Indahnya. Tiada kata lain yang mampu menggambarkan rasa hati. Akhirnya, setelah sekian lama, jiwa ini diketuk lagi. Kali pertama sejak ke sekian kalinya, kelopak matanya kembali berlinangan, mengenangkan dosa-dosa semalam.
“Terima kasih ya Allah”
Tiada kata lain yang mampu dilafazkannya sebagai tanda syukur atas nikmat-Nya yang tak terhingga. Benarlah, di sebalik musibah, pasti ada hikmah-Nya. Juga yang pahit selalu menjadi ubat.
“Alhamdulillah…”
Itu lafaz yang tersirat saat menyedari kondisi "tunggangan dua roda" yang tidak mungkin membenarkannya menjengah Kem Ibadah yang wajib dihadirinya.
“Enta tak pergi ke?”
Alamak…tiba-tiba ada pula yang mengajak. Sangkaannya, kem itu hanya untuk dirinya kerana di penghujung SMS yang diterima, ada tertera,
[Meseg ini hanya untuk enta seorang. Tak perlu sebarkan].
“Err…enta kena pergi jugak ke… Ehm, insya Allah ana pergi. Enta tunggu ek, kita pergi sekali…”
Berat benar rasa di hati. Dengan keputusan peperiksaan yang tak memuaskan, pre-registration pada malam nanti tentu sahaja menjadi lebih sukar. Pastinya ada jadual yang bertindih dan terpaksa pula drop beberapa subjek.
Setibanya di Kem Ibadah, wajahnya masih kelat. Namun, masih cuba senyum dibuat-buat. Air muka para murabbi yang menyambut kehadirannya dengan penuh mesra sedikit sebanyak mencuit rasa segan di relung hati.
Usai menunaikan solat Isya’, ada pula program tadabbur surah Yusuf. Semua ahli halaqah diwajibkan mengkiaskan peristiwa yang berlaku dalam sirah Nabi Yusuf dengan dakwah.
“Adeh…dakwah…”
Hatinya telah lesu dengan perkataan dakwah dan tarbiyyah. Jujurnya, semangatnya telah lama luntur. Mungkin kerana terlalu lama terpalit dengan dosa dan noda. Namun, diredahnya arus. Perbentangan tetap dijalankan seperti yang dirancang.
Usai perbentangan, dia kembali ke kampus bersama teman sebiliknya. Tunggangan ala-ala kamikaze (berani mati) teman sebiliknya, melupakannya sebentar kegersangan result final exam yang terlalu mengecewakan; ada gred F yang terpalit pada slip peperiksaan.
Setibanya di kamar, dia melunaskan pre-registration bagi subjek yang perlu diambil pada semester hadapan. Ternyata, terlalu banyak masalah yang timbul. Beberapa subjek tidak dapat diambil dan sebahagian lagi terpaksa didrop; tercalar angkara satu gred F pada subject Law of Contract I.
Namun, apakan daya. Dia lakukan apa yang terupaya. Sebelum matanya terpejam lena, dia sempat berazam,
“Esok aku tak mahu pergi (Kem Ibadah) lagi…aku nak futhu…”
Tidak, masih terlalu berat untuk melafazkan kalimah itu. Futhur ertinya gugur. Gugur dari medan dakwah dan tarbiyyah.
Esoknya, dia masih tak terdaya menongkah arus. Dia masih dijemput ke kem ibadah. Juga masih dengan tunggangan kamikaze teman sebiliknya. Cuma kali ini, dia lebih berani kerana telah terbiasa sejak malam tadi.
Setibanya di Kem Ibadah, segala aktiviti dijalani dengan rasa lesu di hati biarpun di wajah masih terukir senyum kepura-puraan. Sehinggalah sampai ke slot malam; tayangan video pendakwah kecil yang diimport dari Indonesia benar-benar menyentuh hatinya.
Dalam gelap-gelita, titisan embun air mata membasahi pipinya. Terbayang dosa-dosa tersembunyi dan nyata yang pernah dilakukannya selama ini. Namun, dia segera mengesat air mata dan mengawal rembesan fungus daripada mengalir. Agaknya, semua lelaki seperti itu; ada ego membatu di sebalik kelunakan hati.
Usai video show dan tadarus al-Quran, dia mendapat tugasan baru. Bezanya, hatinya seakan-akan telah bersedia untuk dibasuh semula. Dalam dengungan teman-teman sehalaqah yang masih meneruskan bacaan al-Quran, jemarinya menghitung lafaz istighfar, tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan selawat 100 kali serba satu.
“Astaghfirullah al-‘Azim…allazi la Ilaha illa Huw al-Hayy al-Qayyum…wa atubu ilaiH…”
“Aku mohon ampun kepada Mu ya Allah…Tuhan Yang Maha Agung…yang tiada Tuhan selain Mu yang kekal hidup…dan aku bertaubat kepada Mu…”
Bisik hatinya. Dalam terkenangkan segala dosa-dosa semalam. Entah kenapa, dalam ramai, dia bagaikan bersendirian dengan Tuhan. Di fikiran, terbayang bagaikan sedang bersimpuh di hadapan Allah di Padang Mahsyar sedang dosa-dosanya ditayangkan satu per satu. Masih juga terbayang betapa lidahnya kelu pada saat itu.
“Ampunkan aku ya Allah…ampunkan aku…”
Rayu hatinya lagi.
“Subhan Allah…Subhan Allah…Subhan Allah…”
“Maha Suci Allah…Maha Suci Allah…”
Tasbihnya tersedu-sedan. Dia mempersoalkan dirinya, apakah Dia Yang Maha Suci masih sudi menerima dirinya yang telah gelita diselaputi dosa.
“Terimalah aku ya Allah…terimalah aku…”
“Alhamdulillah…Alhamdulillah…Alhamdulillah…”
“Segala puji bagi Allah…Segala puji bagi Allah…”
Masya Allah…baru dia sedar betapa sikit kesyukuran yang dirafa’kannya selama ini kepada Rabb, Sang Pencipta. Namun, dalam kekufuran, masih jua Dia melimpahkan nikmat yang tak terhingga...atau setidak-tidaknya, nyawanya tak direntap saat dia tenggelam dalam kemaksiatan.
“Allahu Akbar…Allah Akbar…Allahu Akbar…”
“Allah Maha Besar…Allah Maha Besar…”
Mahu saja dia bersujud malu; betapa selama ini dia terlalu besar kepala, sewenang-wenangnya melakukan maksiat dosa…sehinggalah dia kembali menyedari betapa kerdilnya dirinya pada saat ini…terlalu kerdil.
“La Ilaha Ill Allah… La Ilaha Ill Allah… La Ilaha Ill Allah…”
“Tiada pengharapan selain Allah…Tiada yang diharapkan selain Allah…”
Dia masih cuba menahan air matanya daripada bercucuran. Betapa selama ini dia mencintai dunia, mengharapkan habuan dunia, mengikut telunjuk hawa nafsu…juga pernah menagih taman yang terlarang.
“Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala alihi wa sohbihi wa barik wa sallim… Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala…”
“Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluarga baginda dan para sahabat baginda dengan penuh keberkatan dan kesejahteraan…”
Bagaikan terlukis susuk baginda di hadapannya sedang akalnya merewang terkenangkan sirah perjuangan baginda bersama para sahabat dalam menegakkan Islam…
“Maafkan aku ya Rasulullah…aku telah mengkhianati perjuangan ini…”
Dan sedu-sedannya masih berterusan saat yang lain telah larut dibuai mimpi.
Alhamdulillah…kini, dia hadir dengan tekad dan jiwa baru. Sedang jauh di sudut hatinya berkata,
“Terima kasih ya Allah…”
p/s: Alhamdulillah...serta ucapan terima kasih dan penghargaan ditujukan kepada Mr Kamikaze kerana mengajak ke kem ibadah, para Murabbi dan ikhwah atas dorongan dan doa. Juga kepada akh Syed Alwi Al-Atas atas motivasi berguna yang diberikan di dalam buku "Bila Allah Menduga Kita". Ucapan terima kasih tak terhingga juga diucapkan kepada Kak Mirah, Dr Zuraidah, Dr Haryati, Dr Zuhairah dan Encik Abu atas penat lelah mencari paper Law of Contract I yang tercicir dan menguruskan pendaftaran subject Law of Contract II. Juga kepada Hs, Zs, Ds dan teman-teman sekuliah yang mengetahui musibah yang menimpa dirinya. Dan pastinya setinggi-tinggi ingatan dan penghargaan buat bonda, ayahanda dan seluruh kaum kerabat. Alhamdulillah, berkat doa dan pertolongan kalian, “dia” lulus juga subject Law of Contract I. Biarpun resultnya tak seberapa, namun terlalu besar nilainya. Alhamdulillah…ini yang pertama dan yang terakhir atas pimpinan hidayah yang berterusan. Moga kita semua dikumpulkan kembali di syurga-Nya nanti… Amiin…
No comments:
Post a Comment