Pages

LIKE this Blog?? It's Up to You... MardhatilLah is Everything...=]

Friday, December 31, 2010

ERTI SEBUAH CINTA



“Cinta, ertinya melepaskan…”

Begitulah kata orang. Dan aku membenarkannya. Memang benar cinta itu ertinya melepaskan kerana memang inilah natijah daripada sebuah cinta yang qudus.

“Tapi, kenapa begitu sukar untuk melepaskan…?”


Jika ada yang bertanyakan soalan ini, jawabku,

“Kerana cinta itu tidak didasari landasan syara’”


Tapi, adakah cinta yang tidak melanggar kehendak syara’? Sudah pastinya ada. Islam tidak pernah memusuhi cinta. Cuma pandangan manusia seringkali membatasi erti cinta pada pasangan ajnabi. Jika cinta ini yang dipilih, memang mustahil untuk “melepaskan”.


“Tapi, apakah yang ingin “dilepaskan” oleh sebuah cinta yang qudus?”

Islam memandang pada pandangan yang jauh; sejauh cahaya, hingga menerobos nebula di angkasa.


“Cinta yang qudus itu melepaskan “yang dicinta” daripada sengsara azab neraka”

Inilah dia cinta yang sejati. Cinta yang berputik saat dahi mula mengucup langit sajjadah. Lalu, merayap pada rasa kasih sesama muslim yang terjalin atas nama ukhuwwah filLah hingga terzahir pada amalan. Lalu, kita mencintai ibu bapa, saudara seagama, ulama pembela agama dan segala fikrah yang sejalan dengan fitrah Islam. 


Begitulah indahnya "cinta" ini pada tinta sastera metafora. Moga Allah memberikan kita kekuatan untuk menzahirkannya dengan amalan di alam nyata…amiin ya Rabbal ‘Alamiin…




Cinta yang qudus ini juga menjadi penghalang daripada mendekati segala cinta yang terlarang. Saksikanlah dengan pandangan dua anak mata, betapa cinta yang didasari nafsu serakah tidak akan pernah melepaskan si pencinta daripada mendekati dosa zina.




Cinta yang didasari maksiat dan kehendak nafsu semata-mata sering kali dikaburi janji-janji setia sehinggakan janji si kekasih dipuja bak wahyu dari langit. Lalu, pupuslah sebahagian iman dengan hilanglah rasa al-haya' (malu); kerana malu itu sebahagian daripada iman.




Apabila sebahagian iman telah hilang, apakah yang menjadi galang ganti bagi mengisi kekosongan di relung hati?




Nafsu dan sikap tidak tahu malu. Tidak malu kepada manusia kerana terang-terangan melakukan dosa. Dan tidak malu kepada Allah kerana menumpang di bumi ciptaan-Nya, setiap saat menghirup udara kurniaan-Nya dan meneruskan kehidupan dengan limpahan nikmat rezeki-Nya, tapi masih tegar mengingkari suruhan dan larangan-Nya.


p/s:a Rasa cinta mula dizahirkan oleh Dia Yang Maha Agung. Kerana cinta-Nya, rasa tenang dan bahagia berputik di jiwa. Yakinlah, hanya dengan-Nya kita akan merasai manisnya sebuah cinta hingga terjalinnya ukhuwwah Islamiah. Usah dibina ukhuwwah pada yang bukan mahram atau ideologi yang bertentangan dengan Islam.

Wednesday, December 29, 2010

WAHABI: Meluruskan Salah Faham





“Wahabi” bukan sahaja salah dari sudut gelaran, ia juga salah dari sudut beberapa tuduhan dan salah faham yang disandarkan kepadanya. Berikut dikemukakan beberapa salah faham tentang gerakan atau fahaman Wahabi, diikuti dengan penjelasan bagi meluruskannya.


SALAH FAHAM PERTAMA: Wahabi Dan Kuasa Barat


Salah faham pertama yang akan diluruskan ialah dakwaan bahawa gerakan Wahabi dimulai dan disokong oleh kuasa-kuasa Barat, khasnya Inggeris. Bagi meluruskan salah faham ini, saya merujuk kepada sumber sejarah kuasa-kuasa Barat itu sendiri kerana ia adalah “sumber dalaman” yang lebih tepat bagi menggambarkan apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa tersebut pada zaman itu.


Pertama: Kuasa Inggeris memang wujud pada zaman itu, tetapi peranannya hanya bersifat komersil, iaitu menjaga keselamatan perairan teluk bagi laluan kapal-kapal perdagangannya dari India yang merupakan tanah jajahannya saat itu. [Sarah Searight – The British In The Middle East, dikemukakan oleh Jalal Abu al-Rub – Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab (Madinah Publishers & Distributors, Florida, 2003), ms. 76-77]


Pihak Inggeris atau mana-mana kuasa Barat ketika itu tidak berminat untuk membantu mengembalikan umat Islam kepada agamanya yang tulen.


Kedua: Bukan sekadar tidak minat membantu, kuasa-kuasa Barat sebenarnya amat membenci gerakan Wahabi kerana ia sebenarnya membangkitkan umat Islam. Seorang ahli sejarah Perancis, Almosio Sidio, menulis:

“Apabila Inggeris dan Perancis mengetahui kesepakatan yang tercapai antara Muhammad bin Abdul Wahhab dan Muhammad ibn Sa’ud untuk mentajdidkan agama (Islam) dan ramai masyarakat Arab yang mengikutinya, mereka bimbang ini akan membangkitkan umat Islam dari kelekaan yang menyelubungi umat saat itu. Justeru mereka (Inggeris dan Perancis) bimbang Islam akan kembali kuat sebagaimana pada zaman Umar bin al-Khaththab.

Mereka khuatir peperangan atas nama agama akan kembali hidup, memberikan kemenangan kepada Islam dan kekalahan kepada kuasa-kuasa Eropah. Atas dasar inilah Inggeris dan Perancis meminta khilafah Turki Uthmaniyah untuk memerangi gerakan yang disebut-sebut sebagai “Wahabi” itu dan pihak khilafah telah mewakilkan urusan ini kepada gabenor Mesir, Muhammad Ali Pasha.” [The General History of The Arabs; dinukil dari Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab, ms. 78]


SALAH FAHAM KEDUA: Wahabi dan Khilafah Islam


Pertama: Masyhur dikatakan, gerakan Wahabi bertanggungjawab menjatuhkan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah. Salah faham ini dapat dijawab dari dua sudut. Pertama, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab tidak pernah menentang khilafah Turki Uthmaniyyah. Sikap beliau dalam persoalan ini adalah sebagaimana yang ditulisnya sendiri:

“Aku meyakini kewajipan mendengar serta mentaati para pemimpin kaum muslimin. Ia sama ada di kalangan pemimpin yang shalih mahu pun yang buruk akhlaknya. Ini selagi mana mereka tidak memerintahkan perkara kemaksiatan terhadap Allah. Ketaatan ini ditujukan terhadap sesiapa sahaja yang dilantik sebagai khalifah yang dipersetujui lantikannya oleh orang ramai yang meredhai kepimpinannya. Ini walaupun dia memperolehi kekuasaan khalifah melalui jalan paksaan, tetap menjadi suatu kewajipan mentaatinya dan dilarang melakukan penentangan terhadapnya. [Majmu’ah Muallafat al-Syaikh, Jil. 5, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhaboleh Abdul Aziz bin Muhammad al-Abd. Al-Lathif (Jahabersa, Johor Bahru, 2008), buku 3, ms. 159]


Kedua: Sama ada wujud atau tidak gerakan Wahabi, khilafah Turki Uthmaniyyah pada zaman itu memang memiliki pelbagai kelemahan dan masalah, dalaman dan luaran. Sesiapa yang mengkaji sumber-sumber sejarah yang adil lagi jujur berkenaan kedudukan khilafah saat itu akan mengetahui ia dalam keadaan sedang jatuh dan akan jatuh.


Cuba fikirkan, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Lebih-lebih lagi Semenanjung Arab ketika itu lebih bersifat “No man’s land” di mana ia hanya dikuasai oleh kabilah-kabilah kecil secara berselerakan. Shalih Abud mengulas:

“Tiada bukti menunjukkan bahawa negeri Najd pernah tertakluk di bawah penguasaan atau autoriti khilafah Uthmaniyyah. Selain itu tidak pernah wujud mahu pun sebuah batalion atau markaz ketenteraan khilafah Uthmaniyyah di sana. Ini sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab).

Sebaliknya menerusi fakta kukuh berdasarkan kepada dokumen khilafah Turki Uthmaniyyah yang direkodkan oleh Yamen Ali Effendi (1018H/1609M) bertajuk “Qawaniyyin Aali Uthman Mudomin Daftar al-Diwan” ternyata khilafah Uthmaniyyah terbahagi kepada 32 buah negeri atau wilayah. 14 daripadanya merupakan negeri-negeri tanah Arab. Namun negeri Najd tidak termasuk di dalamnya.” [‘Aqidah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab wa Atharuha fi al-‘Alam al-Islami, Jil. 1, hlm. 27; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]


Abdullah al-Utsaimin menambah:

“Negeri Najd tidak pernah berada di bawah penguasaan kerajaan Uthmaniyyah sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab). Selain itu, ia juga tidak pernah disatukan di bawah satu pemerintahan yang kuat dalam jangka masa yang lama. Ini sama ada ketika sebahagian dari wilayahnya berada di bawah penguasaan Bani Jabr atau pun Bani Khalid. Ia disebabkan suasana peperangan yang silih berganti antara wilayah mahu pun kabilah negeri Najd yang terdiri dari pelbagai jenis puak sehingga agak sukar untuk disatukan keseluruhannya.” [Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab Hayatuhu wa Fikruhu, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]


Sekali lagi saya bertanya kepada para pembaca yang budiman sekalian, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Diingatkan bahawa sekalipun kuasa-kuasa Barat wujud di kawasan itu atas tujuan komersil, tidak dapat dinafikan bahawa mereka juga tentu memiliki hasrat untuk mengambil alih kota Mekah dan Madinah.


Nah! Dengan kewujudan gerakan Wahabi yang dapat menyatukan umat Islam Semenanjung Arab, kedua-dua bandar suci itu tetap berada di tangan umat Islam. Jika tidak, nescaya Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi di Madinah akan menerima nasib yang sama seperti Masjid al-Aqsa di Palestin. Fikir-fikirkanlah!




SALAH FAHAM KETIGA: Wahabi dan Peperangan


Beberapa orang pernah menyatakan kepada saya bahawa syaikh mereka memiliki bukti yang lengkap dengan sanad bahawa gerakan Wahabi melakukan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Arab semata-mata untuk mengembangkan ajaran mereka.


Tuduhan ini tidak perlu diberi perhatian kerana sanad tersebut, jika ia benar wujud, tidak memiliki apa-apa nilai. Ini kerana orang-orang yang duduk dalam rantaian sanad tersebut, biografi mereka tidak tercatit dalam mana-mana kitab al-Jarh wa al-Ta’dil. Sekadar mengetahui nama dan status mereka sebagai “orang agamawan” adalah tidak memadai. Dalam ilmu hadis, mereka termasuk dalam kategori para perawi yang majhul, maka dengan itu sanad tersebut adalah dha’if. Sanad sebegini tidak boleh dijadikan hujah dalam membuat tuduhan atau menjadi bukti dalam kes jenayah.


Adapun peperangan yang berlaku di Semenanjung Arab, kedua-dua sumber sejarah ada mencatitkannya. Sumber yang berpihak kepada dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh golongan yang tidak setuju dengan gerakan beliau. Sumber yang berpihak kepada golongan yang tidak setuju dengan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh gerakan beliau. Siapakah yang benar dan sebesar manakah skala peperangan itu – tiada siapa yang mengetahuinya.


Apa yang pasti, tidak wujud kesan-kesan peninggalan sejarah yang dapat dijadikan bukti adanya peperangan yang diceritakan dalam kitab-kitab sejarah itu. Berbeza dengan peperangan yang belaku di belahan dunia yang lain, ia dapat dibuktikan melalui kesan-kesan peninggalan sejarah.


SALAH FAHAM KEEMPAT: Wahabi dan Tuhan


Fahaman Wahabi sering dikaitkan dengan kepercayaan kononnya Tuhan memiliki jasmani dan anggota. Ini berlaku kerana fahaman Wahabi yang enggan mentakwilkan sifat-sifat Allah seperti muka, tangan dan kaki yang tertera dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini jelas adalah satu salah faham kerana fahaman Wahabi beriman kepada sifat-sifat Allah serta memahami maksudnya manakala bentuk atau tatacara sifat itu diserahkan kepada Allah, tanpa sebarang penyerupaan dengan mana-mana sifat makhluk-Nya.


Ini adalah juga fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebagaimana yang diterangkan oleh al-Tirmizi (279H):

“Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (tahbit) dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan  (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Manakala golongan al-Jahmiyyah, mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telahmentakwilkan ayat-ayat  ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran ahli ilmu.  Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihi salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.
Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim: “Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.

Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11]” [Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir dan rakan-rakan; Dar al-Hadith, Kaherah 1999), jld. 3, ms. 33.]




SALAH FAHAM KELIMA: Wahabi dan Mazhab


Fahaman Wahabi kononnya dianggap tidak mengikuti mana-mana mazhab fiqh yang empat. Sekali lagi ini adalah satu salah faham. Orang yang dituduh sebagai Wahabi, mereka masih mengikuti mazhab di tempat masing-masing. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil, apabila didapati hujah mazhab lain adalah lebih kuat kerana lebih mendekati dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, maka pendapat mazhab tersebut diikuti dalam persoalan tersebut.


Oleh itu orang yang dituduh sebagai Wahabi di Malaysia masih mengikuti Mazhab al-Syafi’e, orang yang dituduh sebagai Wahabi di India-Pakistan masih mengikuti Mazhab Hanafi, orang yang dituduh sebagai Wahabi di Timur Tengah masih mengikuti Mazhab Hanbali dan orang yang dituduh sebagai Wahabi di Afrika Utara masih mengikuti Mazhab Maliki. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil mereka mengikut mazhab yang lain kerana faktor kekuatan dalil dan hujah.


Ini sebenarnya adalah sikap yang benar sebagaimana yang diterangkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H):

“Berdasarkan keterangan-keterangan para imam mazhab, adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah s.a.w. atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walau pun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka.

Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah. Oleh kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi Rasulullah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah mana-mana makhluk lain.

Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Nabi s.a.w. yang sahih.” [Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalamIqaz al-Himan, ms. 93; dinukil dari Sifat Solat al-Nabi oleh al-Albani (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1996), ms. 54-55]


SALAH FAHAM KEENAM: Wahabi dan Kekerasan


Wahabi sering dihubungkan dengan kekerasan. Benarkah demikian? Realitinya, pihak yang menuduh itulah yang sebenarnya bersikap keras. Di sana sini mereka menuduh sekian-sekian individu dan kumpulan sebagai Wahabi yang menyesatkan. Adakalanya tuduhan ini diterjemahkan dalam bentuk fizikal, seperti mengharamkan penerbitan, menghalang kuliah-kuliah agama dan menangkap para tokoh yang mereka tuduh sebagai Wahabi. Tindakan-tindakan tersebut berlaku tanpa tersembunyi sehingga diketahui dalam media-media perdana.


Adapun di kalangan orang yang dituduh sebagai Wahabi, mungkin ada yang bersikap keras. Namun perlu juga ditinjau dari sudut yang lain, kerana istilah “keras” itu sendiri boleh bersifat relatif. Keberanian, ketegasan, kesungguhan adalah sifat yang terpuji yang boleh ditafsirkan sebagai “kekerasan” oleh pihak yang sukar menerima kenyataan. Demikian juga, menyatakan yang haq di atas yang batil boleh juga ditafsirkan sebagai kekerasan oleh pihak yang sekian lama telah selesa dengan kebatilan tersebut.


Oleh itu kekerasan boleh disandarkan kepada salah satu dari dua pihak, yang dituduh atau yang menuduh.




p/s: Asya’irah, Maturidiah, Salafiah, Wahhabiah…semuanya adalah Ahlul Sunnah wal Jama’ah. Khilafnya hanya pada perkara-perkara furu’ dan tidaklah sampai kepada kesesatan aqidah. Sebaiknya, kita menghentikan budaya takfir dan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha untuk mengembalikan umat Islam yang telah meninggalkan Islam daripada kehidupan seharian.

FITNAH TIDUR



“Masya Allah…dah 5.35!”


Segera aku bingkas, bergegas ke kamar mandi. Lalu, bersegera mengambil wudhu’. Sebelum mengangkat takbiratul ihram, ku kirimkan SMS kepada salah seorang ikhwah yang mungkin sedang menanti kehadiranku,

“Asif akhi…beri ana 10 minit…mulakan sebelum ana…”


Usai solat Asar, aku menghidupkan enjin motosikal, bergegas ke masjid. Terasa sangat bersalah. Mungkin kerana ini bukan kali pertama, malah kali kedua dalam minggu yang sama. Dan mungkin sahaja telah lebih dua puluh kali aku terlewat gara-gara fitnah tidur.


“Ya Allah, selamatkan lah aku daripada fitnah tidur.”

Doaku dalam hati.


Sebelum ini, aku pernah berjanji untuk menghadiri sebuah mensyuarat bersama ikhwah. Menyedari kondisi badan yang masih lemah, aku meminta jasa baik mereka agar ditangguhkan meeting ke malam selanjutnya.


“Tapi meeting ni melibatkan ikhwah lain…”

Begitu SMS yang aku terima. Maka, aku redha. Mana mungkin aku membangkang keputusan syura. Tapi, jasad yang sudah 3 tahun (mungkin lebih) tak menjejakkan kaki ke "padang bola" ini masih terasa amat letih walaupun sudah dua hari mukhayyam khariji berlalu.


“Baring kejap…”

Ya, dengan berbaju melayu, berkopiah, aku terlelap di tikar sajjadah sementara menunggu waktu Isya’. Sehinggalah mataku terbuka pada pukul 2.05 pagi.


“AstaghfirulLah…”

Maafkan ana ya ikhwati.


Hakikatnya, bila kita berjanji dengan manusia dan janji itu kita mungkiri, kita bukannya berdosa dengan manusia. Tapi dengan diri kita sendiri; kerana bebanan dosa itu tercatat pada lembaran “mushaf peribadi” yang bakal dibentangkan kepada kita di Padang Mahsyar nanti.


Dan begitu jugalah janji kita dengan Allah.


“Ya Allah, selamatkanlah aku daripada fitnah tidur. Jadikanlah tidur ini sebagai kekuatan untuk aku melaksanakan ibadah kepada Mu. Janganlah Engkau jadikan tidur sebagai sebab yang menghalang aku untuk menunaikan solat pada awal waktu. Dan janganlah juga Engkau jadikan tidur sebagai sebab untuk aku menzalimi manusia yang telah mengikat janji dengan ku…amiin ya Rabbal ‘Alamiin…”

Sunday, December 26, 2010

SIFAT-SIFAT ALLAH: Salaf vs Khalaf



Telah berlaku perdebatan yang berpanjangan antara dua kelompok ini (Salaf dan Khalaf) dalam memahami ayat-ayat yang bersangkutan dengan sifat-sifat Allah yang mutasyabihat. Sesungguhnya, perbahasan yang berpanjangan ini mempunyai titik pertemuan jika kedua-keduanya berusaha untuk bersatu dan berhenti daripada pertelingkahan yang ternyata tidak membawa kepada sebarang peningkatan amal.


Sebelum saya menghuraikan dengan lebih lanjut tentang permasalahan ini, suka lah untuk saya menjelaskan bahawa pemilihan tajuk ini (SIFAT-SIFAT ALLAH: Salaf vs Khalaf) bukanlah bertujuan untuk menambahkan lagi kekeruhan antara dua mazhab aqidah Islam ini; sebaliknya, ianya semata-mata bertujuan untuk menarik perhatian kepada kedua-dua pihak yang telah terlalu lama menyibukkan diri dengan perkara yang sangat asas di sisi agama ini.


SIFAT-SIFAT ALLAH DALAM PANDANGAN AKAL


Manusia yang memiliki akal yang sejahtera pastinya dapat memikirkan kesempurnaan zat Allah setelah memerhatikan kesempurnaan alam ciptaan-Nya. Dengan sekadar melihat kesempurnaan alam yang ada di sekeliling kita, akal yang sejahtera tidak lagi memerlukan dalil atau keraguan akan kewujudan, kekuasaan dan kesempurnaan zat Yang Maha Esa.


Zat ini tentu sahaja lebih berkuasa daripada segala-galanya kerana segala yang ada di alam ini; di langit mahupun di bumi, semuanya merupakan ciptaan Allah. Bahkan, zat ini telah pun ada sebelum alam ini diciptakan-Nya.


Zat ini juga akan terus ada walaupun seluruh ciptaan-Nya tidak ada dan Dia lah jua yang akan memutuskan hukuman setelah makhluq-Nya tiada nanti.


Dengan penjelasan ini, yakinlah kita bahawa Pencipta alam ini merupakan pengatur yang yang Maha Sempurna dan Zatnya tidak dapat dibayangkan oleh akal kita yang sangat terbatas. Pencipta alam ini juga jauh daripada segala kekurangan.


“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menuruti fitrah itu. Tidak ada perubahan dalam fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, namun kebanyakan manusia tidak mengetahui. [30:30]


SIFAT-SIFAT ALLAH MENYAMAI MAKHLUQ?


Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang berbicara mengenai sifat-sifat Allah. secara kasar, ayat dan hadis ini memiliki persamaan antara sifat Allah dan makhluq.

“Segala Yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan tetap kekalah WAJAH Tuhanmu Yang mempunyai kebesaran dan Kemuliaan.” [55:26-27]

“(Iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah yang BERSEMAYAM di atas Arasy.” [20:5]


Di dalam hadis juga, terdapat kata yang disandarkan kepada Allah sebagaimana yang terdapat dalam ayat-ayat Al-Quran; seperti perkataan Al-Wajhu (wajah), Al-Yadd (tangan) dan sebagainya, seperti,

 “Hati seorang mukmin berada di antara DUA JARI dari JARI-JARI Allah” [HR Muslim]

“Hajarul Aswad adalah yaminullah (TANGAN KANAN ALLAH) di muka bumi.” [HR Al-Hakim]


KHILAF UMAT ISLAM DALAM MEMAHAMI SIFAT-SIFAT ALLAH


Dalam memahami sifat-sifat Allah, umat Islam telah terbahagi kepada empat kelompok iaitu:


·                    Kelompok yang memahami sifat Allah secara zahir. (iaitu kelompok Mujassimah dan Musyabbihah)

·                    Kelompok yang mengingkari sifat-sifat Allah (iaitu kelompok Mu’athilah atau Jahmiyah)

·                    Mazhab salaf (iaitu umat Islam yang hidup sebelum 300H, kelompok Salafiah yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, & kelompok Wahhabiah yang diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab)

·                    Mazhab khalaf (iaitu kelompok Asya’irah yang diasaskan oleh Abul Hassan Al-‘Asy’ari, & kelompok Maturidiah yang diasaskan oleh Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur al-Maturidi


Oleh kerana penulisan saya pada kali ini menjurus kepada mazhab salaf dan khalaf, saya tidak berkehendak untuk menghuraikan dengan lebih lanjut terhadap kelompok pertama dan kedua.


Secara umumnya, kelompok yang pertama menetapkan bahawa Allah memiliki sifat yang sama seperti makhluq (seperti mempunyai wajah seperti makhluq, tangan seperti makhluq, tertawa seperti makhluq), manakala kelompok yang kedua menafikan sifat-sifat tersebut secara mutlaq (seperti mengatakan Allah tidak mendengar, tidak melihat dan tidak berbicara). Memadailah kedua-dua kelompok ini dibantah keyakinan mereka dengan ayat berikut,

“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.” [42:11]


Adapun mazhab salaf, mereka berkata,

“Kami mengimani ayat-ayat dan hadis-hadis tentang sifat sebagiamana adanya dan menyerahkan penjelasan tentang maksud yang sebenar kepada Allah.”


Mereka menetapkan bahawa Allah memilki Yadd (tangan), Ad-Dhahik (tertawa), Ta’ajjub (berasa kagum) dan semua sifat-sifat mutasybihat. Namun, makna dan maksud sebenarnya tidak diketahui. Atau dengan kata lain, mereka menyerahkan hakikat sebenar-benarnya kepada Allah. Perbuatan ini bertepatan dengan sabda Nabi s.a.w,

“Berfikirlah tentang ciptaan Allah dan jangan berfikir tentang zat Allah kerana kalian tidak akan mampu mengetahui hakikat-Nya.” [HR Abu Nu’aim & Al-Ashbahani. Al-Hafiz Al-Iraqi berkata, “Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dengan sanad dha’if, sedangkan riwayat Al-Ashbahani (diriwayatkan) dengan sanad yang lebih sahih”]


Sebagai kesimpulan, mazhab salaf memutuskan bahawa tidaklah serupa antara sifat Allah dengan sifat makhluq.


Mazhab khalaf pula berkata,

“Kami menetapkan bahawa makna ayat-ayat dan hadis-hadis sifat ini tidak dapat diertikan secara zahir. Ia hanyalah kata kiasan (majaz) yang boleh ditakwil.”


Kerana itu, mereka mentakwilkan (mengertikan) lafaz Al-Wajhu (wajah) sebagai Zat Allah, lafaz Al-Yadd (tangan) sebagai kekuasaan Allah, Al-A’yun (banyak mata) sebagai pengawasan ketat Allah terhadap hamba-hamba-Nya.


Sesungguhnya, tidaklah mereka melakukan hal ini melainkan bagi menghindari perbuatan tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluq)


ANTARA SALAF & KHALAF


Dua kaedah yang diguna pakai oleh kedua-dua mazhab ini telah menyebabkan pertelingkahan antara kaum Muslimin. Setiap mazhab sentiasa memperkuatkan mazhabnya dengan dalil dan pandangan masing-masing.


Walau bagaimanapun, jika permasalahan ini dibahas dengan teliti, akan diketahui bahawa perbezaan antara kedua-duanya tidak lah terlalu jauh; dengan syarat, kedua-dua pihak harus meninggalkan sikap EKSTREM.


Perbahasan ini pada akhirnya akan sampai kepada satu kesimpulan iaitu Tafwidh (penyerahan) kepada Allah iaitu penyerahan akan hakikat maksudnya kepada Allah. Dan secara umumnya, kedua-dua mazhab ini bersepakat dalam perkara-perkara berikut:


·         Kedua-dua mazhab ini bersependapat dalam melakukan tanzih (penyucian) terhadap Allah dari sikap tasybih (persamaan) dengan makhluq-Nya.

·         Kedua-dua mazhab ini bersependapat bahawa lafaz yang dimaksudkan dalam nas merupakan hak Allah sehingga tidak boleh diertikan secara zahir. Hal tersebut sangat berbeza dengan lafaz yang berkaitan dengan makhluq. Dengan ini, kedua-dua mazhab ini sama-sama menolak adanay tasybih (peneyrupaan) Allah dengan makhluq.

·         Kedua-dua mazhab telah mengetahui dan mengajui bahawa susunan kata yang dibuat untuk mengungkapkan perasaan jiwa atau menjelaskan sesuatu yang dapat dikesan oleh panca indera tidak akan mampu menjangkaui hakikat sesuatu yang tidak diketahui oleh pemilik bahasa tersebut. Apatah lagi jika hakikat itu berkaitan dengan zat Allah. Menyedari hakikat ini, apa pun bahasa tidak akan mampu tidak akan mampu mengungkapkan hakikat zat Allah yang tidak pernah sekali pun dilihat oleh mana-mana manusia.


Jika kedua-dua mazhab telah mencapai persepakatan dalam masalah takwil, ruang lingkup khilaf antara mereka dapat diminimumkan. Para ulama khalaf ingin menambah makna yang dimaksudkan dengan melakukan takwil. Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh ulama khalaf adalah dalam rangka tanzihillah (menyucikan Allah) dan menjaga aqidah orang awam dan mereka yang baru memeluk Islam dari syubhat tasybih. Secara logiknya, perbezaan ini tidak sepatutnya menimbulkan perbalahan.


RENUNGAN BUAT SALAF & KHALAF


Telah tiba masanya untuk kedua-dua pihak menghentikan segala pertelingkahan yang sangat tidak berasas ini. Adalah sesuatu sangat mengecewakan dan amat merugikan umat Islam apabila para ulama dan ilmuwan Islam daripada kedua-kedua mazhab ini menumpukan perbahasan mereka pada sesuatu yang langsung tidak membawa kepada amal ketika mana umat Islam di sekeliling mereka mengharapkan bantuan mereka dalam menyelesaikan isu-isu semasa yang melanda hal-ehwal harian umat Islam; bermula dengan keruntuhan akhlaq dan dibelenggu penjajahan minda dan fizikal.


Buat kedua-dua mazhab, berhentilah daripada berterusan menyemai budaya takfir (mengkafirkan) antara satu sama lain dan hendaklah kalian saling bantu-membantu dalam menyemai benih dakwah di seluruh pelusuk dunia.


Hendaklah kedua-duanya berhentilah daripada terus menabur fitnah yang tidak berasas antara satu sama lain dengan meluruskan pembacaan terhadap kitab-kitab yang ditulis oleh pengasas kedua-dua mazhab bagi memahami prinsip aqidah sebenar yang diimani oleh kedua-duanya.


Sesungguhnya, penglibatan para ulama dan pengikut kedua-dua mazhab ini dalam pertelingkahan tentang perkara remeh-temeh dalam agama telah mengundang kerugian yang amat besar kepada umat Islam.


Sedarlah, walau siapa pun kita; baik Asya’irah, Maturidiah, Salafiah mahupun Wahhabiah, kita semua adalah Ahlul Sunnah Wal Jama’ah selagi mana kita sentiasa menjungjung tinggi prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah dan senitiasa mengamalkan akhlaq Islamiyyah.


p/s: Takfir dan tuduhan melulu, dan mendahulukan hukuman dan kecaman sebelum mendengar hujjah daripada kedua-dua pihak dan tidak pula berusaha untuk membetulkan fahaman mereka yang tersasar bukanlah akhlaq Ahlul Sunnah Wal Jama’ah. Sebaliknya, golongan ini hanya bertopengkan Ahlul Sunnah Wal Jama’ah.

Thursday, December 23, 2010

KISAH IBNU TAIMIYYAH & ULAMA MENJAGA JUBAH



Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (661-728H) merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau merupakan ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, juga pejuang yang berperang menentang penaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.


IBNU TAIMIYYAH & RAJA QAZAN


Satu ketika, Ibnu Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyiq pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya.


Dengan nada tegas dan mesej yang jelas, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah masihati Raja Qazan berkenaan. Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan,

“Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang Muslim, aku dengar bersama-sama engkau (ada) ramai ulama’. Habis, mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau, Hulagu dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”


Kemudian, berlangsunglah dialog antara Ibnu Taimiyyah dengan Raja Qazan. Selepas itu, Raja Qazan berkenan menjamu sekalian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun, Ibnu Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu, Raja Tatar itu bertanya,

“Mengapa engkau tidak mahu makan?”


Jawab Ibnu Taimiyyah,

“Bagaimana aku hendak makan? Kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai. Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orang ramai!”


Kata Raja Qazan,

“Berdoalah untukku.”


Kata Ibnu Taimiyyah,

“Ya Allah, jika hamba-Mu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimah-Mu, maka bantulah dia, kuatkanlah kerajaannya. Namun, jika dia berperang kerana menunjuk-menunjuk untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya.”


Para ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu, Ibnu Taimiyyah bertanya kepada mereka,

“Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”


Jawab mereka,

“Kami bimbang jika raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami.”


Apabila keluar dari majlis berkenaan, mereka berkata kepada Ibnu Taimiyyah,

“Engkau telah membahayakan nyawa kami. Kami tidak mahu bersama engkau lagi.”


Jawab Ibnu Taimiyyah,

“Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi.”


Sumber Asal: Ibnu Kathir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah

Via: Mohd Asri Zainul Abidin, Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat, ms: 29-30


p/s: Jika pada zaman Ibnu Taimiyyah, untuk mengelakkan diri daripada terpaksa berjuang bersama Ibnu Taimiyyah dan rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan tersebut menulis atau menyebarkan fitnah untuk memburukkan Ibnu Taimiyyah. Tujuannya untuk menutup kelemahan diri dan menjaga kepentingan sendiri. Sebelum dan selepas zaman Ibnu Taimiyyah pun, gelagat ulama jenis ini tetap sama.-Dr MAZA

Share your Blog with Others... =]