Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Sunday, December 26, 2010

SIFAT-SIFAT ALLAH: Salaf vs Khalaf



Telah berlaku perdebatan yang berpanjangan antara dua kelompok ini (Salaf dan Khalaf) dalam memahami ayat-ayat yang bersangkutan dengan sifat-sifat Allah yang mutasyabihat. Sesungguhnya, perbahasan yang berpanjangan ini mempunyai titik pertemuan jika kedua-keduanya berusaha untuk bersatu dan berhenti daripada pertelingkahan yang ternyata tidak membawa kepada sebarang peningkatan amal.


Sebelum saya menghuraikan dengan lebih lanjut tentang permasalahan ini, suka lah untuk saya menjelaskan bahawa pemilihan tajuk ini (SIFAT-SIFAT ALLAH: Salaf vs Khalaf) bukanlah bertujuan untuk menambahkan lagi kekeruhan antara dua mazhab aqidah Islam ini; sebaliknya, ianya semata-mata bertujuan untuk menarik perhatian kepada kedua-dua pihak yang telah terlalu lama menyibukkan diri dengan perkara yang sangat asas di sisi agama ini.


SIFAT-SIFAT ALLAH DALAM PANDANGAN AKAL


Manusia yang memiliki akal yang sejahtera pastinya dapat memikirkan kesempurnaan zat Allah setelah memerhatikan kesempurnaan alam ciptaan-Nya. Dengan sekadar melihat kesempurnaan alam yang ada di sekeliling kita, akal yang sejahtera tidak lagi memerlukan dalil atau keraguan akan kewujudan, kekuasaan dan kesempurnaan zat Yang Maha Esa.


Zat ini tentu sahaja lebih berkuasa daripada segala-galanya kerana segala yang ada di alam ini; di langit mahupun di bumi, semuanya merupakan ciptaan Allah. Bahkan, zat ini telah pun ada sebelum alam ini diciptakan-Nya.


Zat ini juga akan terus ada walaupun seluruh ciptaan-Nya tidak ada dan Dia lah jua yang akan memutuskan hukuman setelah makhluq-Nya tiada nanti.


Dengan penjelasan ini, yakinlah kita bahawa Pencipta alam ini merupakan pengatur yang yang Maha Sempurna dan Zatnya tidak dapat dibayangkan oleh akal kita yang sangat terbatas. Pencipta alam ini juga jauh daripada segala kekurangan.


“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menuruti fitrah itu. Tidak ada perubahan dalam fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, namun kebanyakan manusia tidak mengetahui. [30:30]


SIFAT-SIFAT ALLAH MENYAMAI MAKHLUQ?


Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang berbicara mengenai sifat-sifat Allah. secara kasar, ayat dan hadis ini memiliki persamaan antara sifat Allah dan makhluq.

“Segala Yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan tetap kekalah WAJAH Tuhanmu Yang mempunyai kebesaran dan Kemuliaan.” [55:26-27]

“(Iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah yang BERSEMAYAM di atas Arasy.” [20:5]


Di dalam hadis juga, terdapat kata yang disandarkan kepada Allah sebagaimana yang terdapat dalam ayat-ayat Al-Quran; seperti perkataan Al-Wajhu (wajah), Al-Yadd (tangan) dan sebagainya, seperti,

 “Hati seorang mukmin berada di antara DUA JARI dari JARI-JARI Allah” [HR Muslim]

“Hajarul Aswad adalah yaminullah (TANGAN KANAN ALLAH) di muka bumi.” [HR Al-Hakim]


KHILAF UMAT ISLAM DALAM MEMAHAMI SIFAT-SIFAT ALLAH


Dalam memahami sifat-sifat Allah, umat Islam telah terbahagi kepada empat kelompok iaitu:


·                    Kelompok yang memahami sifat Allah secara zahir. (iaitu kelompok Mujassimah dan Musyabbihah)

·                    Kelompok yang mengingkari sifat-sifat Allah (iaitu kelompok Mu’athilah atau Jahmiyah)

·                    Mazhab salaf (iaitu umat Islam yang hidup sebelum 300H, kelompok Salafiah yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, & kelompok Wahhabiah yang diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab)

·                    Mazhab khalaf (iaitu kelompok Asya’irah yang diasaskan oleh Abul Hassan Al-‘Asy’ari, & kelompok Maturidiah yang diasaskan oleh Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur al-Maturidi


Oleh kerana penulisan saya pada kali ini menjurus kepada mazhab salaf dan khalaf, saya tidak berkehendak untuk menghuraikan dengan lebih lanjut terhadap kelompok pertama dan kedua.


Secara umumnya, kelompok yang pertama menetapkan bahawa Allah memiliki sifat yang sama seperti makhluq (seperti mempunyai wajah seperti makhluq, tangan seperti makhluq, tertawa seperti makhluq), manakala kelompok yang kedua menafikan sifat-sifat tersebut secara mutlaq (seperti mengatakan Allah tidak mendengar, tidak melihat dan tidak berbicara). Memadailah kedua-dua kelompok ini dibantah keyakinan mereka dengan ayat berikut,

“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.” [42:11]


Adapun mazhab salaf, mereka berkata,

“Kami mengimani ayat-ayat dan hadis-hadis tentang sifat sebagiamana adanya dan menyerahkan penjelasan tentang maksud yang sebenar kepada Allah.”


Mereka menetapkan bahawa Allah memilki Yadd (tangan), Ad-Dhahik (tertawa), Ta’ajjub (berasa kagum) dan semua sifat-sifat mutasybihat. Namun, makna dan maksud sebenarnya tidak diketahui. Atau dengan kata lain, mereka menyerahkan hakikat sebenar-benarnya kepada Allah. Perbuatan ini bertepatan dengan sabda Nabi s.a.w,

“Berfikirlah tentang ciptaan Allah dan jangan berfikir tentang zat Allah kerana kalian tidak akan mampu mengetahui hakikat-Nya.” [HR Abu Nu’aim & Al-Ashbahani. Al-Hafiz Al-Iraqi berkata, “Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dengan sanad dha’if, sedangkan riwayat Al-Ashbahani (diriwayatkan) dengan sanad yang lebih sahih”]


Sebagai kesimpulan, mazhab salaf memutuskan bahawa tidaklah serupa antara sifat Allah dengan sifat makhluq.


Mazhab khalaf pula berkata,

“Kami menetapkan bahawa makna ayat-ayat dan hadis-hadis sifat ini tidak dapat diertikan secara zahir. Ia hanyalah kata kiasan (majaz) yang boleh ditakwil.”


Kerana itu, mereka mentakwilkan (mengertikan) lafaz Al-Wajhu (wajah) sebagai Zat Allah, lafaz Al-Yadd (tangan) sebagai kekuasaan Allah, Al-A’yun (banyak mata) sebagai pengawasan ketat Allah terhadap hamba-hamba-Nya.


Sesungguhnya, tidaklah mereka melakukan hal ini melainkan bagi menghindari perbuatan tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluq)


ANTARA SALAF & KHALAF


Dua kaedah yang diguna pakai oleh kedua-dua mazhab ini telah menyebabkan pertelingkahan antara kaum Muslimin. Setiap mazhab sentiasa memperkuatkan mazhabnya dengan dalil dan pandangan masing-masing.


Walau bagaimanapun, jika permasalahan ini dibahas dengan teliti, akan diketahui bahawa perbezaan antara kedua-duanya tidak lah terlalu jauh; dengan syarat, kedua-dua pihak harus meninggalkan sikap EKSTREM.


Perbahasan ini pada akhirnya akan sampai kepada satu kesimpulan iaitu Tafwidh (penyerahan) kepada Allah iaitu penyerahan akan hakikat maksudnya kepada Allah. Dan secara umumnya, kedua-dua mazhab ini bersepakat dalam perkara-perkara berikut:


·         Kedua-dua mazhab ini bersependapat dalam melakukan tanzih (penyucian) terhadap Allah dari sikap tasybih (persamaan) dengan makhluq-Nya.

·         Kedua-dua mazhab ini bersependapat bahawa lafaz yang dimaksudkan dalam nas merupakan hak Allah sehingga tidak boleh diertikan secara zahir. Hal tersebut sangat berbeza dengan lafaz yang berkaitan dengan makhluq. Dengan ini, kedua-dua mazhab ini sama-sama menolak adanay tasybih (peneyrupaan) Allah dengan makhluq.

·         Kedua-dua mazhab telah mengetahui dan mengajui bahawa susunan kata yang dibuat untuk mengungkapkan perasaan jiwa atau menjelaskan sesuatu yang dapat dikesan oleh panca indera tidak akan mampu menjangkaui hakikat sesuatu yang tidak diketahui oleh pemilik bahasa tersebut. Apatah lagi jika hakikat itu berkaitan dengan zat Allah. Menyedari hakikat ini, apa pun bahasa tidak akan mampu tidak akan mampu mengungkapkan hakikat zat Allah yang tidak pernah sekali pun dilihat oleh mana-mana manusia.


Jika kedua-dua mazhab telah mencapai persepakatan dalam masalah takwil, ruang lingkup khilaf antara mereka dapat diminimumkan. Para ulama khalaf ingin menambah makna yang dimaksudkan dengan melakukan takwil. Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh ulama khalaf adalah dalam rangka tanzihillah (menyucikan Allah) dan menjaga aqidah orang awam dan mereka yang baru memeluk Islam dari syubhat tasybih. Secara logiknya, perbezaan ini tidak sepatutnya menimbulkan perbalahan.


RENUNGAN BUAT SALAF & KHALAF


Telah tiba masanya untuk kedua-dua pihak menghentikan segala pertelingkahan yang sangat tidak berasas ini. Adalah sesuatu sangat mengecewakan dan amat merugikan umat Islam apabila para ulama dan ilmuwan Islam daripada kedua-kedua mazhab ini menumpukan perbahasan mereka pada sesuatu yang langsung tidak membawa kepada amal ketika mana umat Islam di sekeliling mereka mengharapkan bantuan mereka dalam menyelesaikan isu-isu semasa yang melanda hal-ehwal harian umat Islam; bermula dengan keruntuhan akhlaq dan dibelenggu penjajahan minda dan fizikal.


Buat kedua-dua mazhab, berhentilah daripada berterusan menyemai budaya takfir (mengkafirkan) antara satu sama lain dan hendaklah kalian saling bantu-membantu dalam menyemai benih dakwah di seluruh pelusuk dunia.


Hendaklah kedua-duanya berhentilah daripada terus menabur fitnah yang tidak berasas antara satu sama lain dengan meluruskan pembacaan terhadap kitab-kitab yang ditulis oleh pengasas kedua-dua mazhab bagi memahami prinsip aqidah sebenar yang diimani oleh kedua-duanya.


Sesungguhnya, penglibatan para ulama dan pengikut kedua-dua mazhab ini dalam pertelingkahan tentang perkara remeh-temeh dalam agama telah mengundang kerugian yang amat besar kepada umat Islam.


Sedarlah, walau siapa pun kita; baik Asya’irah, Maturidiah, Salafiah mahupun Wahhabiah, kita semua adalah Ahlul Sunnah Wal Jama’ah selagi mana kita sentiasa menjungjung tinggi prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah dan senitiasa mengamalkan akhlaq Islamiyyah.


p/s: Takfir dan tuduhan melulu, dan mendahulukan hukuman dan kecaman sebelum mendengar hujjah daripada kedua-dua pihak dan tidak pula berusaha untuk membetulkan fahaman mereka yang tersasar bukanlah akhlaq Ahlul Sunnah Wal Jama’ah. Sebaliknya, golongan ini hanya bertopengkan Ahlul Sunnah Wal Jama’ah.

No comments:

Post a Comment

Share your Blog with Others... =]