Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Showing posts with label Hadis. Show all posts
Showing posts with label Hadis. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

USIA UMAT ISLAM

Simpang ke Jalan Mardi, Kampung Bukit Raya Dalam (gambar hiasan)

Sesungguhnya, usia umat Islam adalah sejak diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. sehingga datangnya angin lembut dari arah Yaman (selatan) sehingga dicabut nyawa setiap orang Mukmin, dan perkara itu akan berlaku setelah wafatnya Isa Ibn Maryam; sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:

“Sesungguhnya Allah akan mengutus dari arah negara Yaman ‘angin’ yang lebih lembut daripada sutera, maka ia tidak akan meninggalkan (dalam mencabut nyawa) seorang pun yang ada di hatinya iman walau seberat biji zarrah kecuali ia akan mencabut nyawanya.” 
[Hadis sahih riwayat Muslim dari Abi Hurairah]


Kemudian, tidak ada yang tinggal di bumi ini seorang Mukmin pun. Yang mana dengan demikian, berkahirlah usia umat Islam. Dan pada ketika itu, tidak ada yang tinggal di atas muka bumi ini kecuali makhluq yang paling derhaka, engkar dan jahat. Dan atas merekalah berlakunya khiamat, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:

“Siang dan malam tidak akan hilang (berlakunya khiamat) sehingga disembah (lagi) Allatta dan Al’uzza (berhala Musyrikin Makkah). Kemudian, Allah akan mengutuskan ‘angin’ yang harum, maka ia akan mengambil nyawa semua orang yang ada di dadanya iman walau sebesar biji sawi. Maka, yang tinggal setelah itu adalah orang yang tidak mempunyai kebaikan. Maka, mereka akan kembali kepada agama nenek moyang mereka.” 
[Hadis riwayat Muslim dari Anas]


HADIS RASULULLAH S.A.W MENGENAI USIA UMAT YAHUDI, NASRANI (KRISTIAN) DAN ISLAM


Diriwayatkan oleh Imam Bukhari (dalam kitab Sahihnya) dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya usia masa menetapmu dibandingkan dengan umat sebelum kamu adalah seperti waktu solat Asar sehingga terbenamnya matahari.

Ahli Taurat (Yahudi) telah diberikan kepada mereka kitab Taurat, kemudia mereka mengamalkan kitab tersebut sehingga waktu tengahari, maka mereka pun ‘lemah’ untuk mengamalkannya. Lalu mereka diberi pahala oleh Allah s.w.t. masing-masing satu qirath (satu bahagian harta di syurga sebagai balasan).

Kemudian diberikan pula kepada ahli Injil (Nasrani), lalu mereka mengamalkan kitab tersebut sehingga waktu solat Asar. Dan setelah itu, mereka ‘lemah’ untuk mengamalkannya. Mereka pun diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. masing-masing satu qirath.

Kemudian diberikan pula kepada kita (Islam) kitab Al-Quran dan kita mengamalkannya sehingga matahari terbenam. Maka Allah s.w.t. memberi ganjaran kepada kita masing-masing dua qirath.
Berkatalah ahli kitab, “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau memberi ganjaran kepada mereka (orang Islam) dua qirath dan Engkau memberi ganjaran kepada kami satu qirath, sedangkan amalan kami lebih banyak daripada mereka?”

Berkata Rasulullah s.a.w.: Allah s.w.t. menjawab (sambil bertanya): “Adakah aku berlaku zalim (tidak adil) dalam memberi ganjaran dari amal kamu semua?

Mereka menjawab: “Tidak.

Allah s.w.t. berkata: “Itu adalah kurniaan yang Aku berikan kepada sesiapa sahaja yang Aku kehendaki.”

[Sumber: Diriwayatkan oleh Bukhari pada beberapa tempat dalam kitab Sahihnya. Pada kitab Mawaqitu Ash Shalah, Juz. 2, Fathgul Baari, ms.38, cetakan Daar Al-Fikri. Juga pada kitab Al-Ijarah, Juz. 4, ms. 445. Juga kitab Ahaadts Al-Abiya’, Juz. 6, ms. 465. Juga kitab Fadhaail Al-Quran, Juz. 9, ms. 66. Dan juga kitab At-Tauhid, Juz. 13, ms. 46, dengan sanad yang berbeza-beza.]


Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahih miliknya sebuah hadis  dari Abu Musa r.a., dari Nabi s.a.w., di mana Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Perumpamaan antara orang Muslimin dan kaum Yahudi serta kaum Nasrani adalah seperti seorang lelaki kaya yang mengupah suatu kaum (Yahudi) untuk melakukan satu kerja untuknya sehingga malam. Akan tetapi, kaum tersebut hanya bekerja sehingga tengahari. Dan mereka berkata kepada lelaki tersebut: ‘Kami tidak memerlukan gaji yang kamu berikan’.

Kemudian, lelaki itu mengupah suatu kaum yang lain (Nasrani) sambil berkata: ‘Sempurnakanlah kerja ini sehingga selesai hari ini juga dan kamu akan memperolehi gaji seperti yang aku janjikan’. Kemudian, kaum tersebut hanya bekerja sehingga waktu solat Asar dan berkata: ‘Amabillah olehmu apa yang kami kerjakan’.

Kemudian, lelaki tersebut mengupah suatu kaum yang lain (Muslimin) dan mereka pun bekerja sehingga penuh hari tersebut, sehingga terbenam matahari. Dan mereka memperolehi gaji mengatasi dua kaum sebelum mereka.”

[Sumber: Diriwayatkan oleh Bukhari dalam beberapa tempat. Kitab Mawaitu Ash Shalah, Juz. 2, ms. 38. Juga kitab Al-Ijarah, Juz. 4, ms. 447.]


KIRAAN USIA UMAT ISLAM


Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya yang amat berharga, Fathul Baari telah menerangkan kepada kita mengenai hadis usia setiap umat manusia. Di mana hadis tersebut menunjukkan, bahawa masa umat ini (umat Islam) adalah lebih daripada seribu tahun. Hal ini kerana hadis tersebut menerangkan bahawa masa umat Yahudi adalah sama dengan masa umat Nasrani ditambah dengan masa umat Islam.



Sedangkan para ahli sejarah bersepakata, bahawa masa kaum Yahudi sehingga diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah lebih dari 2000 tahun. Adapun masa usia umat Nasrani (Kristian) sehingga diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah 600 tahun. (lihat Fathul Baari, Juz. 4, kitab Al-Ijarah, ms. 449)


Kemudian, Al-Hafiz Ibn Hajar juga berkata: “Hadis tersebut juga mengisyaratkan mengenai pendeknya masa yang tinggal dari (usia) dunia.” (lihat Fathul Baari, Juz. 4, kitab Al-Ijarah, ms. 448.)


Dalam keterangan yang lebih terperinci dari perkataan Ibn Hajar, di sini kami akan menerangkan, bahawa penjelasan beliau tersebut menunjukkan dua perkara, iaitu:

(1) Masa umat Yahudi adalah usia umat Nasrani digabungkan dengan usia umat Islam, atau usia umat Yahudi sama dengan usia umat Islam ditambah dengan usia umat Nasrani.

(2) Sesungguhnya usia umat Nasrani adalah selama 600 tahun. Perkara ini diterangkan oleh sebuh hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya dari Salman Al-Farisi r.a.: “Masa antara Isa a.s. dan Muhammad s.a.w. adalah selama 600 tahun.” (lihat Sahihul Bukhari, kitab Manaqib Al-Ansar.)


Maka, kita dapat mengatakan bahawa usia umat Yahudi dan usia umat Nasrani adalah lebih dari 2000 tahun, sedangkan usia umat Nasrani adalah 600 tahun. Maka, usia umat Yahudi sama dengan 2000 lebih ditolak 600, yakni 1400 tahun lebih.



Dan para ahli sejarah menerangkan bahawa “lebihan” (usia umat Yahudi) yang dimaksudkan adalah lebih dari 100 tahun. Oleh itu, tepatnya usia umat Yahudi adalah 1500 tahun lebih sedikit.



Dan dengan mengetahui bahawa usia umat Islam sama dengan usia umat Yahudi yang ditolak dengan usia umat Nasrani, maka usia umat Islam adalah 1500 tahun ditolak dengan 600 tahun, yakni sama dengan 900 tahun lebih sedikit ditambah dengan tambahan 500 tahun.



Tambahan 500 tahun yang diberikan kepada umat Islam ini disebut dalam sebuah hadis marfu’ dari Sa’ad bin Abi Waqash, yang mana telah bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya aku berharap semoga umatku tidak akan lemah di depan Rabb mereka dengan menambahkan (memanjangkan) umur mereka selama setengah hari.”

Kemudian, Sa’ad ditanya: “Berapa lamakah setengah hari itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Lima ratus tahun.”

[Sumber: Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Al-Hakim dan Abu Nu’aim dalam kitabnya Al-Hilyah. Hadis ini disahihkan oleh Al-Albaani dalam kitab Ash Shalihah miliknya, nombor 1643 dan dalam kitab Sahih Al-Jami’ dalam beberapa tempat.]


Oleh itu, usia umat Islam adalah selama 1400 tahun lebih sedikit.


BERAPA TAHUNKAH TAMBAHAN USIA UMAT ISLAM ITU?


Imam As-Sayuthi dalam kitab beliau yang berjudul Al-Kasyaf (ketika menerangkan mengenai keluarnya Imam Mahdi) berkata: “Hadis hanya menunjukkan, bahawa masa (usia) umat ini (umat Islam) adalah lebih dari 1000 tahun dan tambahannya sama sekali tidak lebih dari 500 tahun”. (lihat kitab beliau yang berjudul Risalat Al-Kasyfi’an Mujawazati Hadzihil Ummah Al-Alfa, ms. 206.)


Pada ketika ini, kita berada pada tahun 1432 Hijrah. Kemudian, kita tambahkan dengan 13 tahun sebelum penulisan kalendar Hijrah (iaitu antara tahun diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. sehingga pada tahun Rasulullah s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah).



Oleh yang demikian, walaupun pada ketika ini kita berada pada tahun 1432 Hijrah, namun hakikatnya usia umat Islam telah berlalu selama 1445 tahun yang dikira bermula dari saat diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. kepada segenap umat manusia.


Sesuai dengan kiraan yang berdasarkan pada keterangan ulama besar kita yang bersandarkan kepada hadis yang sahih, maka dapat disimpulkan bahawa pada ketika ini, kita sedang berada pada zaman terakhir sebelum masa penghabisan dan masa persiapan untuk menghadapi huru-hara dan peperangan besar atau penghabisan yang terlebih dahulu berlaku sebelum munculnya tanda-tanda besar khiamat (seperti terbitnya matahari dari Barat).


Bagi menyempurnakan perbahasan ini, maka pada perbahasan kali ini, kami akan ketengahkan perkataan ahli kitab yang sesuai dengan apa yang telah kita paparkan bagi menguatkan bahawasanya masa terakhir dunia sudah hampir:

“Seperti para pekerja di kebun kurma, sesungguhnya kerajaan Tuhan adalah seperti seorang manusia yang memiliki sebuah yang mana dia keluar pada waktu pagi-pagi lagi untuk mencari para pekerja upahan di kebun kurmanya. Dan lelaki tersebut bersepakat dengan para pekerja yang ada mengenai upah satu dinar sehari.

Kemudian, dia keluar lagi pada pukul sembilan pagi dan di dalam kota, dia menemui buruh lain yang sedang tidak mempunyai kerja, sambil (dia) berkata kepada mereka: ‘Pergilah kamu semua untuk bekerja di kebun kurma saya, maka saya akan memberi upah yang sesuai.” Lalu, mereka pun pergi.

Kemudian, lelaki tersebut pergi lagi ke kota pada pukul dua belas dan pada pukul satu setelah Zuhur; di mana dia terus menghantar pekerja tambahan ke kebun kurmanya.
Pada jam lima petang, lelaki itu keluar lagi. Maka dia menemui beberapa orang buruh yang sedang tidak bekerja, sambil bertanya kepada mereka: ‘Mengapa kamu semua berdiri di sini sepanjang hari tanpa berkerja?’ Mereka manjawab: ‘Ini kerana tidak ada seorang pun yang mengupah kami’. Lelaki itu berkata: ‘Pergilah kamu semua bekerja di kebun saya’.

Ketika hari sudah senja, pemilik pohon kurma tersebut berkata kepada wakilnya: ‘Panggillah semua pekerja tersebut dan bayarlah upah mereka, bermula dari (buruh) yang datang terakhir sehingga pada (buruh) yang datang sejak awal.

Lalu datanglah para pekerja (buruh terakhir) yang mula bekerja sejak jam lima petang, di mana setiap seorang dari mereka menerima satu dinar.

Ketika datang para pekerja yang datang dari awal, mereka fikir bahawa mereka akan menerima gaji yang lebih banyak. Akan tetapi, ternyata mereka hanya menerima satu dinar. Oleh kerana hanya menerima satu dinar sahaja, maka mereka merungut dan kesal dengan pemilik kebun sambil berkata: ‘Mereka yang datang terakhir tersebut hanya bekerja satu jam sahaja. Akan tetapi, tuan memberikan gaji yang sama dengan kami yang bekerja sepanjang hari di bawah terik matahari!’

Maka, pemilik kebun tersebut menjawab: ‘Wahai kawan, adakah saya sudah berlaku zalim kepadamu? Bukankah saya dan kamu semua sudah sepakat dengan gaji satu dinar? Ambillah apa yang menjadi hak kamu dan pergilah! Adapun saya, maka saya ingin memerbi gaji untuk orang yang terakhir ini (sama banyak) seperti (upah yang diberikan kepada) kamu. Bukankah saya bebas melakukan apa sahaja dengan harta saya, sebagaiman yang saya sukai? Atau matamu yang jahat (iri hati) disebabkan kebaikanku? Demikian jugalah halnya dengan orang yang terakhir menjadi orang yang pertama dan orang yang pertama menjadi orang yang terakhir’.”

[Sumber: Injil Martin, bab 20, ayat 1-16, ms. 31]


Teks Injil Matthew ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

“Kita adalah orang terakhir yang menjadi orang pertama pada Hari Khiamat.”

[Sumber: Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah dan Huzaifah r.a.]

Credit to MPHonline

RUJUKAN UTAMA: “Singkatnya Usia Umat Islam, Kedatangan Imam Mahdi & Munculnya Dajjal”, Amin Muhammad Jamaluddin, ms. 75, 79-80, 85-87, 90-91, 412



p/s: Andai benar perhitungan para ulama yang mengatakan bahawa usia umat Islam adalah kurang daripada 1500 tahun, sekurang-kurangnya, dalam tempoh 54 tahun dari sekarang lah akan berlakunya Perang Armageddon, Perang al-Mulhamah al-Kubra, munculnya Dajjal (Anti-Christ), penyembelihan saki baki Kaum Yahudi, dan keluarnya Ya’juj dan Makjuj (Gog and Magog). Apakah persiapan yang telah kita lakukan?


Saturday, February 19, 2011

CARA MEMBERI SALAM ANTARA LELAKI DAN WANITA



Rasulullah s.a.w. sentiasa memberi salam kepada kaum wanita dengan ucapan "Assalamualikum" serta memberi isyarat sebagai penghormatan dengan mengangkat tangan sahaja dan tidak bersalaman dengan berjabat tangan. Soal ini telah diceritakan oleh Asma' binti Yazid melalui sepotong hadis:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melambai di perkarangan masjid pada suatu hari didapati sekumpulan kaum wanita sedang duduk di sisi masjid. Maka Rasulullah s.a.w. mengangkat tangannya sebagai tanda penghornnatan dengan mengucapkan kalimah salam.” (Riwayat Tarmizi)

Demikianlah perbezaan amalan memberi salam antara lelaki dan perempuan namun ganjarannya adalah sama di sisi Allah dengan mendoakan semoga selamat sejahtera, asalkan salam yang diberi itu betul dan ikhlas, Allah sahaja yang membalas.

PERINGATAN

Selain itu, sebagai peringatan, apabila seorang lelaki memberi salam kepada seorang wanita yang mana pemberi salarn itu tidak dikenali, maka hendaklah dipastikan terlebih dahulu tujuannya. Mungkin mereka hendak menggoda atau sengaja nakal hendak mengusik dan sebagainya. Maka dalam keadan begini salam tersebut tidak wajib dijawab pada syarak, kerana ia akan membuka peluang untuk lelaki tadi mendekati wanita serta menyempurnakan niat jahat yang boleh mendatangkan padah kepada kaum wanita, berdasarkan kaedah feqah iaitu menolak keburukan perlu diawasi terlebih dahulu daripada mencari sebarang kebaikan.


SUMBER: Dr. Rokiah Ahmad, Adab Pergaulan Menurut Dalil Al-Quran Dan Al-Sunnah, 14 & 18



p/s: Walau bagaimana pun, tidakkah pelik jika selama ini kita begitu sukar untuk memberi salam kepada kenalan yang sama jantina, tapi beria-ia memberi salam kepada kenalan yang berlainan jantina? Apa yang ada di hati kita ketika itu?
=]

Monday, February 14, 2011

42 KELEBIHAN SELAWAT



Banyak kelebihan selawat ke atas Nabi s.a.w. Antara hadis Rasulullah s.a.w yang mneybut tentang kelebihan ini ialah sabda Nabi s.a.w:

مَنْ صَلَّى عَليَّ وَاحِدَةً صَلَّى الله عَلًيهِ عَشْرًا

“Sesiapa yang berselawat ke atas ku dengan satu selawat, nescaya Allah kan berselawat ke atasnya sepuluh kali.”


Adapun faedah selawat sebgaimana yang disebut oleh ulama amat banyak. Syeikh Abdul Kadir al-Jilani al-Hasani r.a. menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan bahawa Ibnu Farhun menyatakan yang berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai empat puluh dua kelebihan. Hal ini ditulis di dalam kitabnya, Hadaiq al-Anwar.


42 KELEBIHAN SELAWAT


1)     Melaksanakan perintah Allah.

2)     Bersama dengan selawat Allah kepada Rasulullah s.a.w.

3)     Bersama dengan selawat pada malaikat.

4)     Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).

5)     Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.

6)     Ditulis oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.

7)     Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat

8)     Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.

9)     Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.

10) Mendapat keampunan daripada Allah serta ditutup segala keaiban.

11) Allah akan menutup segala dukacita.

12) Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.

13) Mendapat darjat al-Sidq.

14) Ditunaikan segala hajat.

15) Selamat sejahtera pada hari khiamat.

16) Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas orang yang berselawat.

17) Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.

18) Selamat sejatera pada huru-hara hari khiamat.

19) Rasulullah s.a.w. akan menjawab secara langsung bagi setiap selawat yang dibacakan.

20) Mudah mengingati kembali perkara-perkara yang lupa.

21) Mendapat kedudukan yang baik pada hari khiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.

22) Tidak akan merasai fakir.

23) Terpelihara daripada sifat bakhil.

24) Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah s.a.w kepada orang yang berselawat.

25) Selawat akan menjemput pengucapnya ke jalan syurga.

26) Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut oleh Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis yang melalaikan.

27) Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut الحمد لله رب العالمِين (di dalam doa), disambut selepas itu dengan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

28) Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari khiamat.

29) Terpelihara daripada sifat kasar dan gelojoh.

30) Disambut oleh Allah pada hari khiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

31) Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.

32) Mendapat keberkatan daripada Allah.

33) Mendapat kesempurnaan iman.

34) Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

35) Mendapat hidayah daripada Allah.

36) Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah s.a.w secara langsung.

37) Teguh pendirian dengan kebenaran.

38) Berselawat bererti kita menunaikan sebahagian daripada hak-hak Rasulullah s.a.w. ke atas diri kita. Di samping itu, ia dianggap mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutus Rasulullah s.a.w. kepada kita.

39) Berselawat juga bererti melengkapkan pengertian berdoa  dan memohon kepada Allah ke atas Rasulullah s.a.w. dan kepada diri kita sendiri.

40) Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengiktiraf segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

41) Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah menjelmanya gambaran Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya.

42) Dikurniakan oleh Allah maqam seorang syaikh dan murabbi.


SUMBER: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf Tapi Anda Tiada Tempat Untuk Bertanya, 176-178


p/s: Moga Maulid Nabi pada kali ini menjadi titik tolak kepada kita untuk memperbanyakkan dan beristiqamah berselawat ke atas Nabi s.a.w serta mengikuti sunnah-sunnah baginda sebagai bukti kasih dan cinta kita kepada baginda s.a.w.

Monday, January 31, 2011

KARAMAH PARA WALI: Satu Penilaian



Telah bersabda Nabi s.a.w yang bermaksud,

“Ada tiga perkara (yang dengannya) kenikmatan iman akan diperolehi; (antaranya) seseorang yang mencintai orang lain kerana Allah.” [Muttafaqun ‘alaih]

“Iman yang paling kuat adalah ketaatan kerana Allah, memusuhi kerana Allah, mencintai kerana Allah, dan membenci kerana Allah.” [HR Ath-Thayalisi, Al-Hakim, & Ath-Thabrani; disahihkan oleh Al-Albani]

Dan di dalam sebuah hadis qudsi, Nabi s.a.w bersabda bahawa Allah berfirman yang bermaksud,

“Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, Aku telah mengizinkannya untuk diperangi.” [HR Al-Bukhari]


Berdasarkan hadis-hadis di atas, kita mengasihi para wali Allah kerana siapalah lagi yang lebih berhak untuk kita cintai selain daripada para wali Allah kerana merekalah orang mukmin yang paling beriman dan bertaqwa kepada Allah.


Namun begitu, timbul pula satu persoalan; siapakah dia wali-wali Allah? Adakah mereka sekelompok manusia yang memakai tangkal atau azimat, yang dapat mengetahui perkara yang bakal berlaku pada esok hari, yang tidak terikat dengan hukum alam dan pelbagai lagi keajaiban seperti yang difahami oleh sebahagian masyarakat awam pada hari ini?


Di dalam Al-Quran, Allah ta’ala berfirman yang bermaksud,

“Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Mereka adalah) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan dunia dan di akhirat; tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” [Yunus:62-64]


Al-Qaradawi dalam membahaskan ayat di atas berkata,

“Setiap mukmin yang bertaqwa dan istiqamah  terhadap aturan Allah adalah wali Allah. Tidak penting dia mengetahui hal-hal tersembunyi atau mendapat karamah sebagaimana gambaran wali menurut orang-orang (awam).”


Al-Allamah Al-Alusi pula berkata,

“Secara keseluruhannya, apabila kita melihat seorang mukmin yang bertaqwa, kita anggap dia sebagai wali. Hal itu kerana zahirnya seperti itu, (maka) kita pun menghormatinya; namun dengan tanpa berlebihan untuk mengagungkannya melebihi seorang Rasul, Nabi, atau yang lainnya seperti yang dilakukan oleh orang-orang awam pada zaman sekarang terhadap orang-orang yang mereka anggap sebagai wali.”


Menurut ahli ilmu, karamah bukanlah syarat wali. Kerana itulah kelompok tasawwuf atau orang-orang sufi menumpukan perhatian terhadap istiqamah dalam beramal; bukan beramal untuk mendapatkan karamah.


Hal ini kerana mereka tahu bahawa karamah atau perkara-perkara ajaib bukanlah pra-syarat yang dapat menunjukkan tinggi rendahnya darjat seseorang sebagaimana sesiapa saja yang melakukan latihan spiritual akan mampu melahirkan perkara-perkara ajaib seperti yang dapat kita saksikan di televisyen.


Menydari hakikat ini, Abu Ali Al-Jauzani berkata,

“Jadilah kalian sebagai orang yang mencari istiqamah; bukan orang yang mencari karamah. Sesungguhnya jiwa kalian memiliki sifat untuk mencari karamah; sedangkan Allah mengharapkan kalian mencari istiqamah.”


KARAMAH BUKAN MUKJIZAT


Malangnya, terdapat kelompok masyarakat kita yang bersikap berlebih-lebihan dalam menggambarkan ciri-ciri seseorang wali. Karamah dijadikan syarat untuk melayakkan seseorang itu dianggap sebagai wali sehinggakan pelbagai kisah aneh yang bersangkutan dengan alim ulama yang mereka anggap sebagai wali dijaja pada masyarakat awam.


Dalam kalangan mereka, ada yang berkata bahawa si wali mampu berjalan di atas air, terbang di udara, mampu bergerak ke seluruh pelusuk bumi dalam masa yang singkat; bahkan ada yang berkata bahawa si wali pernah melihat malaikat.


Di dalam kitab Syarh al-Hikam, diceritakan bahawa Abu Yazid pernah diberitahu, “Si fulan berjalan di atas air.”

Beliau menjawab, “Ikan hiu lebih hebat daripadanya kerana itu adalah sifatnya.”


Beliau diberitahu lagi, “Si fulan terbang di atas udara.”

Beliau menjawab, “Burung lebih hebat daripadanya kerana itu adalah sifatnya.”


Dan beliau diberitahu lagi, “Si fulan pergi ke Makkah dan kembali dalam hari itu juga.”

Lalu beliau menjawab, “Iblis mengelilingi bumi dalam waktu yang singkat dan dia dilakat Allah.”


Ustaz Abu Ishaq Al-Isfirayini, seorang pembesar Ahlul Sunnah pula ada menyebut di dalam salah satu karyanya bahawa setiap hal yang dianggap mukjizat Nabi tidak boleh dijadikan karamah wali.


Pendapat ini disandarkan kepada hadis Nabi s.a.w yang mana baginda s.a.w bersabda yang bermaksud,

“Bumi telah dilipat bagiku.” [HR Ibnu Hibban; disahihkan oleh Al-Albani]



Berdasarkan hadis ini, para ulama mentafsirkan bahawa pemendekan jarak yang berlaku pada Nabi hanya dikhusukan kepada baginda s.a.w sebagaimana lafaz yang disebut di dalam hadis di atas iaitu “bagiku”.


Manakala sebahagian ulama ada yang berpendapat bahawa orang yang membolehkan terjadianya hal ini (pemendekan jarak) dihukum sebagai kafir sebagaimana yang disebut dalam syair di dalam Hasyiah Ibnu ‘Abidin,

“Orang yang berkata, kepada wali jarak didekatkan
Boleh dianggap bodoh, menurut yang lain dikafirkan.”



Adapun berkenaan dakwaan bahawa para wali melihat malaikat, sudah pastinya kisah-kisah rakyat seperti ini terlalu besar dakwaannya dan lebih jauh tersasar daripada kisah para wali yang mampu “melipat bumi” seperti yang dibahaskan oleh para ulama di atas.



Bahkan, Ibnu Taimiyyah di dalam Majmu Al-Fatawa berpendapat bahawa hal ini adalah sebahagian daripada tipu daya syaitan.


MEMBENARKAN KARAMAH


Pun begitu, kita tidaklah mengingkari karamah para wali kerana di dalam Al-Quran dan hadis sendiri ada menceritakan peristiwa-peristiwa di luar kebiasaan yang berlaku kepada hamba-hamba pilihan-Nya (walhal mereka bukanlah dari kalangan Nabi atau Rasul’) seperti:

·         Kisah ashabul kahfi yang tertidur ratusan tahun di dalam gua di dalam Surah Al-Kahfi.
·         Kisah tiga penghuni gua yang berlindung di dalam sebuah gua. Sebuah batu menghalang mereka daripada keluar sehinggalah setiap orang daripada mereka berdoa hingga batu itu pecah yang disebut di dalam hadis Bukhari dan Muslim.
·         Kisah Juraih tentang bayi yang mampu berkata-kata yang disebut di dalam hadis Bukhari dan Muslim.



Namun, karamah yang berlaku kepada insan-insan terpilih ini tidaklah pula menjadikan mereka manusia yang maksum sehinggakan kata-kata mereka tidak boleh disanggah; sedangkan para khulafa’ al-rasyidin yang telah dijamin ke syurga itu pun masih disanggah kata-kata mereka oleh para sahabat lain yang hidup sezaman dengan mereka.


Sebagaiman syaikh tarekat, Abu Qasim Al-Junaid yang pernah ditanya, “Adakah seorang wali akan berzina?”
Lalu, beliau menjawab dengan ayat Al-Quran yang bermaksud,


“Dan adalah ketetapan Allah itu sesuatu ketetapan yang pasti berlaku.” [Al-Ahzab:38]



Maka, jelaslah kepada kita bahawa para wali ini bukanlah insan yang maksum yang tidak dapat ditolak kata-kata mereka seperti yang difahami oleh sebahgian umat Islam pada hari ini.



Kita juga menyeru supaya umat Islam kembali menilai status kisah-kisah ajaib yang mereka perolehi kerana boleh jadi dakwaan bahawa ulama si polan memiliki karamah itu dan ini adalah satu dakwaan tidak berasas yang direka oleh para pengikut yang taksub terhadap ulama tersebut (walhal boleh jadi ulama itu sendiri tidak pernah mengetahuinya).




Ingatlah, sifat ghuluw (melampau) dalam memuliakan mana-mana insan yang kita kasihi telah membinasakan umat-umat terdahulu, sehinggakan Allah mencela ahli kitab sebelum kita,


“Katakanlah, ‘Hai ahli kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan (mereka) telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang benar.’” [Al-Ma’idah: 77]


WalLahu a’lam.

Share your Blog with Others... =]