Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Friday, October 8, 2010

SEMUA ALAT MUZIK ADALAH HARAM??


DALIL-DALIL YANG MENGHARAMKAN ALAT MUZIK


1. "Pasti akan berlaku satu kaum dari umatku yang menghalalkan zina, kain sutera, arak dan ALAT2 PERMAINAN MUZIK." [HR AL-BUKHARI]


2. "Sesungguhnya akan ada segolongan manusia dari umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. (Mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi MUZIK atau suara para artis. Allah s.w.t. akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan akan merubah mereka menjadi kera atau babi." [HR IBNU MAJAH]


3. "Sesungguhnya Allah Ta’ala mengutuskan aku untuk membawa rahmat dan petunjuk kepada seluruh alam, dan memerintahkan aku supaya menghapuskan MAZAMIR (alat-alat muzik yang bertiup) dan KABARAT iaitu gambus dan SERULING serta berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah." (HR Ahmad )



4. "Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengharamkan arak, judi, GENDANG dan GHUBAIRA’’ dan tiap-tiap yang memabukkan adalah haram." [HR Abu Daud]

Ulamak berselisih pendapat mengenai makna GHUBAIRA’.  Ada yang menyatakan tonbur ( alat muzik seumpama gitar yang mempunyai tali daripada tembaga. Berasal dari Parsi). Ada yang menyatakan gitar, ada yang menyatakan gambus dan lain-lain .[Lihat Nailu al-Autar oleh as-Syaukani.]


5. “Dan ada di antara manusia yang membeli “ Lahwu al-Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah..” (Surah Luqman: 6)



Sesungguhnya dalil-dalil di atas adalah dalil-dalil yang digunapakai oleh para ulama’ yang menghukum bahawa alat muzik adalah haram di sisi Islam. Dan kalau diperhatikan dalil-dalil di atas:

  1. Ada yang mengharamkan KESEMUA JENIS ALAT MUZIK (no.1 & no.2)
  2. Ada yang mengharamkan ALAT MUZIK BERTIUP (no.3)
  3. Ada yang mengharamkan ALAT MUZIK BERTALI (no.3 & no.4)
  4. Ada yang mengharamkan GENDANG (no.4)

Adapun berkenaan dengan ayat ke-6 Surah Luqman, huraiannya adalah seperti berikut:





HURAIAN DAN PENDAPAT ULAMA’ BERKENAAN AYAT 6 SURAH LUQMAN


Firman Allah Taala yang bermaksud: 'Dan ada di antara manusia yang membeli “Lahwu al-Hadis ” bagi tujuan menyesatkan manusia daripada jalan Allah dengan tanpa ilmu. Dan mereka mempersenda-sendakan orang yang berjuang untuk menegakkan agama Allah. Bagi mereka itu azab yang hina.(Surah Luqman: 6)


(a)   SEBAB TURUN AYAT



Menurut pendapat yang masyhur sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Juwaibir  daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa ayat ini diturunkan kepada seorang kafir Quraisy yang bernama an-Nadhar bin al-Harith. Beliau telah membeli seorang jariah, yang merupakan seorang penyanyi. Apabila an-Nadhar mendengar ada orang yang ingin masuk Islam, maka orang itu diajaknya datang ke tempatnya, lalu dia berkata kepada penyanyi tersebut:

"Berilah orang ini makanan dan minuman, dan perdengarkanlah nyanyianmu kepadanya.”



Kemudian dia berkata kepada orang tersebut:

“Ini lebih baik bagimu daripada apa yang di ajak oleh Muhammad untuk mengerjakan sembahyang, berpuasa dan berperang mengikut dia.”



Maka turunlah ayat di atas, mencela  perbuatan jahat tersebut dan memberi amaran keras dengan siksa api neraka yang sangat pedih dan hina.

[As-Suyuti menyebutkan dalam Lubab an-Nuqul fi Asbab an-Nuzul bahawa Ibnu Jarir meriwayatkannya melalui toriq al-‘Aufi daripada Ibnu Abbas r.a.]


(b)   PANDAGAN ULAMA’ MENGENAI “AL-LAHWU AL-HADIS”




  • Ibnu Kathir mentafsirkannya dengan makna orang jahat yang berpaling daripada mengambil manfaat dengan mendengar kalamullah dan menghadap kepada nyanyian-nyanyian dan alat-alat muzik.

  • Abdullah bin Mas’ud menyatakan bahawa maksudnya ialah nyanyian-nyanyian sebagaimana maksud kata-katanya: “Nyanyian, Demi Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia”. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

  • Al-Hasan al-Basri berkata: "Ia adalah nyanyian dan alat-alat muzik."

  • Mujahid berkata: "Ia adalah nyanyian dan alat-alat tiupan."

  • Ad-Dhohhak mengatakan: "Termasuk dalam maknanya juga ialah syirik kepada Allah."

  • Ibnu Jarir berkata bahawa: "Setiap perkataan , ucapan, kisah dan cerita yang bertujuan untuk menghalang manusia daripada menghayati ayat-ayat Allah dan mengikuti jalannya , maka termasuklah di dalam maksud ayat ini."

  • Berkata al-Imam as-Suyuti: "Iaitu apa sahaja yang melalaikan daripada melakukan perkara yang sepatutnya diambil berat."

  • Al-Ustaz Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang menegaskan dalam tafsirnya at-Tibyan Fi Tafsir al-Quran al-Karim bahawa: "Termasuk juga makna ‘Lahwa al-Hadith’ ialah segala kerja atau kegiatan yang dilakukan pada masa sekarang ini di atas nama kebudayaan dan seumpamanya yang bertujuan supaya para belia Islam tidak ada masa untuk pergi berusrah atau mengkaji agama mereka untuk memahami ajaran agamanya. Kegiatan-kegiatan seumpama ini akan menghalang para belia Islam untuk bangun berjuang menegakkan agama Allah. Mereka ini dilalaikan dengan program-program yang sengaja diadakan untuk menyesatkan mereka.” [Lihat Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh al-Alusi, Mukhtasar Ibnu Kathir oleh Mohd Ali al-Sobuni, Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibnu Kathir, Tasir al-Jalalain oleh al-Suyuti dan al-Mahalli, al-Jami’u Li Ahkam al-Quran oleh al-Qurtubi dan al-Tibyan Fi Tafsir al-Quran al-Karim oleh Haji Abdul Hadi Awang.]






APA KATA ULAMA’ TENTANG ALAT MUZIK?



Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi menegaskan dalam kitabnya Idhoh ad-Dilalat fi Sama’i al-Alat-(Menjelaskan dalil-dalil dalam masalah yang berkait dengan hukum mendengar alat-alat muzik)– bahawa:

“Hukum haram segala bentuk alat muzik yang disebutkan dalam hadis bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau suara dan bunyian yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara burung juga termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulamak telah bersepakat bahawa suara kicauan burung dan seumpamanya itu tidaklah dihukum haram. "

"Bahkan mengguna dan mendengar alat-alat muzik dihukum haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang haram yang beserta dengannya dan juga yang membawa kepada “al-Lahwu”.



Menurut beliau lagi,

“Al-Lahwu” ialah perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia lalai daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah serta membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang oleh syariat.”



Beliau seterusnya menegaskan bahawa,

“Sesiapa yang memerhatikan semua hadis yang datang daripada Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam mengenai alat-alat muzik ini, dia akan mendapati larangan-larangan tersebut dikaitkan dengan menyebut ‘ al-Malahi ’ – iaitu perkara-perkara yang melalaikan - dan juga menyebut tentang arak, penyanyi-penyanyi perempuan yang mendedahkan aurat, perkara-perkara keji dan kefasikan bersamanya. Ini bermakna ia dihukum haram dengan sebab perkara-perkara haram tersebut bukannya alat muzik itu sendiri."

"Hadis-hadis yang tidak menyebutkan perkara-perkara (haram) tersebut (seperti hadis no1, 3, & 4) adalah hadis-hadis Ahad yang tidak boleh dithabitkan hukum dengannya secara qot’ie (putus dan muktamad). Bahkan hadis-hadis yang bersifat mutlak (umum) ini, dikhususkan oleh hadis-hadis yang menyebut tentang perkara-perkara haram yang mengiringi permainan muzik. "

"Dengan itu, maka hadis-hadis yang menyebut tentang pengharaman alat-alat muzik hendaklah dilihat dalam konteks bahawa ianya disertai dengan perkara-perkara haram dan boleh menyebabkan kelalaian kerana di sana terdapat hadis yang melarang bermain muzik dikaitkan dengan perkara tersebut.”



Pendapat Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi ini turut dipersetujui oleh al Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa sebagaimana tersebut dalam kitabnya Fatawa Mustofa az-Zarqa. Bahkan beliau turut memperakui bahawa kitab karangan Al-‘Allamah as-Syeikh Abdul Ghani an-Nabulsi tersebut adalah sebagai rujukan terbaik dalam mengetahui hukum yang berkait dengan masalah alat-alat muzik. Dalam kitab Fatawanya juga, al-Ustaz Mustofa Ahmad az-Zarqa telah menukilkan pandangan al-‘Allamah Ibnu ‘Abidin r.a. dalam Hasyiahnya, syarah kepada kitab Raddu al-Mukhtar di mana nas kata-katanya ialah:

“Aku berpendapat: Ini semua memberi maksud bahawa alat-alat muzik itu bukanlah haram kerana alat muzik itu sendiri, tetapi ia di sebabkan al-lahwu (iaitu disertai dengan perkara-perkara haram dan melalaikan daripada menunaikan tanggunggjawab dan kewajipan kepada Allah). Hukum ini sama sahaja sama ada orang yang mendengarnya atau bermain menggunakannya ”.



Beliau seterusnya menegaskan,

“Apakah kamu tidak lihat bahawa hukum bermain alat muzik itu, kadang-kadang harus dan kadang-kadang dihukum haram. Ini semua adalah disebabkan perbezaan niat dan tujuan mendengarnya. Dan sesungguhnya setiap perkara itu adalah berdasarkan kepada tujuan dan niatnya ”.





Di antara ulamak mutakhir di zaman kita ini yang sependapat dengan golongan ulamak yang kedua ini ialah as-Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhowi sebagaimana dijelaskan dan dihuraikan dengan pangjang lebar dalam kitabnya Malamih al-Mujtama’ al-Muslim Allazi Nansyuduhu-(Ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang kita idamkan)-dan juga al Halal wa al-Haram fi al-Islam-(Halal dan haram dalam Islam).



Dalam huraian tersebut beliau telah menolak hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh golongan yang mengharamkan alat-alat muzik dengan menyatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai alat-alat muzik adalah dipertikaikan kesahihannya.



Sekalipun hadis no.1 di sebutkan dalam kitab Sahih al-Bukhari tetapi ia termasuk dalam kategori “ al- Mu’allaqat” bukan termasuk dalam kategori hadis yang sanadnya bersambung.



Pada sanadnya terdapat seorang perawi Hisyam bin Ibn ‘Ammar yang dipersoalkan oleh sebahagian ahli hadis:



  • Abu Daud berkata tentangnya: “Beliau meriwayatkan empat ratus hadis yang tidak mempunyai sebarang sandaran.”


  • Imam Ahmad berkata: “Dia tidak teliti dan lemah akal.”


  • Al-Hafiz az-Zahabi pernah berkata mengenainya: “Beliau jujur dan banyak riwayat, namun ada perkara yang tidak disenangi tentangnya.”

Selain daripada dipertikaikan kesahihannya, pendalilannya juga dipertikaikan. Ini kerana perkataan al-ma’azif sebagaimana dalam hadis tersebut belum ada persepakatan tentang maknanya secara tepat. Menurut sebahagian orang ia bermaksud “permainan-permainan”. Ini sangat umum. Ada juga yang mengatakan ia bermakna “ alat-alat muzik ”.


Selain itu, hadis itu juga tidak mempunyai makna yang jelas tentang pengharamannya kerana ungkapan ( يستحلون –yang diterjemahkan dengan makna mereka menghalalkan ) dalam hadis itu mempunyai dua makna sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn al-‘Arabi:
  • Dengan makna hakiki bukan majazi iaitu mereka beriktikad bahawa perkara tersebut adalah halal.
  • Ia adalah kiasan (majaz) yang bermaksud bermudah-mudah menggunakan perkara tersebut.

Beliau juga telah menegaskan bahawa hadis ini adalah menjelaskan tentang perilaku sekelompok manusia yang tenggelam dalam kemewahan, kefoyaan dan arak. Mereka dikelilingi oleh arak dan wanita, permainan dan nyanyian serta zina dan sutera. Oleh itu kita dapati Ibn Majah meriwayatkan hadis ini dari Abu Malik al Asy’ari dengan lafaz yang bermaksud:

“Akan ada di kalangan umatKu yang akan meminum arak yang dinamakan dengan nama lain. Kepala-kepala mereka dipenuhi dengan alat-alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita. Allah akan memasukkan mereka ke dalam tanah dan akan menggantikan rupa mereka dengan rupa kera dan babi ”.


Perkara  yang sama juga telah diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dan al-Bukhari dalam kitab Tarikhnya. Setiap mereka yang meriwayatkan hadis ini bukan melalui Hisyam Ibn ‘Ammar meletakkan ancaman itu ke atas orang yang meminum arak dan bukannya pada alat-alat muzik tersebut. Alat-alat muzik tersebut hanya dijadikan sebagai penyempurna dan yang mengikuti mereka.


Selain daripada Dr. Yusuf al-Qardhowi, bekas Syeikh al-Azhar Fadhilah al-Imam al- Akbar as-Syeikh Ja-du al-Haq Ali Ja-du al-Haq (telah meninggal dunia pada pertengahan 90-an) juga bersependapat dengan pendapat yang mengharuskan alat-alat muzik sebagaimana yang dapat dilihat dalam kitab himpunan fatwa-fatwanya mengenai persoalan-persoalan semasa yang bernama Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mu’asirah, juzuk ke v.



Dalam jawapan atau fatwanya yang panjang lebar mengenai hukum mendengar alat muzik itu, beliau akhirnya membuat kesimpulan dengan berkata: 

“Sebagai mengambil sikap jalan tengah antara pendapat-pendapat ulamak tersebut, maka kami lebih cenderung untuk berkata bahawa mendengar alat-alat muzik walau apa pun jenis dan bentuknya, menghadiri majlis-majlisnya dan mempelajarinya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang diharuskan. Dengan syarat ia tidak mendorong kepada membangkitkan nafsu syahwat, perlakuan-perlakuan tidak senonoh dan tidak disertai dengan arak, tarian-tarian, perkara-perakara yang buruk dan fasik atau digunakan untuk perkara-perkara haram atau ia digunakan sebagai wasilah atau alat yang membawa kepada berlakunya perkara haram dan mungkar atau ianya boleh melalaikan daripada menunaikan tanggungjawab dan kewajipan.”




Demikian juga pandangan Prof. Dr. Hamka. Beliau telah menyebut dalam tafsirnya ‘Al-Azhar’ (jil.7, m.s.5559) di mana katanya:

“Semata-mata nyanyian pada pokoknya tidaklah haram. Baru jadi haram kalau dia telah menjadi permainan kata-kata yang menimbulkan syahwat. Majlis Tarjih Muhammadiyyah pada Kongres Muhammadiyyah ke 20 di Yogyakarta tahun 1931 telah mengambil kesimpulan bahawa ala-alat muzik itu pada pokoknya tidaklah apa-apa. Dia akan terpuji kalau nyanyian yang dinyanyikan atau dimuzikkan dapat menambah ghairah agama. Sebaliknya dia menjadi haram hukumnya jika dia akan menimbulkan kelalaian kita beragama.”




KESIMPULAN 


Ulamak yang mengHARAMkan ALAT-ALAT MUZIK adalah bersandarkan kepada ayat di atas dengan menyatakan bahawa ia termasuk dalam erti kata al-Lahwu al-Hadith sebagaimana pendapat al-Hasan al-Basri, Mujahid dan mereka yang sependapat dengannya.


Manakala ulamak yang mengHARUSkannya pula berpendapat bahawa ayat di atas menyebutkan dengan jelas dan terang bahawa larang-larangan itu tidaklah ditujukan kepada nyanyian atau alat-alat permainan itu sendiri, tetapi ia disebabkan oleh faktor yang lain iaitu sebagaimana yang diterangkan dalam ayat itu sendiri yang bermaksud:‘supaya dia dapat menyesatkan manusia dari jalan Allah’.



Oleh itu sekiranya nyanyian dan alat-alat muzik itu dibeli atau dipergunakan untuk melalai dan menyesatkan manusia dari jalan Allah atau yang boleh mendorong dan mempesonakan orang ramai sehingga melampaui batas syarak, maka pastilah bahawa hukumnya adalah haram.



Bahkan termasuklah juga semua perkara, benda, alat, program dan apa sahaja yang melalai dan menyesatkan manusia. Inilah yang dikatakan Lahwu al-Hadith, sebagaimana pendapat Ibnu Kathir dan juga para ulamak yang lain sebagaimana yang disebutkan di atas.



Jika dilihat kepada sebab turun ayat di atas, ia lebih menjelaskan dan memperkuatkan lagi pendapat golongan ulamak ini. Ini kerana ia diturunkan kerana mencela an-Nadhar yang menggunakan hiburan yang terdiri daripada penyanyi dan alat muzik untuk melalai dan menyesatkan manusia bukannya mencela nyanyian dan alat muzik itu sendiri.



Walau bagaimanapun ia menjadi HARAM dan dicela jika berlaku sebagaimana yang telah dihuraikan di atas. Oleh itu ayat ini tidak boleh dijadikan dalil untuk mengharamkan semua jenis alat muzik sebagaimana yang menjadi sandaran kepada golongan ulamak yang mengharamkannya.



WalLahu a'lam…


p/s: Imam Malik pernah berkata: Tidak pernah menjadi sikap golongan yang telah mendahului kita yang telah menjadi ikutan mengatakan: “ Ini halal, itu haram. Sebaliknya mereka berkata: Saya tidak suka ini, saya berpendapat begini”.





original link: http://www.facebook.com/note.php?note_id=465222316487

1 comment:

  1. Dimanakah hassan al bashri membeli kain sutera

    ReplyDelete

Share your Blog with Others... =]