Assalamualaikum wa rahamtulLahi wa barakatuH…
Ke hadapan kakanda yang dicintai…
Warkah ini adinda tujukan khas buat kakanda sebagai tanda kasih dan saying adinda kepada kakanda. Terlebih dahulu, adainda panjatkan segala puji buat Allah s.w.t yang telah memberikan sedikit kelebihan kepada adinda dalam sudut pengetahuan agama berbanding kakanda.
Maka, semestinya menjadi suatu kewajiban kepada adinda untuk menyampaikan secebis ilmu yang ada terlebih-lebih lagi buat keluarga yang terdekat; dan siapakah lagi yang lebih dekat di hati adinda selepas ayahanda dan bonda? Ya, sudah semestinya kakanda lah gerangannya (sementara adinda masih bujang…hehe)
Kakanda yang disayangi…
Sedalam mana pun cinta dan saying adinda terhadap kakanda, ketahuilah bahawa Allah terlebih-lebih sayang kepada kakanda berbanding adinda. Dan ketahuilah bahawa kemuncak kasih sayang dan cinta Allah kepada kakanda adalah setelah dinuzul-Nya ayat ke 31 daripada Surah An-Nuur yang bermaksud,
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada…”
Sesungguhnya, tidak lah Allah menurunkan ayat ini melainkan untuk menjaga serta memelihara maruah dan kehormatan kaum Hawa seperti kakanda, sebagaimana firman-Nya di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 59 yang bermaksud,
“Hai Nabi ‘Alaihissalam, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang”
Kakanda yang dikasihi…
Ketahuilah bahawa perkataan tudung di dalam Bahasa Arab, sebagaimana yang disebut di dalam Surah An-Nur dipanggil sebagai “Khimar”. Tahukah kakanda bahawa perkataan asal bagi khimar ialah khammara yang membawa erti “menutup” atau “melindungi”.
Kakanda yang cantik rupawan…
Allah s.w.t Maha Bijaksana. Apabila Dia memilih perkataan “khimar” yang ditakrifkan sebagai tudung, Dia sebenarnya berkehendakkan supaya khimar ini berperanan lebih daripada sekadar menutup tubuh badan; sebaliknya juga berperanan untuk melindungi “perhiasan” kakanda daripada pandangan ajnabi iaitu Kaum Adam.
Maka, tahu serta fahamlah kita di sini bahawa tidak lah tudung yang dipakai oleh kebanyakan wanita di akhir zaman ini tidak lah layak untuk dinisbahkan dengan khimar jika ianya tidak mampu melindungi diri mereka daripada menjadi objek tatapan kaum lelaki.
Cuba kakanda perhatikan tudung yang dipakai oelh sebilangan muslimah dewasa ini…ada yang singkat tidak menutupi dada, ada yang dihiasi dengan seribu satu manik beraneka rupa, ada yang diwarnakan dengan warna yang mmikat mata…pada pandangan kakanda, adakah tudung-tudung seperti ini mampu melindungi wanita daripada pandagan lelaki ajnabi? Atau sebaliknya, bentuk-bentuk tudung seperti ini lebih menarik perhatian juga pandangan kaum lelaki?
Kakanda yang dirindui…
Mari kita perhatikan pula bait aya-ayat cinta di penghujung ayat ke-31 Surah An-Nuur yang bermaksud,
“…Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
Ketahuilah kakanda bahawa ayat ini tidak lebih daripada penjelasan terhadap tujuan pensyaritan khimar iaitu supaya tidak menarik perhatian ajnabi. Apalah gunanya bertudung labuh sekalipun, jika pakaian itu terang-benderang warnanya, ditambah pula dengan kasut tumit tinggi yang menghasilkan bunyi yang mampu menarik pandangan liar lelaki asing. Kalaupun kasut tumit tinggi itu tidak menghasilkan sebarang bunyi, tidakkah ianya mampu menonjolkan bentuk badan si pemakainya?
Kakanda yang bijaksana…
Berhati-hatilah dengan fitnah dunia. Usah lah kakanda tertipu dengan helah dunia. Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak pernah wujud istilah “berfashion sambil menuruti syariat” seandainya fashion yang menjadi pilihan itu hanya menarik lagi perhatian kaum lelaki kepada kakanda.
Kerna itulah telah adinda katakan sebelum ini yang bakal permaisuri adinda nanti (insya Allah) hanya akan memakai khimar berwarna hitam kerana ini bukanlah kehendak adinda, sebaliknya kehendak Dia yang menetapkan hukum-hakam iaitu Allah Yang Maha Bijaksana.
Tetapi, tidak lah pula adinda maksudkan dengan khimar hitam ini semata-mata khimar yang berwarna hitam pada zahirnya, sebaliknya apa yang adinda maksudkan adalah sebarang bentuk pakaian yang tidak menarik perhatian lelaki lain; bukanlah kerana adinda kuat cemburu, tetapi sebagai menuruti perintah Allah ta’ala.
Kakanda yang dikenang selalu di dalam doa…
Adinda doakan semoga kakanda diberi taufiq dan hidayah-Nya juga kekuatan untuk sentiasa mematuhi perintah Allah Yang Esa. Ketahuilah kakanda bahawa hakikat wanita yang cantik sebenar-benarnya tidak berkehendak kepada sebarang bentuk perhiasan tambahan kerana dirinya sendiri telah cantik. Dihiasi pula dengan akhlaq yang mulia serta sifat keibuan yang tentu sahaja menyerlahkan lagi kecantikannya. Dan siapakah lagi yang lebih berhak untuk menatap kecantikan kakanda jika bukan pengemudi bahtera keluarga kakanda iaitu si suami yang amat kakanda cintai.
Maka, berhias lah untuknya dengan seindah-indah hiasan dan solekan, jua dilengkapi dengan tutur kata yang lembut berbahasa.
Semoga kakanda ditempatkan dalam kalangan wanita solehah penghuni syurga.
Amiin ya Rabb al-‘Alamiin…
Yang tulus ikhlas,
Adindamu.
No comments:
Post a Comment