Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Thursday, December 23, 2010

KISAH IBNU TAIMIYYAH & ULAMA MENJAGA JUBAH



Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (661-728H) merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau merupakan ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, juga pejuang yang berperang menentang penaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.


IBNU TAIMIYYAH & RAJA QAZAN


Satu ketika, Ibnu Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyiq pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya.


Dengan nada tegas dan mesej yang jelas, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah masihati Raja Qazan berkenaan. Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan,

“Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang Muslim, aku dengar bersama-sama engkau (ada) ramai ulama’. Habis, mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau, Hulagu dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”


Kemudian, berlangsunglah dialog antara Ibnu Taimiyyah dengan Raja Qazan. Selepas itu, Raja Qazan berkenan menjamu sekalian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun, Ibnu Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu, Raja Tatar itu bertanya,

“Mengapa engkau tidak mahu makan?”


Jawab Ibnu Taimiyyah,

“Bagaimana aku hendak makan? Kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai. Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orang ramai!”


Kata Raja Qazan,

“Berdoalah untukku.”


Kata Ibnu Taimiyyah,

“Ya Allah, jika hamba-Mu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimah-Mu, maka bantulah dia, kuatkanlah kerajaannya. Namun, jika dia berperang kerana menunjuk-menunjuk untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya.”


Para ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu, Ibnu Taimiyyah bertanya kepada mereka,

“Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”


Jawab mereka,

“Kami bimbang jika raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami.”


Apabila keluar dari majlis berkenaan, mereka berkata kepada Ibnu Taimiyyah,

“Engkau telah membahayakan nyawa kami. Kami tidak mahu bersama engkau lagi.”


Jawab Ibnu Taimiyyah,

“Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi.”


Sumber Asal: Ibnu Kathir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah

Via: Mohd Asri Zainul Abidin, Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat, ms: 29-30


p/s: Jika pada zaman Ibnu Taimiyyah, untuk mengelakkan diri daripada terpaksa berjuang bersama Ibnu Taimiyyah dan rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan tersebut menulis atau menyebarkan fitnah untuk memburukkan Ibnu Taimiyyah. Tujuannya untuk menutup kelemahan diri dan menjaga kepentingan sendiri. Sebelum dan selepas zaman Ibnu Taimiyyah pun, gelagat ulama jenis ini tetap sama.-Dr MAZA

No comments:

Post a Comment

Share your Blog with Others... =]