Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Sunday, September 12, 2010

DI MANA ALLAH???



“Allah (berada) di langit, tetapi ilmuNya berada di setiap tempat (Allah mengethaui segala yang berlaku di seluruh alam)”


Begitulah kata seorang kenalan saya dari Eritria. Dia kini sedang mengikuti program Master dalam jurusan Undang-Undang. Kerap-kali saya bertemu dengnnya di Musolla PG (Post Graduated Student). Wajahnya dibaluti jambang, bibirnya murah dengan senyuman, badannya tidak gemuk dan tidak pula kurus (sedang-sedang) dan tingginya lebih kurang sama dengan ketinggian saya. Hanya umurnya yang lebih tua sedikit (dalam awal 30an)


“Di dalam hadis Nabi s.a.w, apabila baginda ditanya, “Di mana Allah?” Baginda s.a.w menjawab “di langit” sambil membuat isyarat jari telunjuk yang menunjukkan arah ke langit.”


Ujar beliau.


“Di dalam hadis yang lain pula diceritakan yang Allah sentiasa turun ke langit bumi pada sepertiga malam untuk memperkenankan permohonan hamba-hambaNya.”


Kata beliau lagi,


“Bahkan, kalau dirujuk di dalam Al-Quran, seringkali Allah menegaskan yang diriNya ber‘istiwa’ di atas Arasy; dan para malaikat sentiasa naik ke langit untuk menghantar laporan tentang amalan manusia.”


Ya, inilah hujah-hujah beliau. Saya pasti, sesiapa sahaja yang belajar agama semestinya sudah terbiasa bertemu dengan hadis-hadis dan ayat-ayat Al-Quran yang bertepatan dengan dakwaan kenalan saya dari Eritria ini.


Sebagai menyatakan penentangan beliau terhadap kelompok yang mengatakan “Allah berada di mana-mana”, beliau berkata,


“Bagaimana mereka boleh berkata “Allah berada di mana-mana” sedangkan Al-Quran dan hadis dengan jelas mengatakan Allah berada di langit. Kalau Allah berada di mana-mana, adakah Allah juga berada di tempat kotor? Adakah Allah juga berada di dalam perut khinzir? Fahaman seperti ini adalah satu penghinaan terhadap zat Allah. Mereka ini hanya menggunakan hujah aqli semata-mata tanpa mahu menjenguk kepada dalil-dalil naqli.”


Dan kata saya,


“Ya akhi, ana bersetuju dengan enta. Benar, Allah berada di langit dan ilmuNya berada di mana-mana.”


Jawab saya ringkas. Memang inilah jawapan saya apabila berhadapan dengan kelompok yang suka membahaskan persoalan “di manakah Allah?” sebelum saya cuba mengubah skop perbincangan.


“Enta berasal dari Eritria kan? Adakah perbahasan ini juga berlaku di Eritria?”


Soal saya dalam “Broken Arabic”.


“Ya akhi, isu ini menjadi perbincangan ulama’ di seluruh dunia.”


Katanya. Kemudian, saya bertanya lagi.


“Maafkan ana ya akhi…bukankah Eritiria sebuah negara yang miskin?”


Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.


“Masya Allah ya akhi. Rakyat di negara enta hidup melarat dalam kemiskinan; tapi para ulama’ di negara enta pula lebih sibuk membahaskan persoalan “di mana Allah” daripada berusaha menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat…ini zalim!”


Wajah kenalan saya yang tadinya bersemangat kembali kelihatan tenang. Dia mengangguk-angguk (mungkin mengiktiraf kenyataan saya) sambil kelihatan seperti sedang berfikir.


“Ya akhi, bila kali terakhir enta bertemu dengan Allah?”


Kedua-dua matanya terlopong sambil tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala.


“Bukankah di dalam Al-Quran, Allah ada berfirman (yang bermaksud): “Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi"…” [Al-A’raaf:172]


Sekali lagi dia mangangguk-angguk kepala sambil tersenyum dan tertawa kecil.


“Adakah enta masih inagt di mana peristiwa ini berlaku?”


Kenalan saya mengerutkan dahinya sambil berkata,


“Err…ana tak pasti…ana tak tahu…tak ingat…”


Kemudian, saya berkata,


“Ya akhi, berdasarkan ayat ini, ana rasa, boleh jadi inilah kali terakhir kita bertemu dengan Allah sebalum kita diturunkan ke dunia. Dan selepas kita diturunkan ke dunia, kita tidak mempunyai sebarang pengetahuan langsung tentang zat Allah.”


“Ya akhi, “Katakanlah, tiada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah” [An-Naml: 65]”


“Ya akhi, bukankah terdapat sebuah hadis yang menyebut, “Berfikirlah kamu tentang kejadian Allah. Jangan kamu berfikir tentang zat Allah, sesungguhnya kamu tidak dapat mencapainya.”
[Al-Iraqi berkata : "Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nuaim dalam kitab Al Hilyah dengan isnad yang dhaif dan juga Al-Asbahani dalam kitab At-Targhib Wat-Tarhib dengan isnad yang lebih sahih darinya; begitu juga Abu Syeikh.]


Kenalan saya itu masih terus menganagguk-annguk. Maka, saya simpulkan.


“Ya akhi, sleuruh dunia Islam kini berpecah-belah. Umat Islam hidup dalam kemiskinan. Kutipan zakat tidak diagihkan dengan sempurna kepada golongan yang layak menerimanya. Di Malaysia, remaja Islam mengalami krisis kerosakan akhlaq yang sangat teruk sehinggakan jangankan nak kenal Allah, solat pun mereka tak dirikan. Para pemimpin tenggelam dengan rasuah. Hukum Islam tak dikuatkuasakan. Setiap hari umat Islam disembelih di Palestin; kita bimbang Masjidil Aqsa runtuh dan roboh, tapi kita seharusnya berasa lebih bimbang dengan jawapan yang harus kita beri di hadapan Allah apabila ditanya apakah tindakan kita untuk membela saudara kita di Palestin yang disembelih?”




“Ya akhi, setelah semua permasalahan umat Islam ini selesai, marilah kita berbincang lagi tentang “di mana Allah?”


Kenalan saya dari Eritria tersenyum sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dan dia berkata,


“Ya akhi, ana bersetuju dengan enta.”


P/s: “Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman dengannya (ayat-ayat mutasyabihat). Semuanya itu dari sisi Tuhan kami”. [Ali Imran: 7]

No comments:

Post a Comment

Share your Blog with Others... =]