Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Tuesday, September 14, 2010

PEDOMAN 4 IMAM MAZHAB

Penulis: HAMKA


Kata orang, kami tidak menghormati ulama’. Sebab mereka telah memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam Islam iaitu wajib menghormati ulama’. WAJIB TAQLID KEPADA ULAMA’! Wajib taat kepada guru.


Hal ini akan saya huraikan dengan saksama; Kamu Muda amat hormat kepada ulama’. Kaum Muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, mana mungkin sampai ke tangan kita kalau bukan lantaran (pengorbanan) ulama’.


Kami sangat patuh kepada ulama’ ikutan kita yang empat (iaitu) Imam Malik, Imam Syafi’i, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad Bin Hanbal. Demikian cinta dan horamt kami kepada mereka sehingga kalau ada ulama’ yang menjadi pengawal di luar yang cuba mengahalang kami daripada bertemu dengan pendapat-pendapat mereka, kami sirwak (memalukan) ulama’ itu dan kami berkata, “Ke tepilah engkau! Kami mahu bertemu dengan beliau!”

Prof Dr Hamka (17/02/1908-24/07/1981)

Maka bertemulah kami dengan kata-kata Al-Imam Malik,


“Semua orang dapat diterima kata-katanya (pandangannya) dan dapat ditolak, kecuali kata-kata yang empunya maqam ini!” (lalu beliau menunjukkan ke arah maqam Nabi s.a.w)


Kami amat taat setia kepada nasihat beliau itu. “Semua orang” menurut beliau, dalam “semua orang” itu termasuk (pandangan dan kata-kata) beliau sendiri (boleh diterima atau ditolak)!


Maka, bertemulah kami dengan kata-kata Imam Syafi’i,


“Kalau bertemu hadis yang sahih, maka itulah mazhabku.”


Maka, taatlah kami kepada nasihat beliau itu. Kami cari hadis-hadis yang sahih. Maka, dengan sendirinya Kaum Muda yang suka mengambil hadis yang sahih itu diakui oleh Imam Syafi’i sebagai pengikut mazhabnya; walaupun diusir oleh Kaum Tua!


Bertemu pula kami dengan pedoman yang diberikan oleh Imam Abu Hanifah. Kata beliau,


“Jika bertemu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. aku tunduk dan aku patuh. Jika bertemu atsar sahabat, aku timbang baik-baik. Tetapi jika berkata yang selain (daripada itu), mereka lelaki dan aku pun lelaki!”


Imam Abu Hanifah mengajar kami keberanian!


Kami teruskan perjalanan menuju Imam Ahmad Bin Hanbal. Beliau pula berkata (dengan nada yang) lebih tegas,


“Jangan taqlid kepada aku. Dan jangan pula taqlid kepada (Imam) Malik. Dan jangan (taqlid) kepada Al-Tsauri. Dan jangan (taqlid) kepada Al-Auza’i. dan ambillah dari mana mereka mengambil (Al-Quran dan Sunnah).”


Keempat-empatnya menyuruh kami meneruskan perjalan ke atas (iaitu) ke hulu agama (iaitu) kepada Al-Kitab (Al-Quran) dan Al-Sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang-orang yang terdekat kepada baginda s.a.w iaitu sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.



Tetapi, tatkala kami masih di muara, banyak benar yang menghalangnya. Datang syaikh fulan yang sudah jauh di bawah mutakkhirin; bahkan mutaakhiril mutaakhirin melarang keras! Jangan pergi ke hulu! Jangan! Haram! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang lagi. Maka dituduhlah kami sesat. Siapa yang sesat?


Kalau hendak mencari siapakah yang paling taat memegang pimpinan keempat-empat mazhab, jawabnya ialah Kaum Muda. Dan kalau hendak ditanya siapakah yang betul-betul memegang petunjuk Muhammad Bin Idris, pengasas mazhab Syafi’i, jawabnya jelas (iaitu) Kaum Muda.


Kaum Tua menyatakan zaman sekarng tidak boleh berijtihad lagi kerana sudah berlalu jauh daripada zaman Rasul s.a.w. Mustahil dapat berijtihad sekarang.


Kaum Muda menjawab, sekarang lebih mudah…kalau ada kemahuan. Sekarang semua kitab hadis telah dicetak dan boleh dibeli di pasaran…kalau mahu. Sekarang, kitab-kitab semua mazhab telah dicetak. Semuanya mempermudahkan kerja…kalau mahu.


KAUM TUA MEPERTAKUT-TAKUTKAN: “NANTI SALAH”


Nabi Muhammad s.a.w menimbulkan keberanian,


“Siapa berijtihad dan benar hasil ijtihadnya, dapat dua pahala; pahala berijtihad dan pahala benar. Siapa berijtihad tetapi salah hasil ijtihadnya, dapat satu pahala iaitu pahala ijtihad (dan salahnya tidak berdosa sebab tidak sengaja mencari salah.)”


Begitu sudah jalan dibukakan oleh agama, mengapa kita mempersukarkannya? Apa ertinya agama kalau kita tidak boleh menggunakan akal? Tidak boleh berijtihad bersungguh-sungguh?


Kaum Tua berfikir dengan dasar “jangan” dan kami berfikir dengan dasar “silakan”.


Kata Kaum Tua,


“Janganlah kamu berijtihad kalau tidak cukup padamu ilmu Al-Quran dengan ayat mujmal dan muqayyadnya, ijmal dan tafsil, am dan khas, nasikh dan mansukh, asbabul nuzul, Al-Hadis dan Al-Sunnah, qaulun Nabi, wafa’alihu wataqrir. Dan matan hadis dan sunah hadis. Dan jarh dan ta’dil dan al-mutawatir dan al-ahad dan sahih dan hasan dan dhaif. Dan ilmu nahu dan sharaf. Dan manthiq dan ma’ani dan adabul lughat dan, dan, dan”


Tetapi mereka tidak belajar!




Dan Kaum Muda berkata,


“Pelajarilah olehmu segala ilmu yang disebut itu supaya kamu boleh berijtihad!”


Saya ulang ke sekian kali, masalah ijtihadiyah adalah masalah zhanni. Menuduh kafir, zindiq dan lain-lain bukanlah mencari penyelesaian. Dan jikalau kita berijtihad, bukanlah ertinya bahawa kita telah dapat menjawab segala persoalan.


Al-Imam Malik pernah ditanya berkenaan 20 masalah. Tetapi, yang terjawab pada waktu itu hanyalah tiga permasalahan sahaja. Yang 17 persoalan yang lain dijawabnya dengan“la adri” (saya tidak tahu).


Alhasil bagi kami, ijtihad itu harus digalakkan dan bagi Kaum Tua pula, “taqlid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taqlid, dikatakan kami merosakkan tiang agama.


Kadang-kadang, dituduh pula Kaum Muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikatakan pula kami merosakkan tiang-tiang agama. Yang sebenarnya, kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibu bapa. Begitu juga saudara-saudara muslimin yang lain.


Kedudukan guru sama dengan kedudukan ibu bapa; wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi, kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda hormat, kami tegur kesilapannya. Dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kamik tidak akan menurut.




Sumber: SEBUAH POLEMIK AGAMA: TEGURAN SUCI DAN JUJUR TEHADAP MUFTI JOHOR (ms: 61-65) karya Prof Dr Haji Abdul Malik Bin Karim Bin Amrullah (HAMKA)


p/s: “Kadang-kadang, kita telah berdengki-dengkian sehingga musuh mudah benar memecahbelahkan kita. Apa guna berkaum tua, apa guna berkaum muda. Berkaum Muslimin saja lebih baik!” - Hamka.


No comments:

Post a Comment

Share your Blog with Others... =]