Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Wednesday, December 15, 2010

IKHWANUL MUSLIMIN: Dakwah Seimbang Dan Pertengahan

Logo Ikhwanul Muslimin

Di antara ciri khas Tarbiyah Islam Ikhwanul Muslimin seperti yang diungkapkan oleh Imam Hasan Al-Banna dan diajarkannya kepada pengikut-pengikutnya adalah :
‘Seimbang serta mengambil jalan pertengahan.’

Manakala :
  1. Kaum muslimin merupakan umat pertengahan di antara umat-umat.
  2. Islam agama pertengahan di antara agama-agama.
  3. Ahlus Sunnah merupakan golongan pertengahan di antara firqah-firqah (mazhab-mazhab).

Maka Ikhwanul Muslimin merupakan golongan pertengahan di antara golongan-golongan Islam.
Mereka menjaga keseimbangan antara :  
  1. Akal dan perasaan.
  2. Kebendaan dan ruh.
  3. Teori dan praktik.
  4. Individu dan masyarakat.
  5. Musyawarah dan taat.
  6. Hak dan kewajiban.
  7. Yang lama dan yang baru. 

Gerakan ini memanfaatkan seluruh warisan atau peninggalan Islam.  
  1. Dari ulama’ syari'at, mereka mengambil sikap mengutamakan nas dan hukum.
  2. Dari ulama’ Ilmu Kalam, mereka bersikap mementingkan dalil akal dan menolak yang syubhah.
  3. Dari ulama’ tasawuf, mereka memberi perhatian terhadap pendidikan hati dan penyucian jiwa, serta berusaha keras menyingkirkan campuran dan tambahan yang melekat pada peninggalan ini dan kembali kepada sumber yang bersih, iaitu Kitabullah dan Sunnah RasulNya. 

Dalam menghadapi warisan di bidang fiqh dengan mazhab-mazhabnya, Imam Hasan Al-Banna tidaklah bersikap menolak secara mutlak dan tidak pula menerima secara mutlak seperti yang dilakukan oleh orang lain.  
Beliau tidak mewajibkan taqlid kepada mazhab-mazhab itu dan juga tidak mengharamkannya bagi semua orang tetapi membolehkannya bagi sebahagian orang dengan batasan-batasan dan syarat-syarat, iaitu sebagai tujuan dalam sikap pertengahan.  

Dalam "prinsip ketujuh (7)" dari usul dua puluh, beliau berkata :  
"Bagi setiap muslim yang belum mencapai darjat pemahaman terhadap dalil-dalil hukum furu', boleh mengikuti salah seorang di antara Imam-Imam dan dalam pada itu sebaiknya ia berusaha sedaya mungkin mengenal dalil yang dipergunakan oleh Imamnya. Dia boleh menerima setiap petunjuk yang disertai dalil, bila ia mengetahui kebenaran dan kemampuan orang yang memberi petunjuk itu dan jika ia orang berilmu hendaklah ia menyempurnakan kekurangannya di bidang ilmiyah sehingga ia mencapai darjat mampu membahas, ertinya mampu melakukan tarjih dan ijtihad, meskipun dalam sebahagian masalah. "  

Ini tidaklah bererti segala apa yang dikatakan oleh seseorang Imam Mazhab itu benar dan betul. Dia hanya berusaha keras untuk menemukan kebenaran, jika betul maka ia mendapat dua pahala dan jika salah maka ia mendapat satu pahala. Tidaklah wajib (bahkan tidak boleh)  kita mengikutinya, bila ternyata kesalahannya.  

Oleh kerana itu dalam "prinsip keenam (6)" dengan tegas beliau mengatakan :  
"Setiap orang dapat dipegang dan dapat ditinggalkan pendapatnya, kecuali Nabi saw yang maksum. Setiap yang datang dari ulama salaf yang sesuai dengan Al Qur’an dan Sunnah kita terima, jika tidak maka Kitabullah dan Sunnah RasulNya lebih utama untuk diikuti. Tetapi dalam masalah khilafiyah kita tidak mencela dan mengecam peribadi seseorang, tetapi kita serahkan kepada niatnya kerana dia telah selesai mengemukakan apa yang dapat mereka persembahkan."

Inilah sikap pertengahan, sebagaimana ia adalah sikap adil yang tidak dapat dimungkiri oleh seorangpun. Itu adalah sikap Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya ‘Menghapuskan celaaan terhadap Imam-Imam terkemuka’.

Imam Hasan Al-Banna tidaklah berhenti sampai di sini sahaja, bahkan beliau mengumumkan bahawa semua pendapat dan ilmu yang diwarnai oleh masa dan lingkungannya, tidaklah mesti bagi kita yang hidup pada abad keempat belas Hijrah ini untuk menerimanya.

Kita merdeka berijtihad untuk diri kita sendiri sebagaimana mereka telah berijtihad, meskipun kita tidak mengabaikan untuk mempelajari dan mengambil manfaat dari kekayaan yang besar itu.

Dalam Risalah Muktamar Kelima beliau berkata :
 "Ikhwanul Muslimin berkeyakinan bahawa dasar pengajaran Islam dan sumbernya adalah Kitabullah dan Sunnah RasulNya, yang jika umat berpegang pada keduanya, mereka sekali-kali tidak akan tersesat untuk selama-lamanya. Banyak pendapat dan ilmu yang berhubungan dengan Islam dan mengambil corak Islam dan membawa warna masa yang mencetuskannya dan bangsa-bangsa yang semasa dengannya. Sebab itu tatacara hukum Islam yang dianut oleh umat wajib bersumberkan pada sumber yang bersih ini, iaitu sumber yang mudah yang pertama. Hendaklah kita memahami Islam seperti difahami oleh para sahabat dan tabi'in, ulama salaf yang soleh dan hendaklah kita berdiri teguh pada batas-batas yang ditetapkan Tuhan. Dengan demikian kita tidak mengikat diri kita selain dengan ikatan Allah dan tidaklah mesti kita mewarnai masa kita dengan warna yang tidak sesuai dengannya, padahal Islam adalah agama untuk umat manusia seluruhnya."

Inilah jiwa pembaharuan yang benar dan seimbang, bukan pembaharuan kulit atau pembaharuan secara radikal.

Inilah pendiriannya mengenai :
  1. Persoalan fiqh.
  2. Persoalan ijtihad dan taqlid.
  3. Mengikuti mazhab atau tidak mengikuti mazhab
di mana ia menggambarkan suatu pendirian pertengahan yang tidak berlebih-lebihan dan tidak pula menyia-nyiakan.

Demikian pula pendiriannya dalam masalah, akidah dan khilaf yang berlaku sekitarnya dalam sebahagian masalah, pemahaman sebahagian nas dan perbezaan pendapat firqah-firqah dan mazhab-mazhab dalam hal itu.

Sesungguhnya beliau menganut akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dan mengikuti jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami ayat-ayat dan hadith-hadith yang berhubungan dengan sifat-sifat Allah swt.

Beliau sangat bersemangat untuk memurnikan keyakinan tauhid dan membasmi syirik dengan segala warna dan bentuknya samada :  
    1. Yang besar atau yang kecil.
    2. Yang jelas atau yang samar.  

Beliau menolak setiap manifestasi keberhalaan dan setiap bid'ah yang bersifat syirik yang masuk ke dalam kehidupan kebanyakan kaum muslimin yang merosakkan : 
  1. Akidah.
  2. Ibadah.
  3. Fikiran.
  4. Perasaan.
  5. Tatacara hidup. 

Contohnya :  
  1. Menziarahi makam-makam yang bersifat syirik.
  2. Meminta tolong kepada para wali.
  3. Mendatangi tukang tilik serta mempercayainya.
Semua ini  merupakan bentuk-bentuk kebatilan dan penyelewengan. Namun untuk memerangi terhadap syirik dan bid'ah ini, beliau merintisnya dengan menyiapkan jiwa dan akal untuk menerimanya.  

Penolakannya disusun dalam kalimat-kalimat yang lemah lembut lagi penuh hikmah yang mengumpulkan antara menyatakan yang benar dan manisnya berdakwah dengan hikmah dan pelajaran yang baik.  

Cuba kita perhatikan apa yang dikatakannya pada "prinsip ke tiga belas (13)" :  
"Cinta kepada orang-orang soleh, menghormatinya dan memujinya atas amal-amal baiknya adalah merupakan pendekatan diri kepada Allah swt. Para wali adalah mereka yang disebut dalam firman Allah swt :  
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka sentiasa bertakwa." (QS Yunus : 63) 
Kemuliaan (karamah) tetap ada bagi mereka menurut syarat-syarat berdasarkan syara' disertai keyakinan bahawa mereka tidak mempunyai kekuasaan memberi manfaat dan mudharat bagi dirinya samada ketika hidupnya atau sesudah matinya, apalagi kekuasaan untuk memberikan manfaat kepada orang lain. "  

Manakala pada "prinsip yang ke empat belas (14)" pula beliau berkata :  
"Ziarah kubur bagaimanapun adalah disunatkan dalam syari'at dengan cara yang dibenarkan syara'. Namun meminta pertolongan kepada orang dalam kubur walau siapapun ia, memanggil mereka, meminta supaya hajat dan keinginan kita terlaksana dari dekat atau jauh, bernazar bagi mereka, membangun kuburan, menyelubunginya dengan kain dan meneranginya dengan lampu, meminta berkatnya, bersumpah dengan selain Allah dan bid'ah-bid'ah lainnya adalah dosa-dosa besar yang wajib diperangi. Demi untuk menjaga kemurnian akidah, kita tidak dapat mencari-cari alasan untuk membenarkan perbuatan-perbuatan ini."  

Demikianlah beliau :  
    1. Menerangkan yang benar sebelum mencela yang batil.
    2. Terlebih dahulu memberikan pengertian tentang sesuatu yang makruf sebelum menolak yang mungkar. 
Dengan itu, lunaklah jiwa yang sudah terbiasa dengan yang batil dan beliau memasukinya sebagai seorang pendakwah yang mendapat taufik dan pentarbiyah yang bijaksana tanpa memalukan mereka yang menentang dan memarahi mereka yang tidak setuju.

Begitu pula keadaannya dalam masalah "Sifat-Sifat Tuhan" dan perdebatan-perdebatan yang timbul mengenai itu di kalangan ulama’ iaitu antara yang berpegang pada interpretasi dan yang tidak berpegang padanya.  

Beliau mengalihkankan tumpuan dari khilaf ini dengan kembali kepada sumber kemudahan yang pertama, jauh dari kesulitan membuat interpretasi serta terhindar dari dosa meniadakan sifat Tuhan.  
Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin

Beliau berkata pada "prinsip yang ke sepuluh (10)" :  
"Mengenal Allah swt, mentauhidkanNya dan menyucikanNya adalah akidah yang paling utama. Ayat-ayat mengenai sifat Tuhan serta hadith-hadithnya yang sahih dan ayat-ayat yang mutasyabih (yang tidak jelas), kita imani sebagaimana adanya tanpa interpretasi dan meniadakan sifat itu, dan kita tidak menyentuh khilaf ulama dalam soal itu. Cukuplah bagi kita keluasan yang diberikan oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya.  

Allah swt berfirman :  
“Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” (QS Ali Imran : 7)  

Dengan kefahaman yang seimbang dan adil ini pula beliau menghadapi tasawuf, tidak menolak seluruh kefahaman mereka kerana cacat celanya, menurut sunnah atau bid'ahnya dan tidak pula menolak seluruhnya kerana di dalamnya ada yang betul dan salah, ada yang baik dan yang buruk.  

Prinsipnya dalam perkara ini adalah :  
Ambillah mana yang bersih murni dan tinggalkanlah mana yang kotor. Tidaklah semua kefahaman dalam tasawuf itu batil dan tidak pula semuanya benar. Tidak semua ahli tasawuf pembuat bid'ah dan tidak pula semuanya menurut Sunnah. Sebab itu mesti diteliti dan dipilih dan diambil manfaat dari warisan mereka. 

Di dalam tasawuf itu terdapat kehangatan dan semangat serta pengaruh yang tidak terdapat pada golongan yang lain dan dalam ucapan mereka terkandung kekuatan yang tidak terdapat pada ucapan orang lain.  

Imam Hasan Al-Banna menyusun dengan jelas pendapatnya mengenai tasawuf dalam kitabnya Mudzakkirat Dakwah wad Da'iyah.’ (Catatan mengenai dakwah dan pendakwah).  

Meskipun pada mulanya beliau mempunyai hubungan dengan salah satu tariqat (Al Hasafiyah), namun beliau tidak berpegang sepenuhnya padanya, tetapi ada yang diambilnya dan ada yang ditinggalkannya.

Beliau berkata tentang dirinya dan sahabatnya As-Sukkary :  
"Kami ingin merdeka dalam pemikiran kami, meskipun kami tetap ikhlas se ikhlas-ikhlasnya (dalam penilaian) terhadap ibadat, zikir dan adab-adab suluk."  

Di samping tariqat tersebut lebih sedikit bid'ahnya berbanding tariqat-tariqat lain, beliau kagum kepada gurunya yang sangat tegas dalam amar ma'ruf nahi mungkar hingga kepada raja-raja dan pembesar-pembesar serta keteguhannya berpegang pada Sunnah dan memerangi bid'ah.  

Beliau tidak mengendahkan apa yang didengarnya mengenai karamah gurunya itu dan perkara-perkara luar biasa yang terjadi dengannya, tetapi amalannya dalam menuntun manusia dan menyebarkan kebenaran menurut pendapatnya lebih agung daripada semua kekeramatan tersebut.  

Sikap Imam Hasan Al-Banna tidaklah lemah terhadap bid'ah dan perbuatan-perbuatan yang banyak dilakukan oleh kebanyakan ahli tasawuf seperti :  
  1. Ziarah kubur yang berbentuk bid'ah.
  2. Meminta berkah pada kuburan.
  3. Mengharapkan doa orang mati.
  4. Memakai azimat. 

Lalu beliau menyatakan perang terhadap semua ini dalam usul dua puluhnya dan menganggapnya sebagai dosa besar yang wajib diperangi dan kita tidak boleh mencari-cari interpretasi untuk membolehkannya demi untuk memelihara agama dan menutup jalan kesesatan. 

Di samping itu beliau menolak bid'ah dan melawannya seperti yang tercatat dalam "Prinsip ke sebelas (11)" :  
“Setiap bid'ah dalam agama Allah yang tidak ada dasarnya, dan dianggap baik oleh manusia baik berdasarkan hawa nafsu, baik dengan menambah-nambah atau mengurangi apa yang telah ditetapkan Allah, adalah kesesatan yang wajib diperangi dan dihilangkan dengan cara yang baik sehingga tidak membawa kepada perkara-perkara yang lebih buruk.” 

Inilah kefahaman yang benar, kerana berdiam diri terhadap sesuatu yang mungkar adalah wajib bila penentangan terhadapnya membawa kepada kemungkaran yang lebih besar.  

Ini ada dasarnya dalam Al Qur’an dan Sunnah. Oleh kerana itu beliau mengerjakan solat tarawih pada bulan Ramadhan lapan rakaat menurut yang sah dari hadith 'Aisyah ra, tetapi ia tidak mengingkari terhadap orang yang mengerjakannya sebanyak dua puluh rakaat, kerana masing-masing golongan mempunyai alasan dan dalil. Khilaf dalam masalah furu' akan tetap ada berdasarkan sebab-sebab yang disebutnya dalam beberapa risalahnya.

Orang-orang ada menceritakan tentang dirinya, bahawa beliau pernah mengunjungi suatu negeri yang penduduknya berselisih faham tentang solat lapan rakaat dan dua puluh raka'at. 
Perselisihan antara kedua golongan itu begitu hebat, sehingga mereka hampir bunuh-membunuh dan akhirnya kedua golongan sepakat untuk bertanya kepadanya. 
Beliau tidak menjawab pertanyaan mereka, bahkan bertanya semula :  
"Apakah solat tarawih itu sunat atau fardhu?"  
Semua mereka menjawab : "Sunat."  
Lalu beliau bertanya : "Persaudaraan antara kaum muslimin dan persatuan mereka, apakah sunat atau fardhu?"  
Semua mereka menjawab : "fardhu."  
Lalu dengan tegas dan jelas beliau berkata : "Bagaimana kamu menghancurkan yang wajib kerana yang sunat?  Lebih baik kamu tinggalkan saja solat tarawih di masjid dan kamu pelihara persaudaraanmu daripada kamu solat di masjid tetapi berkelahi."  

Kelebihan Imam Hasan Al-Banna ialah berkumpul pada dirinya kefahaman salaf yang menjadi ikutan dan kefahaman sufi yang penuh perasaan, demikianlah yang diinginkannya dari sahabat-sahabatnya.  

1. DALAM BIDANG AQIDAH :
Beliau berpegang pada :  
  1. Salaf yang murni
  2. Tauhid
  3. Keyakinan bagi memerangi syirik, baik yang besar mahupun yang kecil, yang jelas dan yang samara.
  4. Sistem ulama salaf mengenai ayat-ayat dan hadith-hadith tentang sifat Allah, seperti dijelaskannya dalam risalahnya Al-Aqa'id’ dan dalam usul yang dua puluh itu. 

2. DALAM BIDANG IBADAH :
Beliau adalah pengikut (muttabi') bukan pengada-ada (mubtadi') kerana setiap bid'ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan neraka tempatnya. 

3. DALAM BIDANG KEROHANIAN :
Terutama dalam penyucian jiwa, pendidikan akhlak dan pengubatan penyakit hati, penentangan terhadap hawa nafsu dan penutupan pintu bagi syaitan agar tidak masuk ke hati manusia, beliau adalah seorang sufi dan sunni yang benar-benar mempergunakan akalnya secara kritis dan memperdalamkan rasa cintanya kepada Allah.
Beliau mengambil untuk dirinya dan pengikut-pengikutnya inti dari kitab-kitab ahli tasawuf dan sistem mereka yang dapat :  
  1. Meninggikan jiwa.
  2. Menyucikan hati.
  3. Mengukuhkan hubungan dengan Allah.
  4. Memperkuatkan rasa cinta antara anggota Ikhwanul Muslimin. 
Pendiriannya dalam perkara ini sebahagian besarnya sama dengan pendirian Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnul Qayyim.  
Kedua-duanya mengambil manfaat dari tasawwuf sebagai ilmu, amal dan pengajaran dan menulis dalam hal itu banyak risalah dan kitab.  
Contohnya Ibnu Taimiyah mengarang dua jilid buku dalam fatwa-fatwanya, yang satu berjudul ‘At-Tasawwuf’ dan yang lainnya berjudul ‘As Suluk’
Ibnul Qayyim mempunyai beberapa karangan, di antaranya :  
a. Ad-Da'u wad Dawa'u’ (Penyakit dan Ubat)
b. Thariqul Hijratain’(Jalan kepada dua hijrah)
c. ‘Uddatush Shabirin wa Dzakhiratusy Syakirin’(Bekalan orang sabar dan perbendaharaan orang syukur)  
Kitabnya yang terbesar adalah Madarijus Salikin, Syarhu Manazilis Sairin ila Maqamati "Iyyaka Na'budu wa Iyyaka Nasta'in.’ (Tingkat-tingkat dan suluk, syarah tingkatan-tingkatan orang-orang yang menuju ke martabat ‘Iyyaka Na'budu wa Iyyaka Nasta'in’).  
‘Al-Manaazil’ adalah risalah singkat yang padat menjelaskan kitab Syaikhul Islam Ismail al-Harawi, tetapi Ibnu Qayyim dalam risalah itu banyak menentang pendapatnya, dengan mengatakan : "Syaikhul Islam adalah kecintaan kami, tetapi kami lebih mencintai kebenaran." 
Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnul Qayyim itu termasuk ‘Rabbani’ (Orang yang sempurna ilmu dan takwanya kepada Allah swt) terbesar yang :  
  1. Mempunyai hati yang hidup.
  2. Memiliki jiwa yang bersih.
  3. Mempunyai ruh yang sentiasa berusaha untuk berhubung dengan Allah swt. 
Sehingga Ibnul Qayyim pernah meriwayatkan dari gurunya itu, bahawa ia berkata :
 "Sesungguhnya akan berlalu dariku suatu masa yang aku berkata padanya : Sekiranya keadaan penghuni syurga sama dengan keadaanku ini tentulah mereka berada dalam keadaan yang baik!" 

Ketika Imam Hasan Al-Banna ditahan dalam benteng "Qal'ah", maka perkara itu tidaklah melemahkan cita-citanya dan tidak pula mengurangi rasa cintanya kepada Tuhannya.  
Mengenai perkara itu beliau berkata :  
"Orang yang dipenjarakan hanyalah orang yang terputus hubungannya dengan Tuhannya dan orang yang ditawan ialah orang yang tertawan oleh hawa nafsunya."  

Beliau juga berkata :  
"Apa yang dapat diperbuat oleh musuhku terhadapku?  
  1. Jika mereka memenjarakan aku, maka penjaraku itu adalah tempat khalwatku.
  2. Jika mereka membuangku, maka pembuangan itu adalah suatu perkelahan bagiku.
  3. Jika mereka membunuhku, maka matiku adalah mati syahid." 

Dari perjalanan kehidupan Imam Hasan Al-Banna serta fasa-fasa pemikiran dan dakwahnya kita boleh nampak bahwa pada mulanya ia lebih dekat kepada tasawwuf dan akhirnya lebih dekat kepada aliran ulama salaf.  

Namun ia tidak pernah melahirkan pertentangan antara keduanya, bahkan :  
  1. Ketegasan ulama salaf disiramnya dengan kerohanian tasawwuf.
  2. Keterlaluan perasaan tasawwuf dikekangnya dengan ketegasan ulama salaf. 

Itulah ciri umum yang melekat kepada pengikut-pengikutnya serta menjelma dalam dakwah Ikhwanul Muslimin.  

Ya Allah, mudahkanlah kami bagi membangun keseimbangan dalam kefahaman, pemikiran, perasaan dan perbuatan kami sehingga semuanya bertepatan dengan kehendak Engkau. Jadikanlah kami umat pertengahan yang akan menjadi saksi ke atas seluruh manusia terhadap kebenaran risalah yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul.  
Ameen Ya Rabbal Alameen

Sumber: IKRAM

No comments:

Post a Comment

Share your Blog with Others... =]