alam kubur, suasana Hari Akhirat dan sebagainya, semua itu adalah daripada apa yang dikhabarkan oleh Allah kepada baginda:
Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya). [al-Jin72:26-27]
Oleh itu sesiapa yang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib, dia seorang pendusta. Lebih dari itu dia sebenarnya cuba menjadi sekutu bagi Allah dengan meletakkan dirinya sejajar dengan keilmuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w melarang kita daripada mengunjungi orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib. Dan apa yang paling membimbangkan kita ialah seandainya perbuatan yang didasari sebagai niat main-main itu telah menyebabkan Allah ta’ala tidak menerima ibadah solat kita selama 40 hari sebagaimana yang telah disebut di dalam hadis sebelum ini.
Wallahu a’lam…
[Tolong sebarkan demi kemaslahatan umat Islam]
No comments:
Post a Comment